Kepingan kek dan air manisan terpahat dalam ingatan Cik Juminah Mohamad Nor tatkala beliau menghadiri satu majlis keramaian buat kali pertama pada lewat 1950-an.
Ibu empat anak yang kini berusia 77 tahun itu berkongsi beliau dan sekitar lima rakannya yang berbilang bangsa mengadakan sambutan hari lahir secara spontan, dengan menyediakan kek dan air manisan sahaja.
Ketika itu, beliau menuntut dalam darjah lima di Sekolah Rendah Delta, berusia dalam lingkungan 11 tahun.
Cik Juminah, yang membesar di salah sebuah kuarters di sekitar Lower Delta Road dan kini masih menetap di kawasan itu, berkata keharmonian antara kaum bermula sejak sebelum negara merdeka.
“Kami biasanya menjamu kek, coklat dan gula-gula. Tiada hidangan berat kerana majlis ini diadakan di rumah rakan (berlainan agama dan bangsa).
“Kami menikmati waktu bersama kerana kami mempelajari cara menghormati satu sama lain, tabiat dan budaya masing-masing dan hingga kini, saya masih berhubungan dengan beberapa rakan (yang masih dapat dihubungi),” katanya.
Cik Juminah berkata demikian kepada Berita Harian ketika ditemui di Perpustakaan Daerah Woodlands dalam satu siri pameran ‘pop-up’ Projek Warganegara – Sejuta yang Terawal pada 18 Jun.
Projek itu merupakan satu usaha oleh Taman Tugu Pengasas bagi mengumpul kisah generasi pengasas Singapura.
Cik Juminah merupakan antara individu yang berkongsi pengalamannya di bawah Program Penglibatan Warga Emas (SEP) – salah satu daripada lima aspek yang diketengahkan dalam pameran itu – sebagai generasi pengasas Singapura selepas ia mencapai kemerdekaan pada 1965.
Empat aspek lain adalah perjalanan kewarganegaraan generasi pengasas, kisah sesebuah generasi, babak awal dalam pembangunan Singapura dan pemberian mesej kepada sejuta pertama warga negara ini.
Satu kenyataan bersama oleh Taman Tugu Pengasas dan Lembaga Warisan Negara (NHB) pada 18 Jun berkata projek tersebut diadakan dari April 2025 hingga Mac 2026 bagi meraikan generasi pengasas dalam fasa awal pembangunan negara ini.
Ia menambah sejauh ini, lebih 200 warga emas telah tampil untuk berkongsi kisah mereka dan diharap dengan siri pameran tersebut, lebih ramai akan tampil untuk berkongsi kisah mereka.
Siri pameran itu dihadiri Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, selaku tetamu terhormat.
Dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai pemangku menteri, Encik Neo berkata projek itu penting bagi mengetengahkan sumbangan dan kisah generasi pengasas dalam melakar hala tuju pembangunan negara.
“Kisah mereka memberi gambaran tidak ternilai mengenai tahun awal Singapura – apabila aspek menyentuh kewarganegaraan, kelangsungan ekonomi dan keharmonian berbilang budaya menjadi tanda tanya,” ujarnya.
Secara khususnya, beliau berkata sekitar sejuta individu yang tergolong dalam generasi pengasas ini “memilih untuk kekal di sini dan menjadi warga Singapura” setelah menerima kad pengenalan pada 1966 susulan pelaksanaan Akta Pendaftaran Kebangsaan 1965.
Akta tersebut, yang berkuatkuasa pada 5 Mei 1966, mewajibkan semua warga Singapura berusia 12 tahun dan ke atas serta mereka yang mempunyai kad pengenalan sedia ada yang dikeluarkan di bawah Ordinan Pendaftaran Orang 1955 untuk mendaftar semula.
Sekitar sejuta individu mendaftar semula bagi kad pengenalan warganegara Singapura setelah akta itu berkuatkuasa.
“Generasi pengasas ini memilih untuk menjadikan Singapura sebagai tempat tinggal… mereka mengatasi cabaran yang dihadapi dan membina Singapura yang kita ada hari ini,” tambah Encik Neo.
Dalam pada itu, projek tersebut dijangka menjadi pameran tetap sebagai sebahagian daripada inisiatif Taman Tugu Pengasas apabila ia siap dibina pada 2028 di Taman Persisiran Timur.
Pembantu Kurator, Taman Tugu Pengasas, Cik Sarina Anwar, berkata melalui projek ini, ia menggalak generasi lebih muda untuk memikirkan tentang konsep kewarganegaraan dan bagaimana mereka boleh memainkan peranan dalam pembangunan negara pada masa hadapan.
“Kami berharap untuk mengumpulkan kisah dan pengalaman warga emas dan memaparkan kisah mereka di Taman Tugu Pengasas apabila ia dibuka pada 2028,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg