Dengan perbicaraan yang akan dimulakan dalam masa seminggu, mantan Menteri Pengangkutan, S Iswaran, pada 3 September gagal dalam percubaan ketiganya untuk mendapatkan kenyataan bersyarat setiap saksi pendakwaan.
Mahkamah Rayuan menolak permohonan terbaru Iswaran itu selepas mendengar hujah daripada peguamnya, Peguam Kanan Davinder Singh, dan tanpa memerlukan pihak pendakwaan menjawab.
Kenyataan bersyarat ialah cara memberikan keterangan dalam bentuk kenyataan bertulis, sebagai ganti keterangan lisan.
Permohonan pertama Iswaran ditolak pada 11 Jun oleh penolong pendaftar. Hakim Mahkamah Tinggi menolak percubaan kedua pada 19 Julai.
Pada 3 September, mantan menteri berusia 62 tahun itu mendapatkan rujukan jenayah – permohonan meminta mahkamah tertinggi Singapura itu menjawab satu persoalan undang-undang yang berkepentingan awam, lapor The Straits Times.
Dia mempersoalkan sama ada kenyataan saksi harus dimasukkan sebagai sebahagian daripada kewajipan penzahiran pendakwaan, dan sama ada mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintahkan pihak pendakwaan supaya berbuat demikian.
Di bawah undang-undang, seseorang tertuduh yang ingin memfailkan rujukan jenayah perlu terlebih dahulu memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan kebenaran berbuat demikian.
Terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada soalan itu mempunyai kepentingan awam yang mencukupi untuk dijawab.
Mahkamah, yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon serta Hakim Woo Bih Li dan Hakim Steven Chong, berkata dua soalan yang dibangkitkan itu bukan soal undang-undang yang berkepentingan awam.
Iswaran menghadapi sejumlah 35 pertuduhan – dua daripadanya kerana rasuah melibatkan kira-kira $166,000.
32 lagi pertuduhan adalah kerana memperolehi barangan bernilai lebih $237,000 sebagai penjawat awam, manakala satu adalah kerana menghalang perjalanan keadilan.
Tuduhan itu berkaitan dengan urusannya dengan taikun hotel dan hartanah, Encik Ong Beng Seng, dan pengarah urusan firma Lum Chang Holdings yang disenaraikan di papan utama, Encik David Lum.
Percubaan pertama pihak pembelaan untuk mendapatkan perintah mahkamah yang memerlukan pihak pendakwaan memberikan kenyataan bersyarat telah ditolak pada 11 Jun oleh seorang penolong pendaftar.
Di bawah Kanun Prosedur Jenayah (CPC), pihak pendakwaan mesti mendedahkan kenyataan saksi “yang dimaksudkan oleh pihak pendakwaan untuk diterima dalam perbicaraan”.
Pihak pembelaan berhujah bahawa pihak pendakwaan dikehendaki memberikan kenyataan bersyarat bagi setiap saksi yang ingin dipanggil pada perbicaraan.
Pihak pendakwaan pula berkata undang-undang menghendaki ia menyediakan hanya kenyataan bersyarat yang ingin diakui pada perbicaraan.
Ia menambah bahawa ia tidak berhasrat mengakui sebarang kenyataan bersyarat pada perbicaraan Iswaran.
Tiada kenyataan sedemikian telah direkodkan dan oleh itu tidak ada satu pun diberikan kepada pihak pembelaan.
Pihak pembelaan kemudian memfailkan permohonan, yang dikenali sebagai semakan jenayah, untuk hakim Mahkamah Tinggi menyemak keputusan penolong pendaftar.
Pada 19 Julai, Hakim Vincent Hoong menolak percubaan kedua itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg