Topik diikuti
Pergi ke BHkuLulusan kejuruteraan NUS simpan hasrat jadi guru
Sejak kecil, Encik Hassan Azhar tertarik dengan mata pelajaran kimia, khususnya konsep bahawa sesuatu bahan boleh diubah menjadi bahan lain dan lebih berguna.
Daripada rasa ingin tahu tentang “menukar timah menjadi emas”, minat itu berkembang kepada persoalan yang lebih praktikal: bagaimana sisa boleh ditukar menjadi produk yang memberi manfaat kepada manusia.
Ia akhirnya membawa pemuda berusia 24 tahun itu memilih bidang kejuruteraan kimia di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Namun bagi penerima Hadiah Izzuddin Taherally itu, antara pengalaman paling bermakna sepanjang empat tahun di universiti sebenarnya berlaku di luar makmal.
Pada tahun pertama dan kedua pengajiannya, Encik Hassan menyertai program bimbingan yang membawa pelajar kurang bernasib baik ke kampus NUS untuk makan malam sebelum menjalani sesi tuisyen, permainan dan perbualan bersama mahasiswa.
Pengalaman itu mengukuhkan minatnya terhadap pengajaran.
Anak kedua dalam tiga adik beradik itu kemudian menjadi penolong pengajar bagi salah satu modul kejuruteraan dan mula menyimpan impian untuk suatu hari nanti mengajar bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Saya mahu memberi pendedahan secara praktikal, seperti menjalankan eksperimen, sebab semasa membesar saya sendiri tidak banyak mendapat peluang seperti itu,” katanya.
Selain membimbing pelajar, Hassan turut meluangkan masa memberi makan kepada kucing masyarakat di sekitar Casa Clementi.
Beliau juga pernah membantu dalam kegiatan berkaitan keharmonian sosial dan antara agama di NUS College.
Baginya, menerima Hadiah Izzuddin Taherally merupakan sesuatu yang tidak disangka-sangka, tetapi membuatnya berasa bahawa usaha kecil yang dilakukan sepanjang pengajian telah dihargai.
Sebagai Penduduk Tetap (PR) Singapura yang berasal dari Malaysia, Encik Hassan mengakui beliau pada awalnya berdepan sedikit kejutan budaya dan rasa kesunyian.
Beliau mula berpindah ke mari sejak empat tahun lalu dan mendapat sokongan saudara mara yang membantu beliau menyesuaikan diri.
Selain itu teman-teman yang ditemuinya, termasuk rakan kediaman yang dikenali sejak tahun pertama, akhirnya membuat Singapura terasa seperti rumah keduanya.
Minat terhadap kelestarian pula kekal dalam perjalanan akademiknya.
Antara penyelidikan yang pernah dilakukannya termasuk meneroka penggunaan mikroalga dan sisa bijirin untuk menghasilkan produk baharu.
Kini, Encik Hassan memulakan kerjayanya di Singapura sebagai jurutera sokongan proses di sebuah syarikat.
Namun impiannya lebih jauh daripada kerjaya pertama itu.
Beliau berharap suatu hari nanti dapat kembali meneroka penyelidikan berkaitan penukaran sisa kepada produk berguna, sambil mengekalkan cita-cita tersembunyinya untuk menjadi seorang pendidik.
Baginya, hidup yang berjaya bukan hanya tentang kerjaya.
Ia adalah saat apabila seseorang mampu bersama keluarga dan teman, tanpa dibelenggu kebimbangan terhadap masa depan, dan benar-benar menikmati waktu yang ada.

