Lebih 20 penunggang Alat Mobiliti Aktif (AMD) telah dihampiri dan diberi peringatan oleh pihak berkuasa pada 3 Ogos tentang syarat keperluan baharu bagi Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA).

Hal tersebut dilaksanakan oleh pegawai Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sewaktu menjalankan operasi penguatkuasaan di hadapan Northpoint City, di Yishun pada tarikh tersebut.

Sewaktu operasi yang dijalankan dari 8 hingga 10 malam, pegawai yang bertugas mengambil kesempatan untuk menjelaskan kepada penunggang AMD tentang keperluan baru yang telah dikuatkuasakan sejak 1 Jun.

Ia termasuk pemerolehan sijil keperluan perubatan (CMN) yang diwajibkan bagi membolehkan penggunaan PMA, dan had kelajuan yang tidak boleh melebihi enam kilometer sejam (kmh).

Menurut kenyataan LTA, sejak 1 Jun hingga 31 Julai, mereka telah mendekati lebih 100 pengguna PMA serta mengesan tiga pengguna tanpa CMN yang sah atau pengecualian, dan lima pengguna yang menunggang PMA melebihi had kelajuan.

Berdasarkan pemerhatian Berita Harian (BH) sewaktu mengikuti operasi tersebut, beberapa AMD kelihatan telah disita, termasuk Basikal Guna Kuasa (PAB) dan Alat Mobiliti Peribadi (PMD) yang diubah suai hingga boleh mencecah kelajuan hampir 100 kmh serta PMA dengan dua tempat duduk.

Berdasarkan undang-undang yang dikuatkuasakan LTA, had kelajuan bagi PAB dan PMD tidak boleh melebihi 25 kmh, dan PMA dengan dua tempat duduk juga tidak dibenarkan.

Bercakap dengan pihak media, Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Mobiliti Aktif, LTA, Encik Willy Soo berkata:

“Sejak undang-undang dikemas kini pada 1 Jun, LTA telah menjalankan usaha penguatkuasaan yang terpandu demi memastikan skuter mobiliti digunakan oleh golongan yang benar-benar memerlukan.

“Pegawai kami menjalankan pemeriksaan di kawasan di mana alat mobiliti itu digunakan. Mereka lebih tertumpu pada kes yang menonjolkan tanda-tanda penyalahgunaan, daripada menahan setiap pengguna yang dijumpai.

“Sewaktu pemeriksaan, pegawai penguatkuasaan kami akan menyemak sama ada penunggang mempunyai CMN dan sama ada alat mobiliti mereka menepati piawaian yang ditetapkan seperti kelajuan, saiz dan berat.”

Bagi syarat CMN, penunggang berusia 70 tahun ke atas serta warga emas yang memperoleh skuter mobiliti yang disubsidi oleh pemerintah dan pemohon terdahulu dan akan datang bagi skim ketidakupayaan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dikecualikan.

Bagi PMA sedia ada yang mempunyai kelajuan maksimum sehingga 10 kmh, ia masih boleh digunakan sehingga penghujung 2028.

Namun, ia mesti dipastikan tidak dibawa pada kelajuan melebihi enam kmh di laluan.

Tambahan itu, sebanyak 21 kes melibatkan pemilikan dan penggunaan PMD yang tidak menepati piawaian UL2272 juga turut dicatat sepanjang tempoh yang sama.

Piawaian UL2272 merujuk kepada PMD yang tidak dibenarkan melebihi kelajuan 25 kmh, mempunyai berat 20 kilogram, lebar 70 sentimeter dan perlu menjalani pemeriksaan LTA setiap dua tahun.

LTA turut melaporkan, setakat 31 Julai, seramai 2,267 individu atau penunggang PMA telah memperoleh CMN.

Tinjauan BH sewaktu operasi di Yishun pula mendapati terdapat kira-kira lima penunggang PMA yang masih tidak memiliki CMN.

Demi mengatasi isu itu, pihak LTA telah menjalankan usaha jangkauan dan pendidikan awam yang meluas untuk meningkatkan kesedaran mengenai peraturan baru PMA.

Timbalan Pengarah Kumpulan, Kumpulan Mobiliti Aktif, Encik Kenneth Wong, berkata:

“Pendidikan awam kekal menjadi teras dalam membantu pengguna memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan syarat ini.

“Bagi menyokong pengguna berhadapan dengan perubahan ini, kami telah mendekati penyedia penjagaan kesihatan, agensi perkhidmatan sosial, pusat penuaan aktif, peruncit, pengendali pengangkutan awam dan sukarelawan untuk meningkatkan kesedaran tentang keperluan baru ini.

“Bagi had kelajuan enam kmh, ia sejajar dengan kelajuan berjalan pantas bagi memastikan keselamatan pengguna laluan jalan, termasuk warga emas dan kanak-kanak, serta menepati keperluan mobiliti bagi pengguna yang sewajarnya.”