Singapura akan mengambil lebih 1,000 guru baru setiap tahun dalam beberapa tahun akan datang untuk mengukuhkan barisan karyawan dalam sektor pendidikan negara, kata Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee pada 9 Julai.
Jumlah ini meningkat daripada sekitar 700 guru yang direkrut pada 2024.
Secara keseluruhan, jumlah guru di Singapura telah berkurangan akibat kurangnya pengambilan guru, daripada 33,378 pada 2016 kepada 30,396 pada 2023, lapor The Straits Times (ST).
Kementerian Pendidikan (MOE) belum mengeluarkan jumlah bagi 2024.
Bercakap pada Majlis Perasmian Pengiktirafan Guru Tahunan di Institut Pendidikan Nasional (NIE) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Lee berkata:
“Selama ini, kami telah membina barisan pendidik yang berdedikasi dan bermutu untuk memastikan setiap anak dapat mencapai potensi mereka, tanpa mengira latar belakang.”
“Sistem pendidikan perlu lebih daripada sekadar menyesuaikan diri dengan perubahan pesat, seperti kemajuan kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim dan media sosial yang mempengaruhi cara berkomunikasi.
“Kita mesti kekal terkini dengan perkembangan dan menyediakan pelajar untuk menghadapi dunia yang berubah cepat,” tambahnya.
Pada 9 Julai, seramai 721 guru baru dan guru yang kembali untuk menyertai perkhidmatan pendidikan Singapura telah menerima ijazah mereka dari NIE.
Daripada jumlah tersebut, 47 graduan menerima anugerah seperti Pingat Emas Lee Kuan Yew dan Anugerah NIE, yang diberikan kepada mereka yang cemerlang dalam pengajian mereka.
Tujuh guru di bawah usia 35 tahun dianugerahkan Anugerah Guru Muda Cemerlang dalam Pendidikan kerana keberkesanan usaha mereka dalam mendidik pelajar.
Antaranya ialah guru Sekolah Rendah Fuhua, Encik Lim Yang Jun.
Guru berusia 34 tahun itu memulakan kerjaya mengajarnya di Sekolah Grace Orchard pada 2017, yang menyediakan pendidikan kepada pelajar dengan kecacatan intelektual ringan.
Kini ditempatkan di sekolah aliran utama, beliau memperjuangkan keterangkuman dan berusaha untuk memenuhi keperluan pelajar yang berbeza.
Encik Lim memperkenalkan ‘sudut bertenang’ di setiap bilik darjah untuk membantu pelajar yang mengalami emosi negatif dan memerlukan sokongan.
“Sebagai seorang guru, saya melihat setiap individu sebagai tanggungjawab saya. Saya ingin membantu mereka dan memastikan setiap orang mendapat peluang yang sama untuk berkembang dan bersinar,” katanya.
Encik Lee, yang mengambil alih portfolio pendidikan pada Mei, menggesa guru untuk menanamkan keinginan belajar dalam diri pelajar.
Kemampuan membuat keputusan bijak, kemahiran sosial, emosi dan nilai murni lebih penting dalam dunia sebenar berbanding kecemerlangan akademik, kata beliau.
Beliau menambah, itulah sebabnya kementerian mengurangkan penekanan pada gred akademik dan fokus pada pembangunan kemahiran pelajar.
Sejak 2019, Singapura telah meniadakan peperiksaan pertengahan tahun dan melaksanakan sepenuhnya Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB) pada 2024.
“Perubahan sistem ini perlu disokong dengan pengalaman pembelajaran yang membantu pelajar mengenal pasti kekuatan dan minat mereka, serta menyalakan rasa gembira yang mendalam dan berkekalan dalam pembelajaran,” kata Encik Lee.
Pendidik juga perlu membimbing pelajar untuk berdiri bersama dalam masyarakat yang semakin pelbagai, tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg