Rangkaian M Kuasa Tiga (M³) telah berjaya menyediakan peluang bagi orang ramai terlibat dalam kerja kemasyarakatan, dengan jumlah sukarelawan di 11 M³@Bandar serata negara telah meningkat daripada 150 pada 2021 kepada 850 pada 2024, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
M³ juga telah menyediakan wadah bagi ramai karyawan Melayu/Islam tampil menyumbang kepada masyarakat, yang membawa kepada pelbagai program dan daya usaha dalam masyarakat dimulakan untuk memenuhi keperluan penduduk, tambah beliau.
“Tanpa M³, saya tidak mungkin dapat memanfaatkan kepakaran golongan karyawan yang hebat ini.
“Disebabkan kepakaran, semangat dan kepimpinan mereka, ia telah membawa kepada daya usaha masyarakat dan keupayaan menjalin rangkaian dengan sumber pemerintah.
“Kami tidak akan dapat mencapai tahap ini jika bukan kerana M³ dan peluang yang kami cipta untuk sukarelawan kami,” kata beliau.
Dr Maliki berkongsi demikian dalam sidang media pada 25 Oktober untuk memberi perkembangan terkini mengenai kemajuan M³@Bandar sepanjang lima tahun lalu.
Turut hadir di sidang itu ialah Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Dr Maliki memberi contoh sekumpulan peguam dan pakar undang-undang yang telah tampil mengadakan ceramah mengenai Surat Kuasa Berkekalan (LPA) supaya dapat mendidik masyarakat Melayu/Islam tentang cara menyiapkan wasiat.
Usaha tersebut bermula sebagai satu inisiatif masyarakat di M³@Woodlands tetapi hari ini telah menjadi sebuah pertubuhan rasmi dipanggil Peguam.
Sementara itu, program #HashTech oleh M³@Pasir Ris-Punggol pula – yang melengkapi belia dengan kemahiran digital – menyaksikan ramai karyawan Melayu/Islam dalam sektor teknologi menyumbang tenaga dan kepakaran mereka.
Daripada jumlah 850 sukarelawan yang ada sekarang, Dr Maliki berkata sekitar 79 peratus daripada mereka telah dilatih melalui Rangka Kerja Keupayaan Sukarelawan supaya mereka dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran mendekati keluarga dan masyarakat. Baki 21 peratus akan dilatih pada 2024.
Dalam usaha menggembleng tenaga lebih ramai sukarelawan, M³ telah memulakan satu usaha, dipanggil Sukarelawan Pertubuhan, dengan rangkaian itu bekerjasama dengan pertubuhan yang akan mengenal pasti kakitangan mereka yang berminat melakukan kerja sukarelawan.
Sejauh ini, tiga pertubuhan telah bekerjasama dengan M³ – Hospital Besar Changi (CGH), Public Service for Good (PSFG) dan Taqwa Financial Services.
Sekitar 50 kakitangan CGH, 70 daripada PSFG dan 30 hingga 50 daripada Taqwa Financial Services telah melahirkan minat melakukan kerja sukarelawan dalam program M³.
Meskipun jumlah sukarelawan telah bertambah sepanjang lima tahun lalu, beberapa pengerusi M³@Bandar telah berkongsi keprihatinan dengan Berita Minggu (BM) tentang sistem M³@Bandar berasaskan relawan yang dikhuatiri kurang mampan dalam jangka panjang.
Ada juga yang berkata terdapat sukarelawan yang tarik diri selepas tidak mempunyai peluang memperjuangkan isu-isu yang dekat pada hati mereka.
Menjawab keprihatinan itu, Dr Maliki berkata apa yang boleh dilakukan adalah mungkin untuk melihat sama ada terdapat kesesuaian lebih baik dalam memenuhi keinginan sukarelawan dengan peluang kesukarelawanan yang sedia ada.
“Respons kami adalah kami mungkin tidak dapat memenuhi jangkaan, aspirasi atau sesuaikan anda dalam program yang ada hari ini.
“Namun, ini tidak bererti idea anda tidak penting. Ini tidak bermakna minat anda tidak penting.
“Jika isu-isu ini penting kepada sesetengah kumpulan, kami boleh menghubungi anda semula dan kami boleh menyalurkan anda kepada agensi lain yang boleh mengadakan program yang bermanfaat untuk tujuan anda,” kata beliau.
Cik Rahayu pula menambah bahawa sifat M³ adalah untuk menghimpun orang ramai memberikan sokongan dalam bidang yang menjadi keutamaan masyarakat.
“Apa yang kami lakukan adalah untuk mencipta struktur dengan orang ramai boleh bersatu dalam perkara utama yang kita perlukan untuk menggerakkan masyarakat kita…
“Pemikirannya sepatutnya bukan hanya tentang diri anda. Ia juga tentang masyarakat dan apa yang anda boleh lakukan untuk merapatkan jurang itu,” kata beliau.
“
Tanpa M³, saya tidak mungkin dapat memanfaatkan kepakaran golongan karyawan yang hebat ini. Disebabkan kepakaran, semangat dan kepimpinan mereka, ia telah membawa kepada daya usaha masyarakat dan keupayaan menjalin rangkaian dengan sumber pemerintah. Kami tidak akan dapat mencapai tahap ini jika bukan kerana M³ dan peluang yang kami cipta untuk sukarelawan kami.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg