Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pentingnya umat Islam cemerlang dalam semua ilmu

Pengajian di luar bidang ilmu agama diiringi niat ikhlas demi maslahat akan turut dapat ganjaran
Jun 20, 2025 | 5:30 AM
Mempelajari bidang selain ilmu agama, hukumnya adalah fardu kifayah kerana setiap masyarakat memerlukan pakar dan karyawan dalam pelbagai disiplin. 
Mempelajari bidang selain ilmu agama, hukumnya adalah fardu kifayah kerana setiap masyarakat memerlukan pakar dan karyawan dalam pelbagai disiplin.  - Foto ADOBE STOCK

Sekumpulan cendekiawan telah menjalankan tinjauan pada 1995 ke atas hasil penulisan salah seorang ulama Islam yang hebat dalam sejarah Mesir, Imam Jalaluddin As-Suyuti.

Beliau merupakan seorang tokoh yang namanya kerap didengar pada abad ke-15 di Kahirah dan dikenali sebagai ilmuwan dalam banyak bidang.

Hasil tinjauan tersebut menunjukkan karya tulisannya dianggarkan antara 500 dengan 981 karya – satu jumlah yang luar biasa.

Beliau telah menyumbang secara meluas dalam bidang ilmu, merangkumi pelbagai disiplin seperti hadis, tafsir, fiqah, bahasa Arab dan cabang ilmu Islam yang lain.

Namun, penulisan beliau tidak terhenti di situ.

Imam As-Suyuti turut menulis pelbagai karya dalam bidang lain yang dianggap di luar bidang ilmu agama.

Beliau menghasilkan beberapa tulisan dalam bidang perubatan dan diakui sebagai seorang yang mahir dalam puisi serta kesusasteraan Arab.

Malah, beliau pernah menyebut bahawa dirinya pernah cuba menguasai ilmu hisab dan ilmu falak, namun akhirnya mengakui bidang tersebut terlalu rumit.

Soalan yang mungkin timbul: Mengapakah seorang ulama yang mahir dalam bidang agama mahu mempelajari dan menulis tentang perkara yang kelihatan di luar bidangnya?

Jawapannya terletak pada tujuan seseorang itu menuntut ilmu.

Bagi Imam As-Suyuti, menuntut ilmu bukan sekadar untuk diri sendiri, malah sebagai satu sumbangan kepada masyarakat dan mengembangkan ilmu, agar umat Islam pada masa akan datang dapat meraih manfaat daripadanya.

Justeru, bolehkah pengajian dalam bidang lain, khususnya yang tiada kaitan langsung dengan Islam, yang dianggap sebagai ilmu duniawi dikira sebagai satu tuntutan agama?

Adakah wajar pelajar Muslim menolak pengajian sekular hanya kerana ia tidak tergolong sebagai ilmu agama?

Bolehkah seseorang menyumbang kepada Islam walaupun beliau bukan pelajar jurusan agama?

Bila ilmu itu dianggap ‘Islamik’

Ibn Umar meriwayatkan sepotong hadis bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Sesiapa yang menuntut ilmu untuk berdebat dengan orang jahil, atau untuk bermegah di hadapan para ulama, atau untuk menarik perhatian manusia, maka dia akan masuk ke dalam neraka.” (HR Sunan Ibn Majah).

Walaupun sebahagian ulama hadis menganggapnya daif, mesej terasnya diterima oleh para ulama.

Apakah yang menjadikan sesuatu usaha menuntut ilmu itu bersifat Islamik bukanlah semata-mata kerana ia termasuk dalam bidang pengajian Islam.

Ia bergantung kepada niat dan manfaat yang terhasil daripadanya.

Seseorang mungkin melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam, namun mempunyai perasaan takbur dan memandang rendah kepada mereka yang tidak memilih bidang tersebut.

Ini sendiri bertentangan dengan ajaran Islam.

Sebaliknya, seseorang yang memilih melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi sebagai contoh, dengan niat untuk membantu mereka yang mengalami masalah kesihatan mental dalam masyarakat, boleh dilihat sebagai lebih Islamik di sisi agama kerana niatnya yang mulia.

Apa yang paling penting ialah mengejar sesuatu bidang ilmu bagi memanfaatkan diri sendiri dan anggota masyarakat, dengan niat ikhlas kerana Allah swt dan mengharap ganjaran daripada-Nya.

Menurut Islam, inilah semangat sebenar dalam menuntut ilmu.

Seperti kata pepatah, “apa yang ditanam, itulah yang dituai”, jika benih itu ditanam demi mendapatkan tempat di akhirat, maka tiada satu pun usaha menuntut ilmu yang dianggap tidak Islamik.

Fardu kifayah dan ruang tanggungjawab

Apabila ada yang meninggal dunia, anggota keluarga akan berkumpul di rumah dengan penuh hiba.

Kemudian proses memandikan jenazah, menunaikan solat, dan pengebumian akan segera dilakukan mengikut tuntutan syariat.

Bayangkan jika tiada sesiapa yang mampu menguruskan jenazah tersebut, sama ada memandikan ataupun mengebumikan jenazah.

Oleh itu, ilmu pengurusan jenazah menurut Islam dianggap sebagai fardu kifayah – kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh sebahagian anggota masyarakat.

Jika tiada sesiapa yang melaksanakannya, maka seluruh masyarakat berdosa di sisi Allah swt.

Ia berbeza dengan fardu ain yang hukumnya melibatkan setiap individu, manakala fardu kifayah melibatkan seluruh masyarakat.

Konsep tanggungjawab bersama itu turut ditegaskan oleh kalangan ulama dalam hal menuntut ilmu di luar bidang agama.

Mereka menyatakan bahawa mempelajari bidang selain ilmu agama, hukumnya adalah fardu kifayah kepada masyarakat kerana setiap masyarakat memerlukan pakar dan karyawan dalam pelbagai disiplin.

Sebuah masyarakat tanpa doktor dan tentera adalah masyarakat yang lemah dan tidak terlindung.

Di Singapura, badan fatwa seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) turut mempelawa pakar daripada pelbagai bidang untuk memberi pandangan tentang isu penting seperti keselamatan negara, teknologi dan perubatan, bagi memastikan fatwa yang dikeluarkan relevan dan berkesan.

Fakta itu membuktikan bahawa mempelajari bidang selain agama sangat penting dan tidak wajar menjadi halangan bagi mereka yang mungkin berasa mengejar kerjaya selain bidang agama tidak menyumbang kepada Islam atau dianggap tidak Islamik.

Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab kita untuk berusaha dengan gigih hingga berjaya, supaya kita dapat menunaikan fardu kifayah, memenuhi keperluan masyarakat serta mencerminkan semangat ukhuwah yang pernah disabdakan oleh Nabi Muhammad saw.

“Perumpamaan seorang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti bangunan yang sebahagiannya mengukuh sebahagian yang lain.” (HR Bukhari).

Mungkin mampu ubah dunia

Tidak menjadi perkara yang mengejutkan bahawa mempelajari bidang selain Islam boleh dan seharusnya menjadi satu usaha yang berteraskan nilai agama.

Dunia yang kita diami kini sentiasa berubah dan cabaran baru sentiasa muncul.

Cabaran itu memerlukan insan yang memiliki keupayaan, kewibawaan serta ilmu untuk mengatasi isu tersebut bagi memenuhi keperluan keluarga dan masyarakat kita.

Dengan niat yang betul untuk mendapat keredaan Allah swt, kita berharap mungkin anak kita menjadi penyelesai masalah yang dipilih oleh Allah swt untuk meringankan penderitaan manusia.

Bayangkan seorang Muslim yang dapat membina teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat, ataupun mencipta rawatan perubatan yang mampu menyembuhkan penyakit kronik.

Sudah tentu, ia merupakan ibadah yang mulia di sisi Allah swt dan makhluk-Nya.

Apa sahaja yang diceburi sekarang, pastikan anda memberikan yang terbaik dan memperbetulkan niat.

Ini kerana pintu rezeki Allah swt luas dan pada akhirnya, kita hanya berharap usaha kita menjadi salah satu langkah untuk memanfaatkan masyarakat di dunia dan menempah tempat di syurga kelak.

Artikel ini sumbangan Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg