Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maidin berjiwa murni, pentingkan keperluan masyarakat

Jun 25, 2024 | 9:10 PM
Mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), yang juga mantan editor Berita Harian, Encik Zainul Abidin Rasheed (paling kiri), memberi ucapan mengenai keperibadian Allahyarham Mohamad Maidin Packer Mohd sebelum solat jenazah di Masjid Ba’alwie. Beliau disertai anak sulung arwah, Encik Mohamad Mahathir Mohamad Maidin (dua dari kiri); Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas (tengah); serta pemimpin masyarakat lain, termasuk Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, dan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), yang juga mantan editor Berita Harian, Encik Zainul Abidin Rasheed (paling kiri), memberi ucapan mengenai keperibadian Allahyarham Mohamad Maidin Packer Mohd sebelum solat jenazah di Masjid Ba’alwie. Beliau disertai anak sulung arwah, Encik Mohamad Mahathir Mohamad Maidin (dua dari kiri); Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas (tengah); serta pemimpin masyarakat lain, termasuk Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, dan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sudah menjadi kebiasaan Allahyarham Mohamad Maidin Packer Mohd mengunjungi Masjid Ba’alwie pada Selasa dan Jumaat sekitar tengah hari untuk beribadah dan bertemu rakan taulan.

Mantan Setiausaha Parlimen Kanan dan Penolong Editor Berita Harian (BH) berusia 66 tahun itu juga mengambil kesempatan itu untuk beliau dan sekumpulan rakannya berkongsi pandangan mengenai hal ehwal semasa dan masyarakat Melayu/Islam.

Namun, suasana di Masjid Ba’alwie pada Selasa 25 Jun diselubungi sendu, dengan puluhan ahli keluarga dan sahabat handai menunaikan solat jenazah dan membacakan tahlil bagi mengiringi pemergian beliau buat kali terakhir.

Allahyarham Mohamad Maidin meninggal dunia pada 24 Jun akibat serangan jantung. Jenazah arwah dikebumikan di Pusara Aman pada 25 Jun.

Berkongsi bersama BH menerusi aplikasi pemesejan WhatsApp selepas upacara pengebumian, anak arwah, Encik Mohamad Mahathir Mohamad Maidin, berkata ayahnya sedang menjamu selera di sebuah kedai kopi berhampiran Blok 470, Tampines Street 44, bersama beberapa rakan pada 24 Jun.

Ayahnya tiba-tiba rebah. Beliau dikejarkan ke Hospital Besar Changi (CGH) oleh ambulans dan usaha dijalankan untuk memulihkan denyutan jantungnya, namun ia tidak berhasil.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada 8.08 malam, menurut sijil kematian yang dilihat BH.

Sijil itu menambah punca kematian adalah disebabkan penyakit jantung atau ‘acute ischaemic heart disease’.

Encik Mohamad Mahathir, anak sulung dalam kalangan lima adik-beradik berusia 44 tahun, menyifatkan ayahnya sebagai seorang yang mengutamakan masyarakat dan “berikan sedaya upaya kepada mereka yang beliau memberi khidmat”.

“Arwah tidak membezakan individu yang kurang berpendapatan atau mewah. Kepada beliau, semua golongan sama dan beliau ingin bantu mereka yang benar-benar memerlukan.

“Itulah sebabnya beliau disayangi oleh ramai dalam masyarakat,” tambah Encik Mahathir.

Perdana Menteri Lawrence Wong, yang hadir memberi penghormatan di rumah arwah di Tampines Street 33 pada 25 Jun, menyatakan dalam satu catatan di Facebook bahawa Allahyarham memberi sumbangan tidak terhingga di beberapa kementerian.

“Usaha yang diterajuinya juga memastikan Geylang Serai kekal sebagai sebuah hab yang mekar dan bertenaga buat masyarakat Melayu/Islam, selain membentuk asas bagi pelbagai rancangan Jalur Budaya Geylang Serai yang akan datang,” ujar Encik Wong.

Dalam surat takziah kepada balu Allahyarham, Cik Rahimah Asmore, pada 25 Jun, Menteri Kanan Lee Hsien Loong berkata hubungan erat arwah dengan masyarakat Melayu/Islam “menjadikannya penasihat yang baik berhubung isu terkait dengan masyarakat dan di peringkat kebangsaan”.

“Perdana Menteri yang bersilih ganti, termasuk saya, menghargai wawasan dan pandangan politiknya,” tambah Encik Lee. Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, melahirkan dukacita dan menzahirkan penghargaannya terhadap arwah.

Dalam satu catatan Facebook pada 25 Jun, beliau melahirkan rasa bersyukur kerana mendapat bimbingan Allahyarham.

Beliau berkata: “Saya amat menghargai peluang untuk mempelajari daripadanya cara kepimpinan yang jujur dan mesra, menyaksikan dedikasinya yang luar biasa secara langsung ketika beliau turun padang dan berinteraksi dengan rakyat Singapura dari pelbagai lapisan masyarakat.”

Dalam pada itu, mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar) dan mantan Editor BH, Encik Zainul Abidin Rasheed, semasa berucap di Masjid Ba’alwie pada 25 Jun menjelaskan hati arwah berhati murni yang “mementingkan kepentingan, keperluan dan kemajuan masyarakat Melayu/Islam dan Singapura secara amnya”.

Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, menyebut tentang teladan yang ditunjukkan arwah sebagai wartawan contoh “yang mempunyai kaitan yang rapat dengan masyarakat Melayu/Islam”.

“Kelebihan ini turut beliau manfaatkan apabila menyertai politik, sehingga dapat mewakili kepentingan dan keinginan masyarakat dengan baik,” kata Encik Nazry.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg