Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majikan, pekerja perlu bincang secara membina bagi aturan kerja fleksibel

Kerjasama tiga pihak penting; pemerintah bakal kongsi butiran lanjut pada perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS)
Feb 5, 2025 | 8:51 PM
Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang.
Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang. - Foto MDDI

Pemerintah bekerjasama dengan majikan untuk menjadikan tempat kerja lebih kondusif bagi pekerja yang mempunyai anak kecil, kata Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang.

Ini termasuk membolehkan ibu bapa yang bekerja mengimbangi kerja dan tugas pengasuhan mereka melalui Pengaturan Kerja Fleksibel (FWA) dan menyokong penjaga sepenuh masa untuk kembali bekerja apabila mereka bersedia berbuat demikian.

Bercakap di Parlimen pada 5 Februari, Cik Gan berkata FWA boleh membantu menyokong ibu bapa dalam menguruskan komitmen kerja dan keluarga.

Beliau turut menggesa kedua-dua majikan dan pekerja supaya berbincang secara membina dalam mendapatkan FWA bagi memenuhi keperluan kedua-dua pihak.

“Untuk FWA berfungsi dengan baik, kepercayaan dan komunikasi diperlukan daripada kedua-dua pihak – majikan harus menilai permintaan untuk FWA berdasarkan alasan perniagaan dan menyampaikan hasil penilaian kepada pekerja.

“Pekerja harus terbuka untuk meneroka penyelesaian yang boleh diterima bersama jika majikan tidak dapat menyediakan FWA yang diminta,” kata Cik Gan.

Cik Gan berkata demikian bagi menjawab usul yang difailkan oleh Cik Hany Soh (GRC Marsiling-Yew Tee) dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang), yang menyeru pemerintah supaya terus menyemak dan mengemas kini dasarnya bagi menyokong keluarga dengan lebih baik.

Usul itu, yang dibahaskan oleh 24 AP, turut menyeru agar pemerintah menyokong aspirasi perkahwinan dan keibubapaan rakyat Singapura serta menyokong pendekatan keseluruhan masyarakat untuk membina ‘Singapura Yang Dibina Buat Keluarga’.

Selain FWA, Cik Gan berkata majikan dan pekerja juga boleh mempertimbangkan pengaturan kerja masa fleksibel, seperti waktu kerja berperingkat, atau pengaturan beban fleksibel, seperti kerja sambilan.

Beliau menambah Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bekerjasama rapat dengan rakan kongsi tiga pihak untuk membina keupayaan dan keyakinan majikan dalam melaksanakan FWA dan akan berkongsi butiran lanjut pada perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) yang akan datang.

Bagi wanita yang kembali bekerja selepas berehat daripada kerjaya, Cik Gan berkata terdapat banyak program untuk menyokong wanita menyertai semula tenaga kerja seperti Inisiatif Kerjaya Wanita Agensi Tenaga Kerja Singapura dan inisiatif Women@Work Yayasan Mendaki.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, yang turut berucap menjawab usul itu, berkata dalam tempoh lima tahun ini, pemerintah telah melakukan perubahan besar dan mengorak langkah berani untuk membantu keluarga mendapatkan rumah mampu milik.

Ini termasuk membantu pasangan muda mendapatkan rumah mereka sendiri bagi membolehkan mereka memulakan keluarga, mengurus kos dan tekanan membesarkan anak-anak serta mengimbangi tanggungjawab kerja dan keluarga.

“Menyokong pemohon berkahwin kali pertama adalah keutamaan utama dasar perumahan awam kita. Kita memperuntukkan sehingga 95 peratus daripada bekalan flat awam kita untuk pemohon pertama.

“Kami akan terus menyediakan saluran pembinaan rumah yang stabil selaras dengan permintaan dalam beberapa tahun akan datang, dan melancarkan lebih 50,000 flat antara 2025 dengan 2027,” kata Cik Indranee.

Beliau menambah, pemerintah juga telah berusaha keras untuk meningkatkan kebolehcapaian flat Bina Ikut Tempahan (BTO), dengan memperkenalkan kategori keutamaan ibu bapa dan pasangan suami isteri kali pertama untuk membantu mereka yang mempunyai anak kecil mendapatkan rumah pertama dengan lebih cepat.

Sejak diperkenalkan, kira-kira sembilan daripada 10 ibu bapa kali pertama dan pemohon pasangan suami isteri telah diundang menempah flat pada setiap pelancaran jualan, tambahnya.

“Kami juga telah mengorak langkah penting untuk memastikan perumahan HDB mampu milik bagi membantu pasangan muda yang memasuki pasaran pekerjaan, tetapi masih membina simpanan mereka.

“Kami memperkenalkan skim taksiran pendapatan tertunda dan skim bayaran muka berperingkat untuk pelajar sepenuh masa dan anggota Perkhidmatan Negara.

“Kami juga membuat langkah besar tahun lepas (2024) untuk memperkenalkan rangka kerja klasifikasi flat HDB baru, peningkatan subsidi untuk flat Plus dan Prime menjadikan flat di lokasi ini lebih mampu milik untuk pasangan Singapura,” kata Cik Indranee.

Menjawab cadangan Encik Faisal Manap (GRC Aljunied) supaya membenarkan pasangan yang sedang menjalani prosiding perceraian memohon flat sewa walaupun perceraian mereka belum muktamad, Cik Indranee berkata HDB boleh meluluskan permintaan berdasarkan setiap kes.

“Mengubah minda masyarakat dan tempat kerja adalah penting untuk menggalakkan penglibatan bapa yang lebih besar. Ini termasuk mentakrifkan semula maskuliniti, dalam mempromosikan idea bahawa penjagaan adalah kekuatan, bukan kelemahan, dan yang melibatkan keibubapaan adalah aspek utama maskuliniti moden. Kita juga perlu menggalakkan kedua ibu bapa memikul tanggungjawab yang sama untuk membesarkan anak.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

“Adakah mungkin bagi keluarga untuk mendapatkan kadar bayaran balik pinjaman perumahan yang lebih rendah atau tertunda daripada HDB untuk beberapa tahun pertama kelahiran anak mereka? Ini boleh meringankan sebahagian daripada beban kewangan dan tekanan ke atas ibu bapa baru yang tumpuan utamanya sepatutnya diberikan kepada bayi baru lahir.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, Cik Hany Soh.

“Walaupun sesetengah mungkin memilih untuk kekal bujang atau bebas (tanpa) anak, tidak cukup yang telah diperkatakan untuk mereka yang mendambakan anak sendiri tetapi tidak dapat menjadi ibu bapa. Ini mungkin disebabkan oleh kesihatan fizikal atau mental; kebimbangan atau trauma dari zaman kanak-kanak mereka sendiri; atau kekurangan sumber kewangan untuk mendapatkan bantuan awal.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin.

“Saya ingin mengulangi untuk menyuarakan di Dewan ini, mengenai pihak isteri atau suami yang sedang menjalani proses penceraian di mana mereka amat gusar tentang mendapatkan tempat berteduh untuk diri mereka dan anak-anak mereka, apabila rumah mereka perlu dijual atas arahan mahkamah. ”
Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, Encik Faisal Manap.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg