Kehadirannya dikerumuni ramai peminat, tidak kira lelaki atau perempuan, sehinggakan ke tandas pun ada yang ingin terus bergambar dengannya.
Begitulah suasana di luar stesen MRT Paya Lebar, ketika pelakon, penyanyi dan kini ahli politik kacak Indonesia, Verrel Brasmata, 29 tahun berada di Singapura untuk sehari pada Ahad, 8 Jun lalu.
Verrell Bramasta adalah Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia dari 2024, yang mula melakarkan kerjayanya dalam bidang lakonan, sejak 2014 dalam siri ‘Bintang di Langit’.
Sewaktu lawatannya ke Singapura itu, Verrel memuat naik video pengalaman beliau yang dikerumuni peminat, yang teruja dapat bersua muka dengannya.
Ramai yang menariknya, mengikutinya, dan ada juga yang dapat memeluk dan mencium pipinya kerana keghairahan dapat melihat idola mereka secara dekat.
Dalam video yang dihantarkan ke Instagramnya @bramastavrl menunjukkan kesan calar akibat dicakar oleh peminat yang mendekatinya. Beliau bagaimanapun tidak marah, dan sangat ramah dengan peminat yang kebanyakannya dipercayai pekerja domestik di sini.
“Luar biasa sekali teman-teman di Singapura,” tulisnya dalam kapsyen video itu.
Oleh kerana dikerumuni orang ramai yang semakin agresif, beliau mengambil keputusan untuk menyembunyi seketika di tandas lelaki, dan ketika itu, beliau diberi bantuan oleh para pegawai keselamatandan beberapa pegawai polis yang sedang mengawasi kawasan itu untuk mengiringnya keluar.
Verrel yang dalam perjalanan untuk mencari restoran makanan Indonesia dikerumuni peminat sehinggakan begnya sendiri juga mengalami sedikit kerosakan, namun beliau tetap tenang dan berkata dalam teksi yang dinaikkinya:
“Materi (material) bisa dibeli, tetapi yang penting bagaimana kita selalu melayani dan mengabdi kepada masyarakat.”
Beliau juga sempat memberi penghargaannya kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) kerana menghulurkan bantuan agar beliau dapat keluar dan berjalan dengan selamat ke destinasinya.
“Di sini bantuan polisinya luar biasa…Mereka tidak tahu siapa kita di sini, mereka hanya melihat ada masyarakat yang membutuhkan dibantu oleh polisi Singapura. Shout out to Singapore Police. Terima kasih dan penghargaan dari Indonesia,” kata Verrel yang merakam pengalamannya dari dalam tandas.
Jurucakap SPF ketika dihubungi berkata tidak ada kenyataan dikeluarkan bagi insiden tersebut, dan hanya mengesahkan beberapa pegawai yang bertugas di kawasan itu, telah membantu mengawal dan mengiringi Verrel ke teksi yang ditempahnya dengan selamat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg