Buat julung-julung kalinya, pasukan pelajar Madrasah Alsagoff Al-Arabiah muncul johan bagi kategori Bahasa Arab dalam pertandingan debat Kejohanan Debat Antara Sekolah (IDC) baru-baru ini.
Pertandingan itu berlangsung secara fizikal di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Selangor pada 21 Julai, dan menghimpunkan pelajar sekolah menengah dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei dalam tiga kategori bahasa iaitu Arab, Inggeris dan Melayu.
Seramai 16 pasukan bertanding dalam pusingan akhir bagi kategori Bahasa Arab.
Ini merupakan penyertaan Madrasah Alsagoff yang kelima, dan mereka telah menghantar dua pasukan pada 2025.
Pasukan B, iaitu pasukan yang meraih tempat pertama, terdiri daripada tiga pelajar Menengah Tiga, Wereyka Nawfah Mas’udin, Alisha Nuha Muhammad Iqbal, Maryam Kautsar Fadhlur Rahman dan seorang pelajar Menengah Dua, Haneen Hasmuraizah.
Mereka mengatasi pasukan lawan dalam pusingan akhir sebagai pembangkang membahas usul: “Pelajar universiti yang berjaya tetapi menghadapi tekanan mental harus meninggalkan pengajian demi menjaga kesihatan mental.”
Ini kali pertama keempat-empat pelajar tersebut menyertai pertandingan debat.
Pasukan itu berhujah bahawa meninggalkan universiti bukanlah jalan terbaik.
Mereka menekankan pentingnya sokongan seperti kaunselor kampus, mempersoalkan ketiadaan jalan keluar konkrit dari pihak pencadang, serta menyorot kesan negatif jika pelajar cemerlang menarik diri kerana tekanan mental.
Salah seorang ahli pasukan, Alisha Nuha, turut dianugerahkan Pembahas Terbaik peringkat akhir.
Baginya, pengalaman yang paling bermakna ialah selepas pertandingan apabila para pendebat, mula menjalin persahabatan.
“Pengalaman ini bukan sahaja mengajar saya tentang berdebat, tetapi juga tentang nilai persahabatan dan ketulusan dalam berkongsi ilmu. Ia memberi motivasi kepada saya untuk terus belajar dan berusaha lebih keras serta menghargai setiap peluang yang diberikan,” kata anak sulung dua adik-beradik itu.
Mengulas strategi berhujah semasa membahas, Alisha mengongsi: “Dengan bimbingan pelajar senior, yang pernah menyertai pertandingan sedemikian, saya mainkan lebih emosi dalam intonasi dan cara saya berhujah. Dengan ini, saya dapat lebih meyakinkan para juri dan juga penonton yang hadir.”
Latihan pasukan bermula sejak pusingan saringan dijalankan secara dalam talian, sebelum mereka mara ke peringkat akhir yang dijalankan secara fizikal.
Menurut jurulatih mereka, Ustazah Asyunifar Abu, walaupun madrasah tidak mempunyai kelab debat rasmi, pelajar menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan yang dijalankan selepas waktu sekolah dan semasa cuti.
“Topik diberi hanya 30 minit sebelum pertandingan. Tanpa akses internet, mereka perlu bergantung kepada bahan cetak serta kajian yang telah dijalankan sebelum itu. Banyak juga bergantung kepada logik serta kefahaman mendalam terhadap isu,” jelas beliau.
Pelajar juga dilatih merujuk bahan dalam bahasa Melayu dan Inggeris sebelum menterjemahkan dan menyusun hujah dalam Bahasa Arab.
“Ini mengasah keupayaan mereka untuk memahami, menterjemah dan menyampaikan hujah secara tepat dalam masa singkat,” tambah Ustazah Asyunifar.
Latihan turut dibantu oleh beberapa mentor berpengalaman, termasuk pelajar Diploma tahun kedua madrasah itu yang pernah memenangi pertandingan debat Bahasa Arab di peringkat antarabangsa seperti di Qatar.
Pengetua Madrasah Alsagoff, Cik Harinah Abdul Latiff, menyifatkan kemenangan ini sebagai pencapaian penting bagi pendidikan madrasah di Singapura.
“Kemenangan ini sebagai jaminan kepada masyarakat Singapura bahawa pembelajaran di Madrasah Alsagoff tetap utuh, relevan dan sentiasa melengkapkan para pelajarnya dengan kemahiran yang seiring dengan tuntutan semasa.
“Kemenangan ini juga mencerminkan keutuhan kurikulum kami yang kekal relevan di peringkat antarabangsa di mana para pelajar tidak gentar berkomunikasi dalam Bahasa Arab,” kata Cik Harinah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg