Setelah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir, Ustaz Mohamad Nasrullah Refa’ie Mohamad Refa’ie, 38 tahun, kembali mencurahkan khidmat di sekolah lamanya, Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Beliau menerima pendidikan daripada darjah satu sekolah rendah hingga prauniversiti dua di Madrasah Aljunied. Kini beliau sudah lebih 10 tahun bertugas dalam bidang pendidikan bahasa Arab di madrasah tersebut.
Menurut Ustaz Nasrullah, penggunaan bahasa Arab di madrasah tersebut bukan hanya dimakmurkan untuk memahami teks agama, malah diperlukan bagi mendalami teks media dan dijadikan bahasa komunikasi pada peringkat global.
Memiliki pengalaman mengikuti program bahasa Arab bagi media di Pusat Bahasa Al-Diwan, Kaherah, Ustaz Nasrullah menggalas beberapa tanggungjawab besar di Madrasah Aljunied bagi meningkatkan penggunaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar.
Selain merangkul amanah sebagai Ketua Jabatan Bahasa Arab di Madrasah Aljunied, beliau juga mengetuai Pusat Kecemerlangan dan Kerjasama Bahasa Arab (COEC), iaitu sebuah daya usaha yang menggiatkan kerjasama antara madrasah dengan guru untuk berkongsi pengalaman dan meningkatkan mutu pembelajaran bahasa Arab.
Ustaz Nasrullah yang juga pernah mengikuti latihan bagi pelatih bahasa dalam bahasa Arab anjuran Qatar Debate pada tahun 2015, turut muncul sebagai pelatih pasukan Madrasah Aljunied dalam pertandingan bahas bahasa Arab di Qatar pada tahun 2016.
“Segala pengalaman ini menjadikan saya lebih yakin menggunakan bahasa Arab dalam konteks yang autentik. Usaha ini juga penting untuk melahirkan ulama dan pemimpin agama yang menguasai bahasa agama mereka,” jelas Ustaz Nasrullah.
Pada masa yang sama, beliau dilantik sebagai Pengerusi Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied 2024 (BPSARA), satu usaha meningkatkan mutu kemahiran bertutur bahasa Arab dalam kalangan pelajar.
Tahun ini, sebanyak 15 pasukan dari Singapura, Malaysia dan Indonesia akan turut serta dalam BPSARA yang berlangsung pada 4 Jun hingga 6 Jun 2024.
Menurut Ustaz Nasrullah lagi, pelajar yang menyertai acara bahas ini bukan sahaja mendapat manfaat daripada pertandingan, bahkan daripada pelbagai tugas dan khidmat sukarela, yang digalakkan berkomunikasi dalam bahasa Arab.
“Selain peserta bahas, sukarelawan juga dapat meningkatkan kemahiran berbahasa Arab, khususnya apabila mereka melatih diri menjadi pengacara perlawanan, melayani tetamu dengan bertutur dalam bahasa Arab dan lain-lain.
“Keadaan ini merancakkan lagi penggunaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar madrasah lain juga, yang diharapkan dapat melahirkan suasana saling menyokong dengan membudayakan bahasa Arab itu sendiri.
“Di samping itu, saya berharap pelajar yang mengikuti acara bahas selama tiga hari ini dapat menguasai sikap belajar antara satu sama lain, berani memahami isu-isu kontemporari menerusi bahasa Arab, mengasah kemahiran mendengar dan berbincang. Akhir sekali, mereka berupaya melihat peranan bahasa Arab dalam mendidik akhlak dan diri mereka sebagai seorang Muslim,” tambahnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan derma dan menyokong masa depan generasi asatizah, boleh menghulurkan sumbangan menerusi Madrasah Aljunied, iaitu PayNow ke UEN: T08GB0028LALJ atau imbas kod QR yang disediakan.
Ikuti media sosial, Instagram dan Facebook@Madrasah Aljunied untuk mendapatkan berita terkini tentang pembangunan pelajar dan asatizah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg