Wan Rizal: Bidang tumpuan ke-4 M³ mahu pastikan masyarakat Melayu/Islam kekal daya saing

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wan Rizal: Bidang tumpuan ke-4 M³ mahu pastikan masyarakat Melayu/Islam kekal daya saing

AP bahas kesan AI, perubahan pantas industri atas pekerja rentas usia
Feb 25, 2026 | 8:43 PM

Wan Rizal: Bidang tumpuan ke-4 M³ mahu pastikan masyarakat Melayu/Islam kekal daya saing

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
M Kuasa Tiga, Wan Rizal Wan Zakariah
Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar), yang juga seorang Anggota Parlimen (AP) Pekerja, berkata Bidang Tumpuan Keempat (FA4) M Kuasa Tiga (M³) akan memastikan masyarakat Melayu/Islam bersedia dan berdaya saing dalam ekonomi yang sedang berubah. - Foto ST

Bidang Tumpuan Keempat (FA4) M Kuasa Tiga (M³) – yang menumpukan kepada bidang pekerjaan dan daya kerja – akan memastikan masyarakat Melayu/Islam bersedia dan berdaya saing dalam ekonomi yang sedang berubah, kata Anggota Parlimen (AP) Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar).

Bercakap di Parlimen pada hari kedua perbahasan Belanjawan 2026 pada 25 Februari, Dr Wan Rizal, yang juga seorang AP Pekerja, berkata Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan terus menyokong para pelajar, pekerja dan usahawan kecil dalam menghadapi perubahan ini.

Ini, katanya, akan dilakukan menerusi inisiatif AI-Ready SG oleh NTUC, di mana butiran lanjut akan beliau kongsi semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kelak.

“Dalam aspek pekerjaan dan daya kerja, FA4 boleh terus memperkukuh hubungan dengan majikan dan rakan industri supaya lebih banyak peluang latihan, latihan amali dan penempatan kerja diwujudkan dalam sektor pertumbuhan,” katanya.

Semasa ucapannya, Dr Wan Rizal turut menggesa warga yang menjalankan perniagaan dari rumah (HBB) untuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan mereka.

Beliau memberi contoh bagaimana perniagaan boleh menggunakan AI untuk mereka gambar produk lebih menarik, menjawab pertanyaan pelanggan secara automatik, dan mengurus tempahan dan rekod kewangan dengan lebih tersusun.

“Teknologi ini bukan hanya untuk syarikat besar. Ia juga untuk peniaga kecil yang mahu berkembang,” katanya.

Dari segi pembelajaran pula, Dr Wan Rizal berkata AI boleh membantu ibu bapa yang sedang membimbing anak mereka dalam kerja sekolah mereka.

Bukan sekadar memberikan jawapan bagi soalan yang rumit dengan secara langsung, malah AI, jika digunakan dengan secara bertanggungjawab, boleh “membimbing langkah demi langkah, membantu memahami cara berfikir dan pendekatan menyelesaikan soalan.”

“Ia menjadi alat sokongan, bukan pengganti usaha,” katanya.

Kebimbangan berkenaan kesan AI serta perubahan industri yang sedang berlaku dengan pantas ke atas pekerja dan syarikat tempatan turut menjadi tumpuan beberapa AP lain.

Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Changi) berkata AI boleh menjadi alat yang memperkasakan, dan menggesa para pekerja untuk bersedia mendakapinya agar tidak ketinggalan.

Beliau menggesa agar lebih ramai pekerja, sama ada golongan muda mahupun pertengahan kerjaya, agar meningkatkan kemahiran digital dan memahami asas penggunaan AI.

“Tidak semua perlu menjadi pakar AI. Tetapi semua perlu tahu bagaimana menggunakan AI untuk meningkatkan daya penghasilan dan nilai kerja mereka.

“Inilah kunci utama untuk membina pertumbuhan gaji yang kukuh dan mampan,” kata Encik Sharael.

Bagi perniagaan Melayu pula, beliau berkata peniaga tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi secara pasif.

Beliau menggalak mereka untuk melihat bagaimana AI boleh membantu perniagaan berkembang seperti penggunaan bot sembang untuk khidmat pelanggan dan automasi untuk pengurusan inventori.

“Kita mesti melihat AI bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai peluang.

“Jika kita berani berubah dan bersedia meningkatkan kemahiran, masyarakat Melayu bukan sahaja akan kekal relevan, malah boleh memimpin dalam ekonomi baharu ini,” kata Encik Sharael.

Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo, yang juga Timbalan Setiausaha Agung NTUC, berkata AI telah terbukti sebagai “gangguan segera” yang membentuk semula pekerjaan peringkat permulaan.

Beliau menyatakan walaupun AI tidak menandakan hilangnya pekerjaan, ia masih boleh mengecilkan peranan peringkat permulaan tradisional kerana ia melaksanakan tugas dengan lebih pantas dan lebih murah.

Bagi menangani perkara ini, Encik Choo mencadangkan perantisan yang serupa dengan sistem yang diguna pakai di Jerman dan Switzerland, di mana negara dan industri bekerjasama untuk menyeragamkan latihan supaya perantis menyumbang secara produktif dari awal.

Firma juga, katanya, boleh diberi insentif untuk menukar peranan tradisional kepada perantisan berstruktur dengan elemen teras AI – seperti menyelia atau menyepadukannya ke dalam kerja.

Jika terdapat jurang kecekapan – memandangkan AI mungkin lebih pantas daripada pekerja – Encik Choo berkata pemerintah boleh membiayai bersama jurang sedemikian untuk tempoh tertentu kerana ini akan mengurangkan risiko keputusan pengambilan pekerja sambil membina keupayaan negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg