Bagi kebanyakan keluarga, kenangan manis bersama keluarga lazimnya terbentuk apabila melancong ataupun apabila berkumpul, berjalan dan makan bersama.
Tetapi bagi keluarga Encik Jumahat Wari, kegiatan yang menjadi kenangan manis keluarganya adalah apabila mereka menyertai maraton, triatlon ataupun acara kecergasan seperti Hyrox secara bersama.
Dengan tidak secara langsung kegiatan lasak sedemikian menjadi ikatan yang mempererat hubungan kekeluargaan antara mereka.
Encik Jumahat, kini 71 tahun, memberitahu Berita Harian bahawa minatnya berbasikal dan berlari, dipupuk kepada ketiga-tiga anaknya sejak mereka di peringkat tadika.
“Sebab saya minat dan saya juga rasa penting untuk mereka jaga kecergasan dan kesihatan, saya cuba pupuk minat itu dari kecil,” ujar Encik Jumahat, bapa kepada tiga anak dan datuk kepada tiga cucu itu.
Menyingkap pengalaman awal bersenam bersama bapa mereka, anak kedua, Cik Norliyana Jumahat, 42 tahun, masih ingat bapanya mengajak mereka berlari-lari anak di Taman Bukit Batok.
Ini menyemai minat berlari dalam dirinya dan beliau telah menyertai aktiviti kokurikular balapan dan padang semasa di bangku sekolah.
Bagi anak bongsu, Encik Muhammad Hafiz Jumahat, 39 tahun, beliau pula tidak beberapa minat bersenam berbanding kakak-kakaknya semasa mudanya.
Antara kenangan awal “yang memenatkan” bagi Encik Hafiz adalah semasa menyertai acara tahunan The New Paper Big Walk, di mana Encik Jumahat mengajak keluarganya berjalan sejauh 10 kilometer secara bersama.
Ketika itu beliau masih di peringkat sekolah rendah.
“Namun semasa di politeknik semuanya berubah. Saya mula menyukai bersenam dan menjaga kecergasan apabila menyertai sukan bot naga,” ceritanya.
Ini meluaskan lagi minat keluarga itu bersenam bersama dan bermula 2010, adik-beradik itu menyertai acara lasak dan daya tahan seperti maraton, duotlon dan triatlon.
Melihat anak-anaknya bertanding, Encik Jumahat juga mula menyertai acara kecergasan sejak 2017. Sebelum itu, beliau dan isteri hanya menyorak dan menyokong usaha anak-anak.
Acara sukan pertama yang disertai Encik Jumahat ialah dalam acara kecergasan berbasikal.
Pada 2018 pula, Encik Jumahat telah menyertai acara kecergasan Desaru 113 berganti-ganti bersama Cik Norliyana dan menantunya, Encik Iskandar Abdul Hamid.
Mereka bertiga berganding sebagai satu pasukan dan telah meraih tempat pertama.
Dengan latihan berterusan, Encik Jumahat terus menyertai lebih maraton dan triatlon, bertanding secara individu atau dalam pasukan bersama anak atau rakan keluarga.
Encik Hafiz menyatakan bahawa acara kecergasan daya tahan sedemikian tidak murah.
“Tetapi oleh sebab sudah berlatih dan kami sudah bersedia, serta minat dalam sukan sebegini, kami rela membayar untuk menyertainya,” jelas Encik Hafiz yang menjelaskan bahawa berdasarkan jarak yang diliputi acara itu, serta jenamanya, harga penyertaan adalah antara $200 dengan lebih $1,000.
Dalam setahun, sekurang-kurangnya, keluarga itu akan menyertai dua acara kecergasan bersama, kata Encik Jumahat.
Secara keseluruhan, keluarga itu telah menyertai lebih 300 acara kecergasan, secara sendirian ataupun bersama.
Encik Jumahat baru-baru ini telah menjadi viral atas penyertaannya dalam acara kecergasan Hyrox pada Jun lalu.
Ini kerana beliau merupakan perserta tertua pada acara tersebut dan turut menjadi motivasi bagi orang ramai.
“Walaupun umur sudah meningkat, jangan putus asa. Jangan anggap usia sebagai penghalang. Anggap senaman ini sebagai ‘ubat’ untuk kesihatan jadi perlu amalkan tabiat kecergasan,” nasihat Encik Jumahat, yang sudah bersara. Dahulu beliau bekerja sebagai pengimpal besi selama 20 tahun dan kemudian pemandu forklift.
Amalan lazim Encik Jumahat sebelum acara kecergasan adalah untuk makan keledek dan telur, dan minum kopi ‘o’.
Acara kecergasan Encik Jumahat seterusnya ialah pada September 2025, satu acara berbasikal anjuran sebuah bank yang akan diadakan di Iskandar Puteri.
Ini disusuli pada Jun 2026 iaitu Kejohanan Sedunia Hyrox, yang akan diadakan di Sweden kerana telah dipelawa oleh para penganjur.
Atas dedikasi Encik Jumahat menyemai minat kecergasan kepada anak-anaknya membolehkan Cik Norliyana dan Encik Hafiz bersama-sama membuka cawangan gimnasium kecergasan sendiri, MethodX, di Gopeng Street dekat Tanjong Pagar, sejak 2023.
“Memang sudah menjadi impian saya untuk membuka gimnasium sendiri. Memandangkan adik saya juga mempunyai pengalaman mengendali gimnasium, kami membulatkan tekad untuk membuka gimnasium ini bersama,” jelas Cik Norliyana yang juga mula berlatih dalam mengangkat berat sejak pandemik Covid-19.
Bagi keluarga lain yang juga ingin menyertai kegiatan kecergasan bersama, Encik Hafiz berkata: “Sokongan sangat penting, kita harus menyokong satu sama lain. Jika terdapat ahli keluarga yang tidak menyertai acara itu, beliau boleh tetap hadir dan beri sokongan agar mereka juga memahami apa yang berlaku semasa acara tersebut.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg