Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Madrasah anjur Festival Pembelajaran Ma’arif 2025

Sep 12, 2025 | 5:30 AM
Pelajar menengah Madrasah Al-Ma’arif bakal memukau penonton dengan persembahan angklung yang menonjolkan bakat serta kemahiran muzik mereka.
Pelajar menengah Madrasah Al-Ma’arif bakal memukau penonton dengan persembahan angklung yang menonjolkan bakat serta kemahiran muzik mereka. - Foto MADRASAH AL-MA’ARIF AL-ISLAMIAH

Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah bakal menganjurkan acara Ma’arif Learning Festival 2025 (Festival Pembelajaran Ma’arif 2025). Matlamat acara tahunan ini ialah memupuk semangat cinta ilmu dalam kalangan pelajarnya. Festival ini akan berlangsung pada Sabtu, 20 September 2025, dan dijangka menjadi platform bagi pelajar, guru, ibu bapa, alumni serta masyarakat Islam. Mereka akan berkongsi pengalaman pembelajaran, kreativiti dan kepakaran masing-masing.

Menurut  Pengurus Pentadbiran di Madrasah Al-Ma’arif, Cik Mukhlisah Johan, acara bakal menekankan nilai beramal. Festival ini menampilkan pelbagai kegiatan menarik yang disusun mengikut beberapa komponen utama.

Pameran & Kegiatan Jabatan

Salah satu tarikan utama festival ini ialah pameran daripada pelbagai jabatan di madrasah tersebut. Setiap reruai yang tersedia mempamerkan hasil kerja pelajar, termasuk proses pembelajaran yang dilalui mereka di dalam kelas sehingga menghasilkan produk terakhir yang kreatif. 

Selain itu, strategi pedagogi yang digunakan dalam pengajaran, seperti permainan interaktif, komik, dan kuiz, turut dipamerkan untuk memberi gambaran kepada ibu bapa tentang pendekatan pembelajaran yang digunakan. Slaid-slaid pengajaran dan pembelajaran juga dikongsi dalam pameran tersebut. 

Festival ini juga menampilkan persembahan pelajar yang menarik dan berbilang kemahiran. Pelajar sekolah rendah akan mempamerkan persembahan mereka, hasil daripada kemahiran yang diperoleh melalui modul kegiatan kokurikulum (CCA) yang dipelajari. Sementara itu, pelajar sekolah menengah akan mempersembahkan seni silat, hasil latihan mereka selain persembahan angklung oleh pelajar Perbayu yang mempelajari alat muzik ini dalam sesi CCA yang dikendalikan. 

“Melalui persembahan ini, pelajar bukan sahaja berpeluang menunjukkan bakat mereka, malah menggalakkan penghayatan seni, budaya, dan disiplin diri,” jelas Cik Mukhlisah. 

Program Pendidikan untuk Semua Peringkat Umur

Festival ini turut menyediakan pelbagai program pendidikan yang dirancang khusus untuk pelbagai peringkat umur. Antara program yang menarik perhatian ialah:

1. Siri Syarahan: Menyingkap sifat-sifat kenabian:

Episod 1 (dalam talian) oleh Ustazah Nur Fathah Loakman;

Episod 2 (Google Meet) oleh Ustazah Siti Farah Umainah;

Episod 3 (secara fizikal) menampilkan Ustazah Sukarti Asmoin, Ustazah Nur Hidayah Azman, Ustazah Nur Fathah Loakman, dengan Ustazah Fadhlin Sakinah Muji sebagai moderator;

2. Bengkel Memasak Pulut Panggang oleh Dapur Rose yang akan memberi pengalaman amali dan interaktif kepada peserta.

3. Langkah berani: Bengkel Silat Pertahanan Diri Wanita oleh Pendekar Academy, bertujuan meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran pertahanan diri dalam kalangan pelajar wanita.

4. Bengkel penulisan Melayu oleh alumni, Cik Munirah Jaafar (Nirrosette), yang membuka ruang untuk peserta mengasah bakat menulis dan berkarya dalam Bahasa Melayu. 

Festival Pembelajaran Ma’arif turut disokong Persatuan Ibu Bapa & Guru (PSG) dan pihak alumni dengan 20 reruai pelbagai kategori, termasuk makanan & minuman, pakaian, kesihatan dan bahan pendidikan disediakan.

SEKILAS

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Instagram rasmi madrasah di @madrasahalmaarif_official.

Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah terletak di No 3 Lorong 39 Geylang, Singapura 387865.

Sila ke laman www.infaqmadrasahalmaarif.com untuk keterangan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg