Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majoriti responden sokong usul mangsa dalam talian bawa media sosial, pelaku ke mahkamah

Mar 6, 2025 | 5:17 PM
Rata-rata responden menyokong cadangan supaya bahaya tertentu yang dihadapi dalam talian dibicarakan di mahkamah tempatan, menurut dapatan Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 6 Mac.
Rata-rata responden menyokong cadangan supaya bahaya tertentu yang dihadapi dalam talian dibicarakan di mahkamah tempatan, menurut dapatan Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 6 Mac. - Foto ZAOBAO

Usul membenarkan mangsa bahaya dalam talian membawa platform media sosial serta pelaku ke mahkamah untuk menuntut ganti rugi mendapat sokongan sebilangan besar responden dalam sesi perundingan awam yang diadakan baru-baru ini, membuka jalan bagi pembentukan rang undang-undang baru.

Lebih 95 daripada lebih 100 responden menyokong usul supaya bahaya tertentu yang dihadapi dalam talian dibicarakan di mahkamah tempatan, menurut dapatan Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 6 Mac.

Bahaya itu termasuk gangguan dalam talian, bahan penderaan kanak-kanak, penyamaran, kandungan palsu mendalam atau deepfake dan ucapan yang berbaur kebencian.

Deepfake ialah satu teknik pemalsuan dengan merubah rupa paras seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.

“Terdapat persetujuan umum bahawa pengendali, pentadbir dan platform perlu bertanggungjawab untuk tidak melakukan bahaya dalam talian atau mengambil tindakan terhadap bahaya dalam talian yang dimaklumkan kepada mereka dan mereka boleh didakwa untuk ganti rugi jika gagal memenuhi tanggungjawab tersebut,” kata kedua-dua kementerian.

MinLaw dan MDDI telah mengeluarkan dapatan daripada perundingan awam yang berlangsung selama sebulan dan berakhir pada 22 Disember 2024, lapor The Straits Times (ST).

Responden terdiri daripada orang awam, kumpulan masyarakat, ahli akademik dan syarikat media sosial utama. 

Mereka menyokong usul itu untuk memastikan pelaku dipertanggungjawabkan, menghalang kelakuan berbahaya dan memastikan mangsa mendapat ganti rugi, kata kementerian dalam laporan dapatan utama mereka.

Namun, beberapa responden daripada industri menyuarakan kebimbangan mengenai kekaburan antara tanggungjawab pencipta kandungan dengan platform, yang boleh menyebabkan tindakan defensif, penghapusan kandungan secara berlebihan, serta menjejas kebebasan bersuara.

Mereka juga menekankan risiko tuntutan mahkamah tidak berasas dan keperluan untuk mengeluarkan definisi undang-undang yang lebih jelas disebabkan sifat subjektif beberapa bahaya tertentu.

MDDI dan MinLaw bersetuju dengan keperluan menggalakkan tingkah laku dalam talian yang bertanggungjawab, sambil mengurangkan kesan yang tidak diingini melalui penguatkuasaan undang-undang.

Kementerian juga menambah, hak mangsa membawa perkara itu ke mahkamah akan menggalakkan pentadbir dan platform “bertindak dengan wajar” terhadap laporan bahaya dalam talian.

Menurut usul MDDI dan MinLaw, platform berisiko dikenakan saman jika gagal mengambil langkah menangani bahaya yang telah dimaklumkan kepada mereka dalam jangka masa yang munasabah.

Pada masa yang sama, perincian yang jelas mengenai undang-undang diperlukan dan aduan yang tidak berasas atau remeh boleh dielakkan menerusi langkah pencegahan yang tegas, jelas kementerian.

Satu lagi cadangan yang mendapat sokongan padu para responden adalah penubuhan agensi pemerintah yang dikhususkan untuk memberi bantuan cepat dan berkesan kepada mangsa bahaya dalam talian.

MDDI dan MinLaw mencadangkan agar agensi itu diberi kuasa mengarahkan pencipta kandungan dan platform membuang bahan berbahaya serta menutup kumpulan dalam talian yang melanggar peraturan, sambil mempermudah proses mangsa mendapatkan bantuan.

Responden daripada industri dikatakan memberi beberapa maklum balas mengenai agensi itu, termasuk ia perlu seimbang dalam menangani aduan dan menetapkan parameter yang jelas dan adil, serta menyediakan proses rayuan bagi platform dan pencipta kandungan.

Seiring dengan itu, kedua-dua kementerian berkata mereka akan memperjelaskan definisi bahaya dalam talian, bersama dengan garis panduan mengenai cara agensi tersebut akan menangani perkara itu.

Merakamkan ucapan terima kasih kepada pemain industri atas maklum balas mereka, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata dalam satu hantaran di LinkedIn pada 6 Mac: 

“Sumbangan ini amat penting dalam (membantu) kami membuat persiapan untuk membentangkan Rang Undang-Undang di Parlimen dalam beberapa bulan akan datang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg