Presiden Tharman Shanmugaratnam bertemu pemimpin perniagaan terkemuka daripada pelbagai sektor seperti farmaseutikal dan kejuruteraan luar pesisir, kemampanan dan kewangan, dalam satu dialog sarapan pagi di Brussels pada 26 Mac.
Melalui pertemuan itu, Tuan Presiden berpeluang memahami keprihatinan mereka dan cara mereka mungkin melabur di Singapura.
Beliau, yang sedang dalam lawatan negara ke Belgium, ditemani Raja Philippe dari Belgium.
Pemimpin yang mereka temui termasuk Encik Benoit Van Den Hove, ketua eksekutif bursa saham rentas Eropah, Euronext Brussels, dan Cik An Smet, ketua pegawai operasi firma penyelesaian kejuruteraan dan pembinaan, Jan De Nul Group, lapor The Straits Times.
Persekutuan Perusahaan Belgium, yang menjadi tuan rumah rundingan meja bulat itu di premisnya, berkata dalam hantaran di X, mereka berpeluang membincangkan hubungan, cabaran dan peluang perdagangan.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling.
Belgium dan Singapura mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang luas sejak hubungan diplomatik diwujudkan pada Oktober 1966, dengan lebih 400 syarikat Belgium kini beroperasi di Republik ini.
Masyarakat Belgium di Singapura, kira-kira 1,500 orang, juga merupakan yang kedua terbesar di Asia Tenggara, kata Kementerian Luar Belgium, dalam satu nota lawatan negara itu.
Hubungan ekonomi Belgium-Singapura disokong Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang lebih luas dan Perjanjian Perdagangan Digital antara Kesatuan Eropah (EU) dengan Republik ini.
FTA dengan Singapura itu adalah perjanjian pertama EU dengan sebuah negara Asean apabila ia berkuat kuasa pada 2019.
Tuan Presiden kemudian pergi ke wilayah selatan Wallonia, di mana beliau disambut tuan rumah, Gabenor wilayah Walloon Brabant, Encik Gilles Mahieu, bagi satu sesi makan tengah hari.
Beliau juga melawat institusi pengajian tinggi, Universite Catholique De Louvain (UC Louvain), dan ibu pejabat syarikat teknologi perubatan, IBA International, yang sedang membangunkan terapi proton untuk rawatan barah dan mempunyai kehadiran di Singapura.
UC Louvain, yang menyambut ulang tahun ke-600 pada 2025, menganjurkan program pertukaran pelajar dengan Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).
Ia adalah sebahagian ekosistem penyelidikan dan inovasi yang bertenaga, di tengah-tengah Taman Sains Louvain-la-Neuve di wilayah Walloon Brabant.
Di universiti tersebut, Tuan Presiden melawat SEFY, kemudahan penyemaian tumbuhan di universiti itu, di mana penyelidikan tentang rintangan tumbuhan dijalankan.
Beliau akan berangkat ke Luxembourg untuk lawatan negara dari 27 hingga 28 Mac.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg