Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahkamah Syariah lantik 2 hakam wanita buat kali pertama
Mahkamah Syariah lantik 2 hakam wanita buat kali pertama
Jumlah hakam naik daripada 18 kepada 22, Wakil Kanak-kanak (RC) naik daripada 2 kepada 4 anggota, cermin permintaan bertambah
Mahkamah Syariah lantik 2 hakam wanita buat kali pertama
Panel hakam atau penimbang tara perkahwinan di Mahkamah Syariah (SYC) telah ditambah daripada 18 kepada 22 anggota, termasuk dua hakam wanita yang dilantik dalam panel hakam buat kali pertama di Singapura.
Hakam ialah ustaz atau ustazah yang menguruskan proses perceraian di SYC.
Apabila timbul pertikaian dalam proses tersebut, hakam akan berusaha menghuraikannya agar ia tidak berakhir dengan perceraian, dan jika huraian tidak dicapai hakam akan memastikan prosiding perceraian berjalan tanpa sengketa.
Selain itu sokongan bagi kanak-kanak juga telah ditambah.
Panel Wakil Kanak-kanak (RC), yang dilantik juga naik daripada dua kepada empat anggota.
Panel RC di SYC dianggotai pengamal sains kemasyarakatan dan terlatih yang dilantik oleh mahkamah dalam perbicaraan perceraian, melibatkan penjagaan dan pengaturan penjagaan kanak-kanak.
Diperkenalkan pada 2023, RC bertindak sebagai pihak ketiga yang tidak berpihak kepada ibu atau bapa, tetapi memberi tumpuan semata-mata kepada kebajikan kanak-kanak melalui keadilan terapeutik.
Kededua panel hakam dan RC baru ini mula menggalas tanggungjawab bagi penggal 1 April 2026 hingga 31 Mac 2029.
Berkongsi kepada Berita Harian, Presiden Kanan SYC, Ustaz Dr Irwan Hadi Mohd Shuhaimy, berkata penyertaan hakam wanita dalam panel hakam kali ini dapat menyuntik perspektif lebih luas dan lebih seimbang, terutamanya dalam situasi yang sensitif.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelantikan Hakam dan Wakil Kanak-kanak SYC di hotel Parkroyal Beach Road pada 17 April.
Majlis tersebut dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, selaku tetamu terhormat.
Ustaz Dr Irwan Hadi berkata: “Persoalan sebenar adalah untuk memastikan pihak-pihak yang terlibat mempunyai sokongan yang mencukupi dan nuansa pandangan, khususnya dalam penetapan hakam.
“Dengan adanya hakam wanita, pihak wanita yang inginkan kehadiran dan perspektif kaum Hawa untuk membantu mereka semasa perceraian mempunyai pilihan tersebut.
“Ini memandangkan lebih ramai asatizah wanita kini yang dilatih dalam aspek kaunseling.”
Beliau juga menambah bahawa peningkatan jumlah anggota hakam bagi penggal terkini mencerminkan permintaan yang meningkat bagi khidmat tersebut, sekali gus ia memberikan pilihan lebih luas bagi pasangan yang sedang melalui perceraian.
Menukil Laporan Trend Keluarga 2025 yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Julai 2025, kadar perceraian pasangan Islam kekal lebih tinggi berbanding pasangan perkahwinan sivil, merentasi semua kohort perkahwinan.
Namun, jurang antara kededua kadar itu telah mengecil dengan ketara bagi kohort perkahwinan lebih terkini.
Oleh demikian, Dr Faishal berkata peranan hakam serta RC kian penting agar keluarga yang sedang menjalani perceraian mempunyai sokongan yang kukuh.
“Perceraian sememangnya bukan mudah. Ia menyebabkan kesakitan, ketidakpastian, dan tekanan emosi.
“Namun, melalui usaha kolektif (hakam dan RC) ini, sokongan sentiasa ada pada setiap langkah dan keluarga tidak dibiarkan mengharungi perjalanan ini bersendirian,” kata Dr Faishal dalam ucapannya.
Beliau menambah sokongan yang diberikan SYC kini lebih terancang dan terselaras.
Ini membantu individu yang sedang atau telah melalui perceraian untuk membina semula kehidupan mereka dengan bermaruah.
Misalnya, ibu bapa boleh menggalas tanggungjawab penjagaan anak secara bersama – sekali gus memastikan anak-anak mendapat kestabilan dan sokongan emosi yang mereka perlukan untuk membesar dengan baik, ujarnya.
Justeru, beliau teruja melihat perkembangan SYC daripada sekadar wadah menyelesaikan pertikaian dan menjatuhkan hukuman, ke arah usaha mendapatkan ‘keadilan terapeutik’ berteraskan sifat Ihsan (belas kasihan), Islah (Perdamaian), dan Adil.
Dalam satu kenyataan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada 17 April, keadilan terapeutik ini menjadi tonggak yang menyokong pemeliharaan hubungan keluarga, melindungi kesejahteraan kanak-kanak dan mengurangkan permusuhan antara pasangan.
“Dengan panel hakam yang baharu dan RC yang diperluas, SYC dapat menyediakan sokongan inklusif dan holistik untuk memperhalusi jalinan hubungan dan memupuk pembinaan daya tahan keluarga,” kata MCCY.
Salah seorang hakam wanita, Ustazah Dr Rohana Ithnin, berkata beliau melihat pelantikannya bukan sebagai batu loncatan, tetapi sebagai sumbangan kepada masyarakat.
Menurutnya, beliau mengalu-alukan cabaran yang bakal dilalui ini kerana menganggapnya sebagai satu amanah demi membantu mereka yang memerlukannya.
