Galak penglibatan lebih ramai warga muda ke masjid setempat.
Itulah harapan Pegawai Pembangunan Belia di Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Muhammad Haziq Abdul Rahman, dalam usahanya meluaskan khidmat dan peranan belia di masjid.
Ustaz Muhammad Haziq berpendapat, golongan belia hendaklah digalakkan datang ke masjid bukan sahaja untuk melakukan lebih banyak ibadah, malah membuka lebih banyak peluang bagi mereka berbakti kepada masyarakat Islam di Singapura.
Antara perkara yang telah diusahakan oleh Masjid Ar-Raudhah yang terletak di Bukit Batok East Avenue 2 itu untuk menggalak belia ke masjid adalah dengan mengadakan pelbagai program menarik.
Ia termasuk program bulanan ‘Al-Fateh Sleepover’ dan program ‘Bonding Al-Fateh Ar-Raudhah’.
Program ‘Al-Fateh Sleepover’ mengajak golongan belia berusia 15 tahun dan ke atas bermalam di Masjid Ar-Raudhah.
Sesi itu disertakan dengan kegiatan kerohanian seperti tazkirah ringkas oleh asatizah jemputan.
Selain itu, kegiatan qiamullail dan bacaan Al-Mat’thurat turut disertakan, selepas menunaikan solat subuh secara berjemaah.
Kegiatan itu telah diadakan pada 18 hingga 19 Oktober 2024, bertempat di Dewan Yam, Masjid Ar-Raudhah.
Program ‘Bonding Al-Fateh Ar-Raudhah’ pula memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada warga muda yang telah menyokong dan bertungkus lumus dalam menjayakan kegiatan yang telah dikendalikan di Masjid Ar-Raudhah.
“Kegiatan Al-Fateh Sleepover yang baru berlalu itu, diserikan dengan kehadiran Ustazah Atiqah Azhari sebagai asatizah jemputan dan beliau telah berkongsi kisah sahabat Nabi, Uthman Ibn Affan ra, sebagai tema pilihan kali ini.
“Bagi program ‘Bonding’ pula, kami mengadakannya untuk memberikan penghargaan kepada belia kami daripada Masjid Ar-Raudhah yang telah bekerja keras dengan mengadakan program bulanan, khususnya untuk belia dan masyarakat Islam di sini.
“Program ini juga disajikan dengan perkongsian ilmiah dan dipenuhi dengan nasihat kerohanian untuk belia yang hadir,” jelasnya,
Menurut Ustaz Muhammad Haziq, Masjid Ar-Raudhah ingin membentuk golongan belia yang berjaya dan mampu mengimbangi perkembangan dunia, selaras dengan tuntutan yang dibenarkan syarak.
Di samping menjadi pelapis, mereka juga berupaya memberi inspirasi dan menaikkan semangat generasi muda dalam pertumbuhan peribadi dan profesional.
“Kami tidak mahu warga muda dan belia kita ketinggalan dalam arus teknologi hari ini.
“Oleh itu, penting bagi Masjid Ar-Raudhah bertindak sebagai saluran yang boleh memantapkan kemampuan golongan belia sebagai pelapis negara yang disanjungi dan dihormati pada masa hadapan kelak,” tambah Ustaz Muhammad Haziq.
1. PayNow ke UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Hantarkan cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. Imbas kod QR yang tertera.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg