Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Madrasah beroperasi satu sesi bagi semua peringkat bermula 2025

Dec 20, 2024 | 5:30 AM
Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah bakal memulakan persekolahan satu sesi bagi semua peringkat pelajar bermula pada 2025.
Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah bakal memulakan persekolahan satu sesi bagi semua peringkat pelajar bermula pada 2025. - Foto MADRASAH WAK TANJONG AL-ISLAMIAH

USTAZAH MASNIA NASSIM

Sekitar dua minggu lagi sesi persekolahan bagi 2025 bakal bermula. Bagi Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, tahun 2025 ini merupakan fasa baru bagi kami kerana selama hampir 66 tahun diasaskan, inilah kali pertama madrasah kami akan beroperasi dalam satu sesi bagi semua peringkat.

Kalau selama ini hanya kelas peringkat rendah atas (darjah empat hingga darjah enam), menengah dan prauniversiti sahaja bermula pada 7.30 pagi. Murid-murid darjah satu hingga tiga pula memulakan persekolahan mereka pada 11 pagi.

Namun kini, semua peringkat akan berhimpun pada satu masa, memulakan hari dengan zikir pada waktu pagi dan bacaan doa bersama, dan seterusnya memulakan pembelajaran pada 7.50 pagi .

Memang kami teruja mahu melaksanakan pembaharuan ini, namun dalam waktu yang sama bimbang apakah akan berlaku kekecohan atau semuanya akan berjalan lancar apabila semuanya bermula serentak kelak.

Dari segi bilik darjah, sebenarnya kesemua 24 kelas kami di Madrasah Wak Tanjong memang mampu menampung semua kelas dalam satu masa. Namun, dari segi keselesaan, ia masih belum dapat memenuhi keperluan pelajar kerana sebahagian bilik darjah yang sedia ada adalah bilik yang lebih kecil dan ada juga yang sememangnya merupakan bilik stor atau ruang penyimpanan yang telah diubahsuai untuk jadikan bilik darjah.

Di samping itu, ruang perhimpunan, ruangan untuk kegiatan kokurikulum (CCA) dan kegiatan tambahan yang lain untuk pembangunan pelajar juga amat terhad. Dengan adanya bangunan tambahan yang akan dibina dengan penambahan enam bilik darjah, pembelajaran untuk semua peringkat diharap dapat menjadi lebih kondusif untuk pelajar kami.

Dengan adanya bilik darjah tambahan ini, kelas-kelas yang kecil akan dijadikan ruang untuk kelas ‘pull out’, atau kelas berasingan bagi murid-murid yang memerlukan bimbingan tambahan. Maka disebabkan itulah projek Nur Ala Nur 2.0 bagi membina bangunan dan lif tambahan perlu dilaksanakan dengan segera.

Kami di Madrasah Wak Tanjong amat berharap ia akan siap dibina pada akhir 2025 dan dapat digunakan sepenuhnya mulai Januari 2026, insya-Allah.

Fasa kedua pembangunan ini menyasarkan bagi pembinaan bangunan annex (sambungan, tambahan) demi keperluan dan kegiatan luar darjah dan kelas-kelas pengayaan yang lebih luas untuk pelajar kami.

Marilah sama-sama kita menjayakan projek ini dengan berinfak, berzakat dan berwakaf agar dapat terus melahirkan generasi Muslim yang cemerlang dan bakal menyumbang semula kepada agama, bangsa dan negara.

Penulis merupakan mudirah di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

SEKILAS

1. Anda boleh menderma dengan menggunakan PayNow: UEN S55MM0002D atau hantarkan cek atas nama Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

2. Hubungi talian 6741-0131 atau e-mel kepada mwti@mwti.edu.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut.

3. Kunjungi Facebook@MWTI Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah untuk mengikuti perkembangan terbaru madrasah.

4. Langsung ke pejabat Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah di alamat 589 Sims Avenue Singapura 387600.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg