Satu papan pemuka, atau ‘dashboard’, bagi M Kuasa Tiga (M³) telah ditubuhkan bagi menyediakan maklumat dan memantau kemajuan kegiatan rangkaian tersebut, termasuk program dan inisiatif berbeza yang dijalankan serta bilangan peserta dan hasil programnya.
Papan pemuka tersebut juga dapat membantu bandar-bandar M³ melihat sumber pembiayaan yang boleh didapatkan bagi mereka mengadakan program, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
Berkongsi dalam satu sidang media pada 25 Oktober mengenai kemajuan M³@Bandar sepanjang lima tahun lalu, Dr Maliki berkata papan pemuka itu telah dapat ditubuhkan hasil bantuan dan kepakaran Encik Mohamed Raihan Hafidz Mohd Rafiek, pengerusi M³@Bedok.
“Dengan pengalaman beliau dalam logistik, penyelarasan dan menyepadukan sistem yang berbeza, beliau telah membantu kami mewujudkan sistem dan papan pemuka untuk M³,” kata beliau.
Maklumat lanjut mengenai papan pemuka itu akan dibentangkan semasa Forum M³ 2024 pada 10 November.
“Papan pemuka yang kami akan bentangkan di Forum M³ nanti akan menunjukkan program-program yang wujud dan bagaimana mereka boleh mendapatkan pembiayaan daripada sumber yang berbeza,” tambah Dr Maliki.
Papan pemuka itu kali pertama disebutkan Dr Maliki semasa sesi wawancara akhir tahun bagi merumuskan tentang pencapaian dan hal ehwal masyarakat Melayu/Islam Singapura pada 2023.
Ketika itu, Dr Maliki berkata papan pemuka itu akan ditubuhkan supaya dapat meneliti perkembangan dan keberkesanan program dan kegiatan di setiap bandar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg