Tarikh perbicaraan bagi kes rasuah berprofil tinggi mantan Menteri Pengangkutan, S Iswaran, telah ditetapkan pada September, lapor akhbar The Business Times.
Hari pertama perbicaraan akan berlangsung pada 10 September, dengan perbicaraan berlangsung setiap hari selama empat hari sehingga 13 September, menurut seorang jurucakap Pejabat Peguam Negara (AGC) pada 12 Ogos apabila menjawab pertanyaan media.
Perbicaraan pada asalnya ditetapkan bermula pada 13 Ogos, tetapi tarikh tersebut telah dikosongkan atas permintaan peguam bela, tambah jurucakap itu.
Iswaran, 62 tahun, menghadapi sebanyak 35 tuduhan, termasuk dua tuduhan rasuah. Dia dituduh mendapatkan barangan bernilai lebih daripada S$403,000 semasa bertugas sebagai penjawat awam.
Tuduhan itu berkaitan urusannya dengan jutawan hotel dan hartawan hartanah Encik Ong Beng Seng, serta pengarah urusan Lum Chang Holdings yang tersenarai di Singapura, Encik David Lum Kok Seng.
Pada mulanya, Iswaran dikenakan 27 tuduhan berkaitan urusannya dengan Encik Ong pada Januari.
Namun, dia kemudian dikenakan lapan tuduhan berkaitan urusannya dengan Encik Lum pada 25 Mac.
Pada Mei, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan Iswaran untuk satu perbicaraan bagi semua tuduhan jenayah terhadapnya, berbanding dengan gesaan pihak pendakwa raya agar perbicaraan berasingan bagi urusannya dengan dua ahli perniagaan tersebut.
Pada Julai, Mahkamah Tinggi menafikan permohonan pihak pembela agar pihak pendakwa raya menyerahkan kenyataan bertulis tertentu daripada saksi-saksi yang ditetapkan untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah yang akan datang.
Peguam Iswaran, Encik Davinder Singh, telah berhujah bahawa pihak pendakwa raya harus mengemukakan “kenyataan bersyarat” ini sebagai sebahagian daripada kewajipan di bawah Seksyen 214 (1) (d) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk mendedahkan bukti yang relevan kepada pihak lain sebelum perbicaraan, dalam proses yang dikenali sebagai penemuan pra-perbicaraan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg