Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah kini memacu transformasi masa depan menerusi tiga teras utama.

Ia termasuk memperkukuh kapasiti pengajaran, menyuntik kurikulum berteras celik digital, dan memupuk persekitaran pembelajaran yang bermakna.

Langkah strategik itu bagi memastikan institusi – yang menyambut ulang tahun ke-90 pada 2026 – kekal dinamik dalam melahirkan generasi pelajar yang berdaya saing dalam mengharungi dekad seterusnya.

Mudirah madrasah itu, Cik Maisarah Kasim, 54 tahun, memberitahu Berita Harian (BH) menjelang majlis makan malam sambutan ulang tahun ke-90 madrasah itu pada 19 September, institusi keagamaan khusus untuk pelajar perempuan itu ingin terus melahirkan Muslimah yang mempunyai asas agama kukuh, kecemerlangan akademik, pemikiran kritikal, kemampuan memimpin dan kesedaran sosial.

“Pada masa yang sama, Al-Ma’arif perlu terus memperkukuhkan hubungannya dengan masyarakat dan institusi di sekelilingnya.

“Madrasah bukan sebuah institusi yang berdiri sendiri. Ia adalah sebahagian daripada fabrik sosial Singapura dan mempunyai peranan dalam membentuk generasi yang mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara,” ujar beliau.

Usaha itu akan dilakukan dengan memperkukuhkan pedagogi, kemahiran digital, pembangunan profesional dan kesejahteraan guru.

Selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada pembangunan kurikulum masa hadapan yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada akademik, bahkan juga pemikiran kritikal, komunikasi, kepimpinan, kecelikan digital dan kecerdasan buatan (AI).

Menurut Cik Maisarah, madrasah yang akan menyambut ulang tahun ke-100 pada 2036, akan terus meneroka persekitaran pembelajaran yang menyokong kerjasama, kreativiti dan pembelajaran yang lebih bermakna.

Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, yang terletak di Lorong 39 Geylang, kini menyediakan pendidikan berasaskan kurikulum dwisistem, sekular dan ukhrawi, khusus bagi pelajar perempuan daripada peringkat sekolah rendah hingga prauniversiti.
Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, yang terletak di Lorong 39 Geylang, kini menyediakan pendidikan berasaskan kurikulum dwisistem, sekular dan ukhrawi, khusus bagi pelajar perempuan daripada peringkat sekolah rendah hingga prauniversiti. - Foto fail

Mengimbau kembali perjalanan sembilan dekad Madrasah Al-Ma’arif, Cik Maisarah berkata banyak perubahan telah berlaku sejak 1936.

“Namun, Al-Ma’arif sentiasa berkembang mengikut keperluan zaman tanpa meninggalkan identiti pendidikan Islamnya.

“Bagi Al-Ma’arif, evolusi bukan sekadar perubahan pada bangunan atau sistem, malah keupayaan untuk terus berkembang sambil mempertahankan nilai, prinsip dan identiti pendidikan Islamnya,” ujarnya.

Allahyarham Kiai Sheikh Muhammad Fadhlullah Suhaimi telah mengasaskan Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah pada 1936 – bermula hanya dengan 60 pelajar lelaki dan perempuan, di kawasan Tanjong Katong Road.

Kemudian, pada 1948, ia mencatat sejarah apabila tiga pelajarnya melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor Islam, Universiti Al-Azhar, di Mesir.

Antara yang meneruskan pengajian ke Universiti Al-Azhar ialah anak beliau sendiri, Allahyarham Ustaz Kamil Suhaimi, atau lebih dikenali sebagai Mu’allim Kamil Suhaimi, yang tamat pengajian Syariah dan Undang-Undang di universiti tersebut.

Menjelang 1969, Madrasah Al-Ma’arif menjadi madrasah khusus untuk pelajar perempuan.

Pada 1971, ia merupakan madrasah pertama untuk memperkenalkan dan mempersiapkan pelajar bagi menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ pada 1971 dan kemudian peringkat ‘A’ pada 1973.

Kini, Madrasah Al-Ma’arif, yang terletak di Lorong 39 Geylang, menyediakan pendidikan berasaskan kurikulum dwisistem, sekular dan ukhrawi, khusus bagi pelajar perempuan dari peringkat sekolah rendah hingga prauniversiti.

Salah sebuah bilik darjah bagi murid-murid peringkat sekolah rendah di Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah.
Salah sebuah bilik darjah bagi murid-murid peringkat sekolah rendah di Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Kesemua perkembangan ini menunjukkan bagaimana Madrasah Al-Ma’arif sentiasa bersedia untuk berubah dan berkembang supaya pendidikan Islam terus terkait dengan keperluan masyarakat, ujar Cik Maisarah.

Berkongsi tentang cabaran yang dihadapi sekolah itu, Cik Maisarah berkata:

“Dalam era moden, cabarannya ialah mengekalkan standard pendidikan agama yang tinggi sambil memenuhi tuntutan pendidikan nasional, di samping keperluan kewangan, pembangunan guru, kemudahan dan teknologi.

“Namun, antara kekuatan utama Al-Ma’arif ialah sokongan masyarakat. Madrasah ini dibina dan dipertahankan melalui wakaf, sumbangan masyarakat, pengorbanan guru, sokongan ibu bapa, alumni serta kepimpinan yang silih berganti.”

Selain Cik Maisarah, madrasah itu pernah dipimpin, antara lain, oleh Ustazah Sukarti Asmoin dari 1997 hingga 2017; dan Allahyarham Ustaz Mohd Amin Muslim dari 1990 hingga 1996.

Dalam pada itu, orang ramai yang berminat untuk menghadiri majlis makan malam ulang tahun ke-90 madrasah tersebut di Hotel Fairmont Singapore masih boleh membeli tiket di pautan, bh.sg/almaarif90 sebelum 19 September.