Topik diikuti
Pergi ke BHkuLulusan Lasalle jadikan muzik wadah fahami emosi, bina keberanian
Bangkit daripada pengalaman semasa remaja; turut sumbang kembali kepada masyarakat melalui program muzik percuma
Pengalaman berdepan dengan kebimbangan, insiden buli dan persoalan tentang diri sendiri semasa zaman remaja mendorong Cik Heema Izzati Zainudin, 19 tahun, mencari ruang untuk meluahkan apa yang dirasainya.
Ruang itu ditemuinya apabila mula menghasilkan muzik sendiri.
Diperkenalkan kepada muzik klasik sejak kecil dan terlatih bermain piano serta selo, Cik Heema mula menulis lagu ketika di sekolah menengah, selepas bergelut dengan masalah sosial dan berasa cemas dalam pergaulan.
“Saya banyak bergelut dengan insiden buli dan berasa cemas dalam situasi sosial, dan pada masa itu, perlukan satu cara untuk meluahkan diri.
“Dengan alat yang saya sudah pelajari melalui pendedahan kepada piano dan selo, saya terfikir, ‘hei, sebenarnya saya boleh bayangkan diri saya melakukan ini untuk jangka masa yang lama’,” katanya apabila ditemu bual Berita Harian (BH).
Kini, Cik Heema sudah menamatkan pengajian Diploma Muzik dan menerima Anugerah ‘Creative Future Impact’, sempena majlis konvokesyen di Maktab Seni Lasalle pada 14 Ogos, dan merupakan antara 355 graduan.
Anugerah itu mengiktiraf pelajar diploma yang menamatkan pengajian atas komitmen mereka untuk terus berkecimpung dalam bidang seni.
Bagi Cik Heema, menghasilkan muzik bukan sekadar menyusun perkataan untuk dijadikan lirik.
“Muzik ialah cara saya memahami dunia dan memahami emosi saya,” ujarnya.
Dalam menghasilkan karya, pengalaman hidupnya menjadi sebahagian proses kreatif itu.
Cik Heema gemar mencatat perasaan, kenyataan atau perkara yang dianggapnya puitis dan menarik dalam aplikasi nota di telefonnya supaya tidak terlupa.
Namun, berbeza daripada penulis lagu yang mungkin bermula dengan lirik, beliau biasanya menyusun kord dan struktur lagu terlebih dahulu sebelum menghasilkan melodi dan lirik.
“Saya suka menghasilkan struktur lagu yang, walaupun tanpa melodi dan lirik, sudah boleh menyampaikan mesej,” katanya.
“Kemudian, catatan daripada ‘diari’ itu akan masuk ke dalam lagu.”
Antara contoh paling dekat ialah lagu Our Eyes, yang menurutnya berasal daripada perkara yang ditulisnya dalam bentuk surat kepada dirinya sendiri dan ibunya, Cik Lazmin Ibriam, 61 tahun, yang juga seorang penyanyi.
Bapanya pula ialah mantan Anggota Parlimen (AP) yang pernah berkhidmat sebagai Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central Singapore, Encik Zainudin Nordin, 63 tahun.
Pendekatan itu turut dapat dilihat dalam sebuah EP sulungnya yang dikeluarkan pada 2025, dan mengetengahkan pengalaman beliau berdepan isu kesihatan mental dan proses mengenali diri semasa remaja.
Beliau menyifatkan karya itu sebagai berani, emosional, dramatik dan berwarna-warni, dengan lagu-lagunya yang bersifat mentah dan terbuka, seakan-akan halaman daripada diarinya.
Semasa di Maktab Seni Lasalle, beliau mempelajari seni visual dan menjadi pelukis, sebelum mula tertarik kepada penceritaan melalui warna, filem dan aspek visual lain.
Kini, beliau turut bertindak sebagai pengarah kreatif bagi karya muziknya sendiri, memastikan pengalaman di sebalik muzik itu turut diterjemahkan kepada identiti visual.
Namun, pengalaman peribadinya tidak hanya diterjemahkan melalui lagu.
Kesedaran tentang betapa mahalnya pendidikan muzik juga mendorong Cik Heema bersama dua kakaknya, Cik Maya Raisha Zainudin, 23 tahun, dan Cik Nur Shaheen Zainudin, 26 tahun, memulakan ‘Heartstrings’ pada 2016, ketika beliau baru berusia 10 tahun.
Program muzik percuma itu diadakan di Kelab Masyarakat Toa Payoh South buat golongan belia daripada keluarga kurang berkemampuan, dengan kelas memberi tumpuan kepada biola dan teori muzik berdasarkan kurikulum Associated Board of the Royal Schools of Music (ABRSM).
Empat tahun lalu, Cik Heema mengambil alih pengurusan Heartstrings secara sendiri.
Selain menguruskan pentadbiran dan mencari sukarelawan, beliau turut mengajar apabila diperlukan.
Kelas diadakan setiap dua minggu pada Ahad, dengan instrumen seperti biola diperoleh melalui sumbangan.
Sumbangan turut digunakan untuk membeli buku muzik dan membaiki instrumen pelajar.
“Rasanya murid mengajar saya sebanyak mana saya mengajar mereka. Ada begitu banyak komunikasi, empati dan kesabaran, tetapi juga inovasi yang saya pelajari bersama mereka,” ceritanya.
Sebagai seorang artis muda Melayu, Cik Heema juga berharap dapat menggalak lebih ramai orang, khususnya golongan muda, berani berkongsi kisah mereka.
Beliau tidak menganggap dirinya sebagai wakil utama masyarakat Melayu, tetapi berharap pengalaman hidupnya dapat memberi ruang kepada wanita Melayu muda untuk melihat diri mereka dalam kisahnya.
“Saya mahu terus berani, terus bersuara dan berharap keberanian itu dapat disampaikan kepada orang lain supaya mereka juga berani berkongsi kisah mereka sekuat mana yang mereka mahu,” ujarnya.
Kini, Cik Heema sedang mengusahakan EP baru dan berharap dapat membawa muziknya ke pentas serantau dan antarabangsa, sambil meneruskan usaha membina masyarakat melalui muzik, termasuk menerusi Heartstrings.
“Saya tidak akan pernah melupakan matlamat untuk membina masyarakat melalui muzik saya, sama ada dengan meneruskan program muzik percuma ini atau program sukarelawan yang lain,” katanya.
