Topik diikuti
Pergi ke BHkuMajlis bandaran nafi dakwaan pekerja geledah tong sampah, kutip tin demi ‘gaji berganda’ menerusi BCRS
Majlis bandaran nafi dakwaan pekerja geledah tong sampah, kutip tin demi ‘gaji berganda’ menerusi BCRS
Majlis bandaran nafi dakwaan pekerja geledah tong sampah, kutip tin demi ‘gaji berganda’ menerusi BCRS
Majlis Bandaran Marine Parade-Braddell Heights menafikan dakwaan bahawa pekerja pembersihannya mengutip bekas minuman dari tong sampah untuk memperoleh “gaji berganda” menerusi Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS).
Penjelasan itu dibuat selepas video yang dimuat naik pengguna TikTok, ‘jiatong888’, pada akhir Oktober tular, menunjukkan dua lelaki berpakaian seragam majlis bandaran itu memasukkan bekas minuman kosong dari beg sampah ke mesin pemulangan BCRS.
Sehingga tengah hari 2 November, video itu telah meraih lebih 106,000 tontonan dan 1,200 tanda suka.
Dalam video itu, perakam menuduh pihak berkuasa membenarkan pekerja majlis bandaran mengutip tin untuk mendapatkan bayaran balik.
Di bawah BCRS yang diperkenalkan pada April, orang ramai menerima bayaran balik 10 sen bagi setiap botol atau tin yang layak dipulangkan melalui mesin pemulangan di seluruh Singapura.
Kapsyen video itu mempersoalkan mengapa warga emas dilarang mengutip tin dari tong sampah sedangkan pekerja majlis bandaran dibenarkan, selain mendakwa mereka memperoleh “gaji berganda”.
Ia turut mempersoalkan kewujudan layanan berbeza antara rakyat biasa dengan pekerja pemerintah.
Pengguna TikTok itu turut mendakwa sudah dua hari melihat pekerja berkenaan berbuat demikian.
Dalam hantaran Facebook pada 1 November, majlis bandaran itu mengakui ia maklum mengenai kebimbangan orang ramai dan berterima kasih atas pandangan mereka.
“Kami juga amat berterima kasih kepada mereka yang memberikan kata-kata penghargaan dan mengiktiraf usaha pekerja kami,” katanya.
Majlis bandaran itu menjelaskan bahawa bekas minuman tersebut berasal daripada pembelian pekerja itu sendiri atau diberikan penduduk secara langsung, dan dipulangkan selepas waktu bekerja mereka.
Menurutnya, pekerja dilarang menyelongkar tong sampah atau tong kitar semula untuk mendapatkan bekas minuman, dan peraturan itu telah ditekankan sejak BCRS bermula.
Selepas kejadian itu, pekerja majlis bandaran itu telah diingatkan supaya mematuhi garis panduan operasi dan tidak memakai pakaian seragam ketika melakukan kegiatan berkaitan BCRS secara peribadi di luar waktu bekerja.
Langkah itu bertujuan mengelakkan salah faham bahawa mereka bertindak sebagai pekerja majlis bandaran.
“Pekerja pembersihan kami memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan kawasan kejiranan. Mereka juga sebahagian daripada masyarakat dan boleh menyertai skim kitar semula pada waktu lapang seperti orang lain. Namun, peraturan kerja tetap perlu dipatuhi,” katanya.
Majlis bandaran itu berkata pihaknya memandang serius maklum balas dan akan terus bekerjasama dengan kontraktor pembersihan bagi memastikan peraturan dipatuhi.
“Terima kasih atas pemahaman dan kerjasama anda dalam memastikan kawasan kejiranan kita bersih, selamat dan selesa bagi semua,” tambahnya.
Terdahulu pada Oktober, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, dalam jawapan bertulis di Parlimen berkata perbuatan menyelongkar tong sampah awam, mengeluarkan barangan dan menyepah sampah di lantai adalah melanggar undang-undang.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan mengambil tindakan terhadap pesalah.
Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim, mengenai langkah mencegah amalan tidak bersih di bawah BCRS, termasuk menggeledah tong sampah.