Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tg Katong Rd South ditutup untuk kerja pembaikan selepas kereta jatuh dalam lubang benam

Jul 27, 2025 | 12:57 PM
Agensi air negara PUB sedang berusaha mengeluarkan semua air dari lubang benam tersebut, namun proses itu perlu dilakukan secara beransur-ansur bagi menilai tindak balas tanah apabila air tersebut dikeluarkan.
Agensi air negara PUB sedang berusaha mengeluarkan semua air dari lubang benam tersebut, namun proses itu perlu dilakukan secara beransur-ansur bagi menilai tindak balas tanah apabila air tersebut dikeluarkan. - Foto ZAOBAO

Sebahagian Tanjong Katong Road South antara Mountbatten Road dan Ekspreswe East Coast Parkway (ECP) ditutup untuk kerja-kerja pembaikan, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu hantaran di Facebook pada 27 Julai, selepas satu lubang benam terbentuk di kawasan itu pada petang 26 Julai.

Penutupan jalan itu juga menyebabkan perkhidmatan bas 36 dan 48 dipesongkan serta tidak berhenti di beberapa hentian bas sepanjang Marine Parade Road, Amber Road, Mountbatten Road dan Tanjong Katong Road, menurut LTA.

“Para pemandu dan penumpang dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan bersedia menghadapi sebarang kelewatan,” kata LTA dalam hantaran itu.

Agensi berkenaan tidak menyatakan tarikh kerja-kerja pembaikan akan selesai dan jalan tersebut dibuka semula, lapor The Straits Times (ST).

Menurut agensi air negara PUB, lubang benam yang terbentuk sekitar 5 petang pada 26 Julai itu telah menjejas dua lorong jalan, dan sebuah kenderaan turut terjatuh ke dalam lubang tersebut.

Pemandu kereta berkenaan, seorang wanita, telah diselamatkan dan dibawa ke hospital.

Dalam hantaran tersebut, LTA berkata ia sedang bekerja rapat dengan PUB serta Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) untuk memantau kerja-kerja pembaikan dan memastikan kawasan itu selamat.

Insiden itu berlaku bersebelahan dengan tapak kerja PUB.

Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, Encik Goh Pei Ming, melawat lokasi kejadian pada pagi 27 Julai dan memberitahu wartawan bahawa keadaan tanah di situ didapati stabil menurut penilaian PUB.

Menurut Encik Goh, agensi itu juga sedang berusaha mengeluarkan semua air dari lubang benam tersebut, namun proses itu perlu dilakukan secara beransur-ansur bagi membolehkan pihak berkuasa menilai bagaimana tanah itu bertindak balas apabila air dikeluarkan.

Proses mengepam air dijangka mengambil masa sekitar satu hingga dua jam. Kemudian, pihak berkuasa akan memutuskan jika langkah mengeluarkan kenderaan yang terjatuh itu adalah selamat atau tidak, jelas Encik Goh.

Encik Goh berkata pihak berkuasa berharap keadaan di kawasan itu dapat dipulihkan secepat mungkin, dan sedang berusaha untuk menyiapkan pembaikan jalan sebelum 28 Julai sebagai sasaran awal.

Satu rakaman video kejadian yang tular dalam talian menunjukkan beberapa pekerja menarik keluar pemandu kereta berkenaan dari lubang benam dan membawanya ke tempat selamat.

Pada pagi 27 Julai, AP Mountbatten, Cik Goh Sze Kee, yang turut melawat lokasi, berkata wanita itu mengalami kesakitan otot dan keadaannya sedang dipantau pihak hospital.

Awal sebelum itu pada 27 Julai, ST melihat air sedang dipam keluar dari lubang benam itu. Difahamkan, persiapan sedang dijalankan untuk mengeluarkan kereta yang terjatuh ke dalam lubang tersebut.

Beberapa penduduk memberitahu ST bahawa kerja-kerja penggalian besar sedang dijalankan di kawasan itu bagi pembinaan Laluan Thomson-East Coast (TEL), dan mereka bimbang jika kerja tersebut menjejaskan kestabilan tanah.

“Saya harap ini kejadian terpencil dan pihak berkuasa akan menyiasat serta memastikan ia tidak berulang,” kata pengurus jualan, Encik Tommy Lim, 47 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg