Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LTA, pengendali pengangkutan awam tingkat kuat kuasa tangani vape

Aug 18, 2025 | 6:07 PM
Singapura, LTA, MOH, MOE, MHA, pengangkutan awam, vape, rokok elektronik, e-rokok
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) merupakan agensi terkini yang bergabung dalam usaha menangani masalah penggunaan vape di Singapura. - Foto TANGKAP LAYAR YOUTUBE SINGAPORE NEWS, INSTAGRAM HSA

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah memberi amaran bahawa penumpang yang ditangkap menghisap rokok elektronik, atau vape, akan dihalau dari premis pengangkutan awam.

Pihak polis mungkin dipanggil bagi mereka yang didapati dalam keadaan mabuk.

LTA, mengumumkan usaha penguatkuasaan yang dipertingkat melalui hantaran di Facebook pada 18 Ogos.

ia menjadi agensi terkini yang bergabung dengan Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), dalam menangani isu penggunaan vape di Singapura, lapor The Straits Times (ST).

LTA menyatakan: “Kakitangan kami sentiasa membuat rondaan bagi memastikan ruang pengangkutan awam kita selamat dan bebas asap.”

Dalam rakaman video berasingan, seorang Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSman), seorang remaja dan seorang wanita dilihat sedang menghisap vape di dalam bas awam dan MRT.

Ketiga-tiga mereka kelihatan dalam keadaan mabuk dalam rakaman tersebut.

Dalam kejadian berasingan pada 10 Ogos, seorang lelaki ditangkap dalam rakaman video menolak kakitangan SMRT di Stesen Lakeside setelah dia dilihat menggunakan vape.

SMRT pada 18 Ogos mengeluarkan kenyataan di halaman Facebook, mengingatkan penumpang bahawa penggunaan vape menyalahi undang-undang di Singapura dan dilarang keras di rangkaian pengangkutan awam kendalian SMRT.

SMRT berkata mereka mengamalkan dasar sifar tolak ansur dan tidak akan teragak-agak melaporkan mereka yang melanggar undang-undang kepada pihak berkuasa.

Tanda amaran antivape di stesen-stesen mengingatkan penumpang denda maksimum bagi kesalahan penggunaan vape adalah $2,000.

SBS Transit dan Go Ahead Singapore juga telah mengeluarkan kenyataan antivape di halaman Facebook mereka, tidak lama selepas pengumuman LTA.

Pendekatan menyeluruh pemerintah dalam menangani vape dan Kpod yang lebih berbahaya, atau vape yang dicampur dengan dadah sintetik, dibentangkan semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap penggunaan vape dan menganggapnya sebagai isu dadah dengan hukuman yang lebih berat.

Walaupun vape diharamkan di Singapura, beliau berkata masih ada individu yang menyeludupnya masuk dan mencari cara untuk mengelak daripada undang-undang.

Penggunaan vape telah diharamkan di Singapura sejak 2018, dan menurut undang-undang kini, sesiapa yang memiliki, menggunakan atau membeli vape boleh dikenakan denda maksimum $2,000.

Namun, mengenakan denda sahaja tidak lagi  mencukupi.

Encik Wong menambah: “Kami akan menganggap ini sebagai isu dadah, dan mengenakan hukuman lebih berat. Ini bermakna hukuman penjara dan hukuman lebih berat bagi mereka yang menjual vape dengan bahan berbahaya.”

Dalam pada itu, pemantauan dan pemulihan akan diberikan kepada mereka yang ketagih kepada vape.

Pemerintah telah melancarkan usaha pendidikan awam besar-besaran, bermula di sekolah dan institut pengajian tinggi (IHL), serta dalam Perkhidmatan Negara (NS).

Encik Wong berkata MHA dan MOH akan menerajui usaha ini.

“Agensi-agensi ini telah memulakan usaha mereka dan kementerian yang terlibat akan berkongsi butiran lanjut tidak lama lagi,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg