Hakim Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan mantan Menteri Pengangkutan, S Iswaran, untuk memaksa pihak pendakwaan memberikan kenyataan bersyarat bagi kesemua 56 saksi yang telah disenaraikan untuk perbicaraan akan datang atas 35 pertuduhan.
Kenyataan bersyarat ialah cara memberikan keterangan dalam kenyataan bertulis, bukannya lisan, selalunya untuk mempercepatkan prosiding mahkamah.
Pada 19 Julai, Hakim Vincent Hoong, mendapati bahawa pihak pendakwaan hanya perlu memasukkan kenyataan saksi yang ingin diakui dalam perbicaraan, lapor akhbar The Straits Times.
Tambahnya, beliau tidak dapat menerima hujah pembelaan bahawa terdapat penyalahgunaan proses atau ketidakadilan serius terhadap Iswaran dalam kes ini.
Peguam Iswaran, yang diketuai Peguam Kanan Davinder Singh, telah berhujah di hadapan Hakim Hoong pada 5 Julai bahawa pihak pendakwaan harus memberikan kenyataan bersyarat bagi semua saksinya sebagai sebahagian kewajipan pendedahan praperbicaraannya di bawah undang-undang.
Pihak pendakwaan, yang diketuai Timbalan Peguam Negara Tai Wei Shyong, pula berhujah bahawa undang-undang hanya memerlukan pihak pendakwaan memberikan kenyataan bersyarat yang bertujuan digunakan semasa perbicaraan.
Pihak pendakwaan berkata memandangkan ia tidak berhasrat bergantung pada kenyataan bersyarat untuk perbicaraan Iswaran, tiada satu pun direkodkan daripada saksi, dan dengan itu, tiada satu pun diberikan kepada pihak pembelaan.
Pihak pendakwaan menambah, mereka telah mendedahkan “lebih daripada cukup” kepada pihak pembelaan.
Bahan yang didedahkannya termasuk 66 kenyataan yang direkodkan daripada Iswaran dan bukti dokumen setebal 1,156 muka surat, serta 37 kenyataan yang direkodkan daripada tujuh saksi semasa siasatan oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).
Antara saksi pendakwaan ini ialah isteri Iswaran, Cik Kay Mary Taylor; taikun hotel dan hartanah, Encik Ong Beng Seng; dan pengarah urusan Lum Chang Holdings, Encik David Lum Kok Seng.
Daripada 35 pertuduhan yang dihadapi Iswaran, dua kerana rasuah melibatkan kira-kira $166,000. Lagi 32 pertuduhan adalah kerana memperoleh barangan bernilai lebih $237,000 sebagai penjawat awam, manakala satu adalah kerana menghalang perjalanan keadilan.
Tuduhan itu berkaitan urusannya dengan Encik Ong dan Encik Lum.
Permohonan di hadapan Hakim Hoong adalah kali kedua pasukan pembelaan memohon perintah mahkamah agar pihak pendakwaan memberikan kenyataan bersyarat.
Percubaan pertama ditolak pada 11 Jun oleh penolong pendaftar, yang membuat kesimpulan bahawa undang-undang tidak memerlukan kenyataan bersyarat untuk direkodkan bagi setiap saksi yang pihak pendakwaan berhasrat untuk panggil pada perbicaraan.
Perbicaraan beliau dijadualkan bermula pada 13 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg