Lulusan SP manfaat Skim Bekerja Sambil Belajar Mindef teroka bidang keselamatan siber
Lulusan SP manfaat Skim Bekerja Sambil Belajar Mindef teroka bidang keselamatan siber
Rebut peluang tugas di Perkhidmatan Digital dan Perisikan sambil terap kemahiran forensik digital yang dipelajari di poly
Selepas mengetahui tentang Skim Bekerja Sambil Belajar (WLS) yang ditawarkan Kementerian Pertahanan (Mindef) semasa satu sesi taklimat di Politeknik Singapura (SP), Encik Ammar Abdul Jabar, menyedari skim itu mampu menjadi batu loncatan bagi kerjayanya dalam sektor keselamatan siber.
Skim tersebut membolehkan anggota Perkhidmatan Negara (NS) menimba pengalaman praktikal di unit-unit di bawah Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS) sambil menggunakan kemahiran yang dipelajari semasa pengajian di politeknik.
DIS merupakan cabang ketenteraan keempat Singapura selain tentera darat, laut dan udara.
Lulusan Diploma Pengurusan Keselamatan Infokomunikasi yang kini berusia 21 tahun dan memegang jawatan Sarjan Ketiga (3SG) itu berkata penyertaannya dalam skim berkenaan amat relevan dengan bidang pengajiannya.
Kata beliau kepada Berita Harian (BH): “Bukan sahaja saya dapat terus menggunakan kemahiran seperti forensik digital yang dipelajari di sekolah, malah saya juga dapat mengembangkan kemahiran tersebut berdasarkan apa yang saya pelajari melalui pengalaman bekerja.”
Beliau turut menekankan kepentingan berinteraksi dengan rakan sekerja yang mempunyai matlamat sehaluan.
“Saya belajar betapa pentingnya berinteraksi dengan rakan sekerja yang mempunyai matlamat yang sama, supaya saya dapat membuat keputusan yang lebih tepat tentang hala tuju kerjaya saya,” ujarnya.
Penyertaannya dalam skim berkenaan juga membolehkannya memenuhi keperluan latihan industri politeknik di DIS mulai April 2024.
Beliau mula berkhidmat di DIS dengan menyokong usaha Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA), badan nasional yang bertanggungjawab melindungi ruang siber negara.
Kini, beliau sedang menjalani NS sebagai Pakar Siber dalam Pasukan Respons Insiden Siber, yang digerakkan bagi menilai dan menyiasat kejadian siber, mengenal pasti punca utama sesuatu isu serta melaksanakan langkah pembaikan bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
Skim WLS menyokong usaha Singapura menempatkan lebih ramai anggota NS yang mempunyai kepakaran daripada pengalaman kerja atau pengajian mereka ke dalam peranan lebih sejajar semasa tempoh khidmat mereka.
Perkara itu disentuh Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, dalam ucapan Jawatankuasa Peruntukan (COS) di Parlimen pada 27 Februari.
Sehingga kini, terdapat 10 skim WLS dengan sekitar 850 anggota NS sepenuh masa (NSF) menyertainya.
Encik Zaqy turut menegaskan Singapura akan terus memperkukuh keupayaan pertahanan sibernya.
Seperti yang dilaporkan, mulai Jun 2026, anggota NS dengan kepakaran siber akan dikerah ke peranan baru.
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan menempatkan anggota NS yang mempunyai kepakaran siber ke dalam Pasukan Pertahanan Siber Sektoral (SCDT).
Langkah itu merupakan sebahagian usaha memastikan kepakaran awam anggota kerahan dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkukuh pertahanan Singapura.

