Kisah dedikasi dan pengorbanan luar biasa pemimpin dan sukarelawan M³ di samping kesan usaha dan inisiatif mereka terhadap masyarakat telah dibukukan sempena ulang tahun kelima rangkaian tersebut.
Buku terbitan Berita Harian (BH), ‘Realising The Vision of A Community: The M³ Journey’, telah dilancarkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di acara Forum M³ yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 10 November.
Ia merupakan hasil tulisan mantan Ketua Penyunting BH, Encik Abdul Rahman Basrun; Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim; dan mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), Cik Duran Nur Irdina Elmasita Muhd Fadzli.
Penerbitan buku ini bermula sejak Jun lalu dan melibatkan temu bual dengan 50 individu, termasuk pemimpin, sukarelawan dan benefisiari.
Sebanyak 1,500 naskhah buku telah dicetak, dengan penyeliaan Jawantankuasa Editor M³ yang diketuai Pengerusi Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), Cik Amatul Jameel Suhani Sujari.
Mengulas penerbitan buku ini, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, meluahkan penghargaannya atas peluang yang diberi kepada BH untuk menerbitkan buku tersebut.
Encik Nazry berkata: “Ia untuk memperingati pengorbanan dan usaha dalam kalangan pemimpin dan relawan membantu memperkasa masyarakat dalam pelbagai bidang.
“Diharap kisah-kisah yang dipaparkan dalam buku ini dapat menjadi inspirasi agar lebih ramai anggota masyarakat ke hadapan untuk menyumbang tenaga.”
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Maliki Osman, yang juga penasihat kepada M3 dan Akar Umbi Melayu, pula mengulas:
“Inspirasi untuk buku itu timbul dari keinginan yang mendalam untuk merakam ketabahan dan semangat masyarakat dalam menghadapi kesusahan seperti pandemik Covid-19.
“Ia berfungsi sebagai inspirasi bagi sukarelawan, panduan untuk masyarakat dan pemimpin politik serta pemangkin perpaduan bagi masyarakat Melayu/Islam dan kita bersama-sama melakar masa hadapan,” kata beliau.
Semasa acara, Dr Maliki telah menyampaikan senaskhah buku tersebut kepada Encik Wong.
Encik Rahman, yang sebelum ini kurang mengetahui tentang M³, pula menyifatkan pengalaman menerbitkan buku tersebut sebagai pembuka mata tentang peranan penting M³ dalam masyarakat Melayu/Islam.
Beliau berkata: “Segala penat lelah saya menghasilkan buku ini – sampaikan jatuh sakit – tampak kecil berbanding sumbangan menyelaraskan segala kegiatannya untuk meningkatkan mutu kehidupan masyarakat Melayu/Islam di Singapura.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg