Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiswazah geografi NUS tekad wujudkan ruang awam dengan identiti tersendiri
Tamat pengajian dengan kepujian tertinggi, bakal sambung peringkat sarjana di Kolej Universiti London
Bagi Encik Muhammad Asy’raf Khaizal, ilmu geografi bukan sekadar mengenai tempat di atas peta.
Malah, ia turut merangkumi tentang memahami bagaimana manusia membentuk ruang di sekeliling mereka dan bagaimana ruang itu pula membentuk sesebuah masyarakat.
Minat tersebut membawa pemuda berusia 25 tahun itu mendalami bidang geografi di Universiti Nasional Singapura (NUS), di samping pengajian dalam Komunikasi dan Media Baharu.
Anak sulung dua beradik itu baru-baru ini menamatkan pengajian dengan ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dengan Kepujian Tertinggi pada 15 Julai lalu, dan juga merupakan penerima Hadiah Izzuddin Taherally.
Namun, perjalanan empat tahunnya di NUS bukan hanya tertumpu kepada bidang akademik.
Sepanjang menetap di kampus Kolej NUS, beliau aktif menjalin hubungan dengan masyarakat di sekelilingnya, bermain bola sepak serta menjadi mentor kepada pemain lebih muda yang menyertai pasukannya.
“Apabila pemain baru datang, saya melihat diri saya sebagai mentor kepada mereka.
“Saya cuba membantu mereka belajar dan menyesuaikan diri,” ceritanya.
Kehidupan di kampus turut mengajarnya menjadi lebih berdikari dan berdisiplin dalam mengimbangi pengajian, sukan, persahabatan dan tanggungjawab lain.
Antara kenangan paling dekat di hatinya ialah saat-saat bersama teman sekampus, berkumpul pada waktu malam, bermain permainan dan meluangkan masa bersama selepas seharian belajar.
Menurut penerima biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) itu, Hadiah Izzuddin Taherally yang diterimanya bukan pengiktirafan terhadap dirinya semata-mata.
Sebaliknya, beliau melihatnya sebagai penghargaan kepada masyarakat terangkum yang dibina bersama rakan-rakan sepanjang pengajiannya.
Beliau turut menamakan ibu bapa, guru dan rakan-rakannya sebagai individu yang membentuk dirinya, selain Profesor T.C. Chang daripada Jabatan Geografi NUS, yang banyak membimbingnya melihat dunia dengan lebih kritikal.
Selepas tamat pengajian, Encik Asy’raf merancang melanjutkan pengajian sarjana di Kolej Universiti London (UCL), sebelum kembali berkhidmat dalam sektor awam di Singapura.
Dengan minat khusus terhadap pembangunan bandar, beliau berharap dapat membantu dalam mewujudkan ruang awam yang bukan sahaja berfungsi dengan baik, malah mempunyai identiti tersendiri.
“Saya rasa setiap kawasan boleh mempunyai ciri tersendiri yang membentuk identiti ruang tersebut.
“Ia boleh membuatkan penduduk berasa lebih dekat dengan persekitaran mereka dan mewujudkan rasa seolah-olah berada ‘di rumah’,” katanya.
Bagi Encik Asy’raf, kejayaan bukan sekadar diukur melalui pencapaian peribadi, malah pada keupayaan memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat di sekelilingnya.
“
“Saya rasa setiap kawasan boleh mempunyai ciri tersendiri yang membentuk identiti ruang tersebut. Ia boleh membuatkan penduduk berasa lebih dekat dengan persekitaran mereka dan mewujudkan rasa seolah-olah berada ‘di rumah’.”
