Orang ramai kini boleh mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan dan badan Melayu/Islam (MMO) dengan lebih mudah menerusi pelancaran direktori yang menghimpunkan pelbagai maklumat dalam satu wadah sehenti.

Direktori MKuasaTiga+ (M3+) itu dilancarkan oleh M3+ dengan sokongan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan AMP Singapura.

Usaha tersebut dilancarkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, dalam satu acara di Heartbeat@Bedok, Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee, pada 30 Ogos.

“Penduduk kita tidak hidup mengikut sempadan antara organisasi.

“Seorang ibu bapa yang mencari peluang untuk anaknya tidak seharusnya perlu cuba memikirkan organisasi mana yang menjalankan program apa. Anak muda yang mencari peluang tidak seharusnya tertanya-tanya pintu mana yang perlu diketuk,” katanya.

Encik Zaqy turut mengumumkan pelancaran komuniti WhatsApp M3+ Bicara, yang membolehkan orang ramai menyertai pelbagai kumpulan MMO untuk menerima maklumat terkini mengenai acara dan inisiatif masyarakat.

Kedua-dua wadah itu dijangka memudahkan penduduk mendapatkan maklumat mengenai program, perkhidmatan dan peluang yang disediakan menerusi M3+.

Usaha tersebut diselaraskan dan dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Rakyat (PA), menerusi Pejabat Penyelarasan Penglibatan M3+, bersama M3+@Bedok, AMP Singapura dan PPIS.

Pada masa yang sama, Direktori M3+ dan komuniti WhatsApp itu juga dijangka membantu rakan masyarakat, termasuk pertubuhan Melayu/Islam, bekerjasama dengan lebih berkesan dalam memenuhi keperluan penduduk.

Pertubuhan masyarakat juga akan dapat menghubungkan penduduk dengan skim serta sumber pemerintah yang bersesuaian dengan lebih mudah, kata Encik Zaqy dalam ucapan yang sama.

Usaha ke arah membentuk rangkaian sokongan yang lebih terselaras itu sememangnya telah dijalankan oleh pertubuhan seperti AMP Singapura dan PPIS.

Kedua-duanya bekerjasama untuk membangunkan rangkaian sokongan yang lebih bersepadu bagi individu dan keluarga, dengan lebih banyak rakan masyarakat turut dialu-alukan untuk menyumbang serta bersama-sama menghasilkan penyelesaian.

Usaha tersebut selari dengan visi ‘CiptaSama@M3+’ yang buat kali pertama dilancarkan semasa pandemik Covid-19 dan kini diperkenalkan semula dalam bentuk lebih kukuh.

Pendekatan itu menekankan kepentingan menghasilkan penyelesaian secara bersama, dengan masyarakat, pemerintah, pertubuhan Melayu/Islam serta rakan masyarakat berganding bahu demi kepentingan lebih luas.

Visi tersebut juga menyokong usaha membina masyarakat Melayu/Islam yang yakin, berdaya tahan dan bersatu, berlandaskan empat nilai yang ditekankan Encik Zaqy dalam ucapannya, iaitu Iman, Ilmu, Ihsan dan Identiti.

Iman merujuk kepada kehidupan yang berteraskan keimanan dan nilai, Ilmu pula menekankan kepentingan pembelajaran dan kemajuan berterusan, manakala Ihsan menggalakkan sikap mengambil berat terhadap orang lain serta menyumbang kepada masyarakat.

Identiti pula berkaitan keyakinan terhadap jati diri sebagai masyarakat Melayu/Islam.

Orang ramai boleh mengakses Direktori M3+ di laman https://www.m3plus.gov.sg/directory/ ; serta Komuniti WhatsApp M3+ Bicara di https://go.gov.sg/bicara-community.