Pemerintah komited untuk menyokong semua keluarga melalui setiap detik penting kehidupan, kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling.
Ini termasuk menyokong aspirasi pasangan yang ingin berkahwin dan membesarkan keluarga, serta menyokong golongan ibu bapa yang mempunyai anak kecil.
Bercakap di Parlimen pada 5 Februari, Cik Sun berkata aspirasi perkahwinan di kalangan anak muda Singapura kekal kukuh, dan pemerintah akan terus bekerjasama dengan rakan kongsinya untuk menyokong anak muda Singapura membina keluarga masa depan mereka sendiri.
“Selain mengeratkan hubungan perkahwinan, kami juga meningkatkan sokongan kepada ibu bapa, terutama bagi mereka yang mempunyai anak kecil yang perlu mengimbangi tanggungjawab menjaga anak dan bekerja.
“Kami telah melabur dengan ketara dalam penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak selama ini, khususnya dengan meluaskan akses kepada prasekolah mampu milik dan berkualiti untuk memberi setiap kanak-kanak permulaan yang baik,” kata Cik Sun.
Untuk menjadikan kos penjagaan kanak-kanak lebih berpatutan, Cik Sun berkata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan mengurangkan yuran penjagaan kanak-kanak pada 2026 seperti yang diumumkan pada 2024.
Dengan langkah itu, keluarga yang mendaftar dalam penjagaan kanak-kanak sehari penuh di prasekolah pengendali utama (AO) akan membayar yuran yang serupa dengan perbelanjaan penjagaan pelajar sekolah rendah dan selepas sekolah.
Cik Sun berkata demikian bagi menjawab usul Cik Hany Soh (GRC Marsiling-Yew Tee) dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang).
Usul tersebut menyeru pemerintah terus menyemak dan mengemas kini dasarnya untuk menyokong keluarga dengan lebih baik, selain menyokong aspirasi perkahwinan dan keibubapaan rakyat Singapura.
Usul tersebut, yang dibahaskan oleh 24 AP dan turut diluluskan oleh Parlimen selepas dibahaskan lebih tujuh jam pada 5 Februari, juga menyeru agar pemerintah menyokong pendekatan seluruh masyarakat untuk membina sebuah “Singapura Yang Dibina Buat Keluarga”.
Semasa berucap, Cik Sun mengakui cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa yang mempunyai anak kecil dalam mendapatkan tempat prasekolah.
Beliau menyatakan bahawa bilangan tempat penjagaan bayi sehari penuh telah meningkat tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun lalu, daripada sekitar 6,000 tempat pada 2015 kepada sekitar 16,000 tempat pada 2024.
Tempat penjagaan kanak-kanak sehari penuh, sebaliknya, telah meningkat dengan ketara sejak 10 tahun lalu, daripada sekitar 115,000 tempat pada 2015 kepada sekitar 200,000 tempat pada 2024, tambahnya.
Melangkah ke hadapan, Cik Sun berkata MSF kekal komited untuk meningkatkan akses kepada sekolah mampu milik dan berkualiti untuk keluarga.
“Menjelang akhir tahun ini, 80 peratus kanak-kanak prasekolah boleh mendapat tempat di sekolah yang disokong pemerintah.
“Dari 2025 hingga 2029, ECDA akan bekerjasama dengan AO prasekolah untuk menambah kira-kira 40,000 tempat sehari penuh baru, termasuk 6,000 tempat penjagaan bayi,” tambahnya.
Cik Sun berkata pemerintah telah melabur secara besar-besaran dalam program yang disasarkan kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak dengan keperluan pembangunan.
Ini termasuk mengembangkan program Sokongan Pembelajaran Sokongan Pembangunan kepada lebih banyak prasekolah dan meningkatkan kapasiti Program Campur Tangan Awal Bagi Bayi dan Kanak-kanak (EIPIC) dan EIPIC-P.
Bagi orang kurang upaya (PWD), beliau menambah bahawa pemerintah akan terus menyokong mereka dan keluarga mereka merentasi peringkat kehidupan seperti yang ditetapkan dalam Pelan Induk Pemerkasaan (EMP) 2030.
Ini termasuk melakukan lebih banyak lagi untuk mengurangkan beban kewangan keluarga seperti menurunkan yuran di sekolah Pendidikan Khas (Sped) dan Pusat Asuhan Pelajar Khas.
“Usaha kita untuk menyokong keluarga tidak akan tercapai tanpa sumbangan pelbagai agensi, pihak berkepentingan dan sukarelawan.
“Sememangnya, setiap rakyat Singapura mempunyai peranan untuk mengukuhkan keluarga sebagai satu unit.
“Ia memerlukan usaha kolektif, seluruh masyarakat untuk menjadikan tempat di mana semua keluarga boleh membangun dan berkembang maju,” kata Cik Sun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg