Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Luxembourg sambut Presiden Tharman dengan 21 das tembakan

Lawatan dua hari turut peringati hubungan diplomatik 50 tahun S’pura-Belgium
Mar 28, 2025 | 3:50 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isteri, Puan Jane Ittogi, diapit  Grand Duke Henri dan Grand Duchess Maria Teresa pada 27 Mac.
Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isteri, Puan Jane Ittogi, diapit Grand Duke Henri dan Grand Duchess Maria Teresa pada 27 Mac. - Foto ST

Grand Duke Henri dan Grand Duchess Maria Teresa menyambut kedatangan Presiden Tharman Shanmugaratnam serta isteri, Puan Jane Ittogi di pekarangan Istana Grand Ducal pada pagi 27 Mac, menandakan permulaan lawatan negara pertama oleh pemimpin Singapura ke Luxembourg.

Lawatan dua hari itu turut memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara dua negara ini, yang terjalin sejak Mac 1975, lapor The Straits Times (ST).

Selepas upacara perbarisan kehormatan, bendera Singapura dikibarkan di puncak istana dengan iringan tembakan hormat 21 das. Presiden Tharman dan isteri beliau kemudian bertemu Grand Duke dan Grand Duchess Luxembourg.

Presiden Tharman seterusnya meletakkan karangan bunga di Tugu Peringatan Perpaduan Luxembourg, bagi memperingati mangsa Perang Dunia Kedua serta menghormati semangat perjuangan negara itu semasa pendudukan Nazi.

Beliau turut mengangkat pedang istiadat dan mengacukannya ke arah api yang menyala (lambang keabadian dan ingatan pada sesebuah legasi) di hadapan tugu peringatan itu, dan beramah-tamah bersama ahli Jawatankuasa Peringatan Perang Dunia Kedua serta wakil pergerakan dan persatuan patriotik.

Setibanya di istana, Presiden Tharman menerima kunjungan oleh Presiden Dewan Wakil Dilantik Luxembourg, Encik Claude Wiseler, dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Ehwal Luar dan Perdagangan Luar, Encik Xavier Bettel.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata dalam satu kenyataan:

“Semasa pertemuan itu, kedua-dua pihak menyambut baik sambutan memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun ini (2025), dan menekankan kerjasama ekonomi dua hala yang kukuh.

“Mereka membincangkan potensi kerjasama lebih erat dalam bidang tradisional seperti perdagangan dan kewangan, serta dalam sektor baru seperti pendigitalan dan teknologi angkasa. Mereka juga bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan global dan serantau serta peranan negara-negara kecil.”

Pada petang 27 Mac, Presiden Tharman menghadiri sebuah majlis rasmi di dewan bandar raya kota Luxembourg yang dianjurkan Datuk Bandar Luxembourg, Cik Lydie Polfer, selepas Tuan Presiden dan isterinya disambut kanak-kanak yang mengibar bendera kedua-dua negara di dataran kota.

“Kami telah memberi sumbangan besar dalam membina daya tahan ekonomi yang berkekalan, menyokong mobiliti sosial, dan memperdalam model terangkum pelbagai budaya Singapura – yang merupakan sesuatu yang sangat kami hargai di negara-negara kami,” kata Cik Polfer.

Presiden Tharman juga melawat Muzium Seni Moden Mudam, yang menganjurkan pameran karya artis Singapura, Encik Ho Tzu Nyen, yang membawa penonton mengimbau sejarah Asia Timur dan Tenggara, bertajuk Time And The Tiger.

Mengakhiri lawatan hari pertama Tuan Presiden dan isterinya di Luxembourg, Grand Duke dan Grand Duchess dijadual menganjurkan jamuan negara di istana sebagai penghormatan kepada pasangan itu.

Sebelum meninggalkan Luxembourg pada 28 Mac, Presiden Tharman dijadual bertemu Perdana Menteri Luc Frieden. 

Beliau akan mengambil bahagian dalam satu perbincangan bersama Grand Duke Henri, Menteri Kewangan Gilles Roth, dan pemimpin sektor kewangan mengenai kewangan, fintech (teknologi kewangan), dan kewangan mampan. 

Beliau juga dijadual melawat Kor Bomba dan Penyelamat Grand-Ducal Luxembourg (CGDIS) serta pengendali satelit Eropah, Societe Europeenne des Satellites (SES).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg