M³ akan jadi M³+, perdalam kerjasama dengan pertubuhan Melayu/Islam, kumpulan lain
M³ akan jadi M³+, perdalam kerjasama dengan pertubuhan Melayu/Islam, kumpulan lain
Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) akan mendorong kerjasama yang lebih mendalam dan meluas dengan badan-badan Melayu/Islam dan India/Islam, termasuk kumpulan tidak formal, untuk menyatukan aset dan sumber masyarakat serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan program untuk masyarakat.
Ini akan dilakukan pada dua peringkat – di peringkat nasional bagi merancang dan melakarkan strategi bagi lima bidang tumpuan di bawah M Kuasa Tiga (M³), dan di peringkat M³@Bandar untuk mendekati penduduk dan melaksanakan program melalui penyertaan masyarakat.
Dengan kerjasama diperluas ini, jenama M³ akan diperbaharui menjadi M³+, umum Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Bercakap di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) mengenai ehwal masyarakat Islam di Parlimen pada 5 Mac, Dr Faishal berkata:
“Saya berharap M³+ akan dapat mengiktiraf dengan lebih baik pengetahuan khusus dan hubungan masyarakat pertubuhan Melayu/Islam (MMO), pertubuhan India/Islam (IMO), kumpulan tidak formal serta penyumbang individu yang sememangnya telah melakukan kerja yang cemerlang di peringkat akar umbi.”
“Kebanyakan MMO dan IMO menyediakan khidmat langsung kepada keluarga.
“Adalah penting bagi kami memudahkan kerjasama dan mempertingkat penyelarasan, dengan membawa bersama agensi M³ dan rakan masyarakat kami untuk membangunkan cara lebih baik untuk bekerja bersama,” tambah beliau.
Dibentuk pada 2019, M³ merupakan satu usaha kolaboratif antara tiga institusi masyarakat utama – Muis, Mendaki dan PA Mesra – untuk menggalak individu tampil ke hadapan bagi membantu dan menggalak program masyarakat yang memberi kesan.
Ini selain menyatukan karyawan dan pemimpin masyarakat untuk menyumbang di peringkat masyarakat, dan memperkukuh keluarga serta generasi masa depan.
Lima bidang tumpuan di bawah gerakan M³ itu ialah keluarga; banduan dan keluarga; belia; pekerjaan dan daya kerja; dan kesihatan masyarakat.
Di bawah M³+, Mendaki, Muis dan PA Mesra akan bekerjasama dengan MMO dan IMO untuk mereka program dan perkhidmatan yang mencerminkan keperluan masyarakat dan menggalak penyertaan lebih luas di bawah lima bidang tumpuan M³.
Di samping itu, 12 M³@Bandar serata negara akan membina kerjasama dengan MMO, IMO dan kumpulan tidak formal lain, termasuk yang mempunyai hubungan masyarakat yang mendalam, untuk mendekati penduduk dan melaksanakan program melalui penyertaan masyarakat.
Bahkan, Dr Faishal berkata beberapa usaha antara M³ dengan MMO, IMO, kumpulan tidak formal dan penyumbang individu telah pun dijalankan.
Contohnya, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Pejabat Penyelarasan Penglibatan Masyarakat M³, atau M³ Eco, di bawah PA telah bekerjasama dengan Rumah Peralihan Darul Islah Jamiyah, Rumah Peralihan Pertapis dan Rumah Peralihan Rise Above PPIS untuk memperkukuh usaha pemulihan dan integrasi semula bekas pesalah ke dalam masyarakat.
Mereka telah mengadakan sesi latihan bagi lebih 300 bekas pesalah untuk membangunkan kemahiran kewangan dan praktikal.
Satu lagi contoh adalah kerjasama AMP Singapura dengan M³@Woodlands untuk menganjurkan Program Perniagaan Mikro bagi melengkapi usahawan baru dengan pengetahuan seperti pengurusan kewangan, idea perniagaan dan pemasaran untuk membina perniagaan mikro yang mampan.
Pelancaran M³+ pada April akan dimulakan dengan Sesi Jalinan Rangkaian M³, kata Dr Faishal.
“Antara idea termasuk menyediakan direktori perkhidmatan yang ditawarkan oleh rakan kongsi MMO dan IMO kami, supaya peneraju Bidang Tumpuan M³ kami dan M³@Bandar dapat bekerjasama secara sistematik dengan pertubuhan masyarakat ini untuk mengenal pasti peluang baru dan sinergi lebih besar untuk penyampaian program yang lebih baik dan untuk menutup jurang penyampaian program.
“Saya…menggalak MMO, IMO dan individu untuk tampil ke hadapan dan mewujudkan M³+ bersama kami,” kata beliau.
Dalam pada itu, lebih 180,000 penduduk serata negara telah meraih manfaat daripada 256 inisiatif masyarakat yang dianjurkan 12 M³@Bandar pada 2025. Ini disokong oleh 1,000 sukarelawan.
Bilangan 180,000 penduduk itu adalah 60 peratus lebih tinggi berbanding 2024.
Ini disebabkan “dedikasi sukarelawan kami, yang merangkumi golongan karyawan daripada sektor awam dan swasta, yang membawa pelbagai kemahiran dan rangkaian mereka untuk meningkatkan sokongan masyarakat kepada penduduk di merentas M³@Bandar”, kata PA Mesra dalam satu kenyataan.

