Belia hari ini dan generasi akan datang mesti menganggap Singapura sebagai ‘rumah’ mereka dan di mana bakat mereka diiktiraf dan dihargai, kata Encik George Goh.
Sehubungan itu, Encik Goh, seorang usahawan, yang telah meluahkan hasrat untuk bertanding bagi jawatan Presiden, berharap dapat mewujudkan lebih banyak platform untuk belia menonjolkan bakat mereka, dan ini termasuk membuka pekarangan Istana untuk membolehkan lebih banyak konsert belia diadakan, jika beliau dipilih sebagai Presiden.
“Saya baru sahaja pergi ke konsert Hari Kebangsaan di Gardens by the Bay. Beribu-ribu orang menyanyi bersama-sama. Ternyata, kami mempunyai ramai belia berbakat di Singapura.
“Mungkin Istana adalah tempat yang bagus untuk konsert belia dianjurkan. Tetapi saya harus teliti dan bincang lebih lanjut atas dasar keselamatan dan juga pertimbangan lain,” kata Encik Goh.
Selain itu, dengan pengetahuan dan rangkaiannya yang luas dalam bidang perniagaan, Encik Goh juga berharap dapat menggalak lebih ramai perniagaan dan individu untuk tampil dan mewujudkan budaya pementoran dan keusahawanan bagi belia Singapura.
Ini termasuk menyokong belia dan golongan orang kurang upaya dalam mengembangkan bakat dan minat mereka dalam bidang seperti seni dan muzik.
“Pandangan saya ialah belia Singapura adalah masa depan kita. Saya ingin menggalak ciri-ciri keusahawanan atau pementoran, dan membawa lebih banyak badan perniagaan untuk menyokong belia dalam aspirasi mereka.
“Kita perlu mengekalkan golongan muda yang berbakat di sini dan mengiktiraf mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat kita,” kata Encik Goh yang berkongsi bahawa dana daripada Cabaran Presiden yang diperluaskan akan disuntik untuk menyokong belia dalam bidang ini.
Pada Isnin, Encik Goh telah mengumumkan bahawa jika dipilih, beliau berhasrat untuk memperluaskan skop Cabaran Presiden dengan mengumpul $1 bilion untuk badan kebajikan dan badan amal kecil yang kurang diiktiraf. Beliau menambah bahawa dana yang diperoleh, bersama-sama dengan faedah, adalah “kaedah yang lebih mampan untuk membiayai mereka yang kurang bernasib baik”.
“Ramai orang masih di belakang. Saya fikir bolehkah saya mengajak ahli perniagaan, orang kaya, badan-badan untuk bekerjasama dengan Presiden untuk melihat sama ada kita boleh menyediakan platform yang lebih besar (untuk membantu mereka)?
“Dana ini boleh menyokong beberapa pertubuhan bukan meraih untung. Jika kita boleh meluaskan Cabaran Presiden, kita boleh menyokong mereka, memperkasa mereka, mereka boleh memberikan lebih banyak bantuan kepada mereka yang memerlukan,” kata Encik Goh.
Apabila ditanya apakah mesej yang ingin beliau kongsi bersama rakyat Singapura dan belia yang sedang bergelut untuk meraih kejayaan, Encik Goh, yang bermula sebagai tukang kasut sebelum berjaya sebagai seorang usahawan, berkata, “jangan berhenti belajar”.
“Untuk pekerjaan pertama saya, saya tidak mempunyai pilihan, saya belajar satu kemahiran yang dipanggil membuat kasut yang sangat berharga kepada saya. Jadi, walaupun anda seorang mekanik, ia bukanlah akhir dunia. Masuk bengkel, buat kerja, kemudian buka bengkel kereta. Terdapat banyak tangga kejayaan.
“Sehingga hari ini, saya masih belajar – bahasa, muzik, malah kini saya perlu belajar lebih mendalam mengenai perlembagaan dan politik!” ujar Encik Goh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg