Taman Tugu Pengasas, yang sedang dibangunkan dan dijangka siap pada 2028, sedang mencari relawan untuk mengumpul cerita daripada warga awal Singapura bagi sebuah pameran kekal di taman itu.
Ia memerlukan sekurang-kurangnya 160 relawan untuk inisiatif yang diberi nama ‘Projek Warga – Sejuta Pertama’ itu.
Projek yang berlangsung dari April 2025 hingga Mac 2026 itu akan dimulakan pada ulang tahun kemerdekaan Singapura ke-60 (SG60), iaitu pada 2025.
Menerusi program itu, para relawan akan berinteraksi dengan warga emas yang mendaftar sebagai warga Singapura dari Mei 1966, apabila Akta Pendaftaran Kebangsaan berkuat kuasa menyusuli kemerdekaan negara ini.
Pengarah Pembantu Kanan bagi Perkongsian dan Pelibatan Taman Tugu Pengasas, Encik Wai Chung Tai, berkata SG60 adalah peluang baik untuk mengiktiraf generasi pengasas Singapura.
Mereka telah memberikan sumbangan penting dalam pembangunan negara, ujarnya.
Projek itu mencari warga emas dalam kategori tersebut untuk memahami proses pemikiran mereka, pilihan yang terpaksa mereka buat, serta perkara yang dipertimbangkan ketika mereka membuat keputusan untuk mendaftar menjadi warga Singapura, kata Encik Wai kepada The Straits Times (ST) pada 23 Disember.
Relawan yang direkrut oleh pejabat Taman Tugu Pengasas akan mengendalikan program pelibatan dengan warga emas di tempat seperti pusat penuaan aktif, tambah Encik Wai.
Mereka perlu menghadiri bengkel latihan selama lima jam untuk mempelajari cara mengendalikan program tersebut.
Ini termasuk menjalankan beberapa kegiatan berasaskan pengalaman dan petunjuk visual yang akan membantu warga emas mengingati “tahun 1960-an ketika mereka mendaftar sebagai warga (Singapura)”, katanya.
Setiap relawan dijangka mengendalikan tiga program – dengan setiap program terdiri dari dua sesi yang setiap satu selama dua jam.
Menurut Encik Wai, dengan melibatkan orang ramai dalam program itu, rakyat Singapura akan merasakan bahawa mereka mempunyai peranan dalam pembinaan taman tugu tersebut.
Beliau menambah bahawa Taman Tugu Pengasas, yang terletak di Bay East Garden di Gardens by The Bay, akan memerlukan “kumpulan besar relawan berdedikasi dan aktif” dalam pelbagai peranan.
Buat masa ini, Taman Tugu Pengasas sudah mempunyai sekitar 70 hingga 80 relawan.
Encik Wai berkata kisah-kisah yang dikumpul semasa program peglibatan warga emas akan digunakan untuk pameran digital di Taman Tugu Pengasas yang didedikasikan untuk generasi pengasas Singapura.
Beliau turut menyatakan bahawa pasukan Taman Tugu Pengasas berharap pameran itu dapat mengajak orang ramai merenung nilai kepelbagaian budaya di Singapura.
Ia juga berharap dapat mengumpul maklum balas orang ramai mengenai penyampaian kandungan untuk tapak kekal tugu itu.
Mereka yang ingin menjadi relawan di Taman Tugu Pengasas boleh mendaftar di go.gov.sg/fmvolunteer
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg