Sebanyak $266,000 telah dikumpulkan sejak satu projek pengumpulan dana berskala besar yang menyalur bantuan kemanusiaan bagi Gaza dilancarkan pada 24 Februari.
Menyentuh tentang keberhasilan inisiatif M Kuasa Tiga (M³) – M³ in SG60 Action: Connecting, Contributing & Caring – Aid for Gaza’(Tindakan SG60 M³: Menghubung, Menyumbang & Mengambil Berat – Bantuan bagi Gaza) pada 5 Mac, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, menegaskan kepentingan menyediakan saluran sebegini bagi rakyat Singapura menghulur bantuan kepada Gaza meskipun jarak menyukarkan penglibatan langsung.
Beliau telah menyertai lebih 40 sukarelawan dan rakan kongsi M³ dalam sesi menyediakan dan membungkus kuih-muih di Kelab Masyarakat Siglap.
Projek mengumpul dana dengan kerjasama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) itu menetapkan sasaran mengumpul $600,000 untuk bantuan kemanusiaan di Gaza dari 24 Februari hingga 6 April.
Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), berkata: “Ramai rakyat Singapura sangat prihatin terhadap apa yang berlaku di Gaza. Mereka ingin membantu, tetapi kita berada di kawasan yang jauh.
“Oleh itu, kita perlu menyediakan rangkaian sokongan, di mana semangat ingin membantu dan keinginan untuk memperbaiki kehidupan mangsa di Gaza dapat dizahirkan oleh rakyat Singapura.”
Dalam tempoh hanya satu setengah minggu, sebanyak $266,000 berjaya dikumpulkan, kongsi Dr Maliki.
Beliau menekankan bahawa “bukan hanya sumbangan wang yang diperlukan, malah sumbangan tenaga dan masa juga” seperti usaha menyediakan dan membungkus kuih-muih tersebut.
Dalam usaha murni ini, sukarelawan menggembleng tenaga bagi membungkus lebih 300 botol biskut cip coklat dan emping jagung madu.
Antara relawan yang membantu ialah, Cik Nuwairah Adriana Khairul Rizal, 18 tahun, yang menyumbang bakti seawal 10 pagi.
Pelajar Politeknik Republic (RP) itu berkata: “Lazimnya, saya meluangkan masa menguruskan perniagaan dari rumah (HBB), Al Faneela, yang menerima tempahan sajian Hari Raya, seperti (kek) tapak kuda dan tart Nutella, dari ruang dapur sendiri.
“Namun, hari ini saya melakukan sesuatu yang lebih daripada sekadar perniagaan.”
Kuih-muih tersebut bakal diberikan sebagai cenderahati kepada mereka yang menderma di reruai Bazar Geylang Serai mulai 6 Mac.
Langkah itu adalah sebagai tanda penghargaan di atas sokongan dan diharap dapat menggalakkan anggota masyarakat turut membantu menyalurkan sumbangan.
Menurut M³, pengunjung Bazar Geylang Serai yang mengunjungi reruai #364 akan menerima kuih-muih tersebut, selagi bekalan masih ada.
Sekiranya stok kuih habis, mereka akan diberi hadiah lain yang dihasilkan orang awam seperti beg jinjing buatan tangan, minuman Salaam Cola, dan sampul duit Raya.
Reruai itu akan beroperasi sepanjang Ramadan.
Pemberian tersebut mencerminkan tema sambutan SG60 iaitu kepedulian, keterhubungan, dan sumbangan kepada masyarakat, kata Persatuan Rakyat (PA) dalam kenyataannya pada 4 Mac.
Daripada penglibatan itu, Cik Nuwairah tersentuh melihat ramai golongan muda tampil sebagai sukarelawan.
“Penglibatan mereka menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja sedar malah juga bersedia untuk bertindak, mempunyai rasa tanggungjawab sosial dan keprihatinan,” tambah relawan daripada badan tidak mengaut untung, Membina Community itu.
Dr Maliki turut menambah bahawa sukarelawan terdiri daripada pelbagai kerjaya termasuk kakitangan Hospital Besar Changi (CGH), serta pertubuhan seperti MudaSG, kumpulan etnik yang berbeza, dan relawan daripada pelbagai peringkat usia.
Melalui usaha demikian, Dr Maliki berharap agar ia dapat menyemai nilai empati dan pemahaman mendalam dalam kalangan rakyat Singapura, terhadap penderitaan mangsa di Gaza.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg