Tersergam di dinding Persada Budaya Wisma Geylang Serai (WGS), sebuah lukisan memaparkan pemandangan kampung dan padang serai, gerak geri pesilat, serta wau yang terbang melayang.
Motif bunga berwarna jingga, merah jambu, dan hijau menambah keindahan, mengingatkan kepada warisan budaya dan tradisi Melayu yang abadi.
Namun, mural itu belum siap sepenuhnya dan bakal dilengkapkan oleh individu daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam bulan-bulan akan datang.
Dengan motif bunga inspirasi batik serta kegiatan budaya Melayu seperti silat dan tarian, mural itu dilancarkan semasa acara Penyalaan Lampu Hari Raya 2025 pada 25 Februari.
Diadakan juga sempena ulang tahun ke-60 Singapura (SG60), lukisan itu dinamakan sebagai Mural Masyarakat SG60.
Mural itu dikonsepkan secara kreatif oleh Salihin Jaafar, atau lebih dikenali sebagai Fish Jaafar, 35 tahun, anggota Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad), dan diselaraskan oleh Presiden Apad, Masturah Sha’ari, 56 tahun, dengan maklum balas daripada anggota Apad, Jeffrey Wandly, 61 tahun.
Mural itu merupakan hasil kerjasama antara Apad dengan WGS, menampilkan pelbagai elemen batik dan seni moden, serta gabungan seni kontemporari untuk menghasilkan gaya yang dapat dihargai oleh semua lapisan masyarakat.
Berkongsi lebih lanjut mengenai mural itu dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH), Masturah yang merupakan seorang pelukis dan pemilik bersama Maya Gallery, berkata:
“Proses kreatif ini terhasil daripada pelbagai input dan elemen visual.
“Rujukan visual serta imej lama yang relevan daripada arkib dipilih dan disunting dengan teliti untuk diperkenalkan dalam mural ini, khususnya imej yang mempunyai nilai budaya yang tinggi kepada identiti Melayu/Islam serta nostalgia.”
Mural itu turut menampilkan beberapa mercu tanda ikonik lama seperti trem (di mana terminal timur dibina di Geylang Serai bagi perkhidmatan trem pertama Singapura yang diperkenalkan pada awal 1900-an), kampung lama, pertumbuhan pokok serai yang memberi nama kepada kawasan penempatan itu, serta flat lama yang pernah menghadap pasar Geylang yang terkenal.
Ia juga menggambarkan perubahan zaman dengan peralihan ke Pasar dan Pusat Makanan Geylang Serai yang baru, serta gerbang ikonik Jalur Budaya Geylang Serai yang berdiri megah di simpang empat sebagai simbol kemuncak memori dan warisan kawasan ini sepanjang dekad.
Bagi memudahkan proses kerjasama dalam penghasilan mural itu, Masturah, berkata hasil mural itu akan mengambil beberapa sesi sepanjang hujung minggu untuk disiapkan sepenuhnya.
Semasa acara pelancaran Penyalaan Lampu Hari Raya itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, menjadi salah seorang individu yang menyumbang sentuhan pertama pada mural tersebut.
Dalam bulan-bulan akan datang, seniman Apad akan bekerjasama dengan wakil Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) serta penerima bantuan mereka untuk melengkapkan lukisan mural itu.
Hasil mural akan didedahkan sebelum majlis penutup SG60 pada akhir 2025.
Masturah berharap mural itu dapat memberi inspirasi kepada seniman visual Melayu, khususnya bakat-bakat muda dan baru.
Ia khusus dapat membangkitkan keinginan mereka untuk membuktikan keupayaan kreatif di masa hadapan, serta mengingatkan mereka bahawa masyarakat Melayu Singapura berasal daripada warisan budaya yang kaya dan unik dalam estetika seni visual.
Apad, yang ditubuhkan pada 1962, merupakan persatuan seni Melayu tertua di Singapura.
Sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan, Apad mempromosikan perkembangan dan penghargaan terhadap seni visual melalui pameran, bengkel, dan kerjasama, sekali gus membentuk landskap seni di Singapura serta memperjuangkan warisan seni visual Melayu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg