Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura prihatin sekatan bantuan, gesa isu Gaza tidak pecah belah masyarakat

Mar 3, 2025 | 9:16 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman,
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, - Foto MDDI

Singapura prihatin dengan keputusan Israel menyekat akses bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan menggesa agar semua pihak melakukan segala usaha diperlukan untuk mencapai gencatan senjata yang berkekalan, sekaligus membuka jalan kepada pembebasan semua tebusan, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.

Ini setelah fasa pertama gencatan senjata luput pada 1 Mac dengan Israel menyekat kemasukan semua bantuan kemanusiaan ke Gaza kerana menuntut Hamas bersetuju dengan rancangan Amerika Syarikat bagi melanjutkan gencatan senjata.

Dr Maliki juga berkata sementara konflik Gaza mendapat perhatian dan membangkitkan emosi masyarakat Melayu/Islam, ia tidak harus dipolitikkan atau digunakan untuk memecah-belahkan rakyat Singapura.

Dalam ucapan Bahasa Melayu semasa perbahasan Jawatankuasa Pembekalan (COS) Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 3 Mac di Parlimen, Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), berkata:

“Singapura berpendirian tegas bahawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza mesti dibenarkan berterusan untuk meringankan beban krisis kemanusiaan di sana.

“Kami menggesa semua pihak berusaha gigih melakukan segala yang mungkin untuk mencapai perjanjian gencatan senjata yang berkekalan yang dapat merintis jalan bagi pembebasan semua tebusan.”

Bantuan kemanusiaan tersebut lebih genting, sedang penduduk Gaza melaksanakan ibadah puasa dengan “kekurangan keperluan keperluan asas seperti air yang bersih, makanan, bekalan elektrik dan ubat-ubatan,” ujarnya.

Susulan sekatan oleh Israel, jurucakap Hamas berkata tindakan itu adalah satu langkah pemerasan dan “rampasan kuasa” ke atas perjanjian gencatan senjata dan menggesa pengantara untuk campur tangan.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata itu – menyaksikan pembebasan 33 tebusan rakyat Israel untuk kira-kira 1,900 tawanan dan tahanan rakyat Palestin – menghentikan pertumpahan darah selama 15 bulan susulan pertempuran antara Hamas dengan Israel.

Menjawab pertanyaan Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol) dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Neil Parekh, terhadap seruan bagi Singapura mengambil tindakan melangkaui pemberian bantuan kemanusiaan kepada Gaza, Dr Maliki menggesa agar konflik Israel-Hamas ini tidak dipolitikkan atau digunakan untuk memecahbelahkan rakyat Singapura.

Ini sungguhpun beliau akur konflik itu mempunyai emosi yang kuat di sini, terutama dalam masyarakat Melayu-Islam.

Dr Maliki berkata: “Ada yang bertanya mengapa Singapura tidak memutuskan segala hubungan dan urusan dengan Israel.

“Mereka ingin Singapura mengenakan sekatan sepihak terhadap Israel. Pada mereka, ini semua sebagai langkah menunjukkan sokongan Singapura terhadap Palestin

“Pemerintah berpendirian ini bukanlah langkah yang wajar atau produktif.”

Dari sudut ini, beliau menjelaskan bahawa pendekatan Singapura terhadap dasar luar negara adalah konsisten, yang mengutamakan kepentingan Singapura dan bukanlah di mana Singapura berpihak pada satu negara.

Beliau memberi contoh bahawa semua negara Arab yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sebelum serangan 7 Oktober 2024 tidak mengambil langkah memutuskan hubungan diplomatik tersebut.

Negara-negara ini sebaliknya mengambil langkah membina dan mempergiatkan proses diplomasi melalui bantuan kemanusiaan.

Singapura misalnya telah menghulurkan bantuan bernilai lebih $19 juta ke Gaza sejauh ini melalui tujuh bantuan kemanusiaan.

Dr Maliki berkata:

“Negara-negara ini, termasuk Singapura, telah berpendirian sedemikian kerana kami sedar bahawa mengambil pendekatan yang drastik, seperti memutuskan hubungan dengan Israel, akan merumitkan lagi ketidakstabilan rantau tersebut.

“Kami semua berpendirian bahawa keterlibatan, dan bukannya pengasingan, adalah langkah terbaik untuk mengekalkan prospek mencapai huraian dua negara yang kita semua inginkan bagi Israel dan Palestin.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg