Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Makanan laut ternakan tempatan mula dijual di 3 cawangan pasar raya Giant

Aug 19, 2025 | 6:34 PM
Makanan laut hidup seperti ikan tilapia, siakap, kerapu, dan udang ‘vannamei’ (udang putih), dijual mulai 19 Ogos di Giant Tampines Hypermarket, serta cawangan Giant di IMM dan Tengah Plantation Plaza.
Makanan laut hidup seperti ikan tilapia, siakap, kerapu, dan udang ‘vannamei’ (udang putih), dijual mulai 19 Ogos di Giant Tampines Hypermarket, serta cawangan Giant di IMM dan Tengah Plantation Plaza. - Foto ST

Pelanggan di tiga cawangan pasar raya Giant kini boleh membeli makanan laut hidup yang diternak di Singapura, termasuk ikan tilapia, siakap, kerapu, dan udang vannamei (udang putih).

Sebagai sebahagian usaha mempromosikan produk tempatan, makanan laut hidup itu mula dijual pada 19 Ogos di Giant Tampines Hypermarket, serta cawangan Giant di IMM dan Tengah Plantation Plaza.

Pelanggan boleh mendapatkan tilapia tempatan di bawah jenama, The Straits Fish, pada harga $7.90 seekor, dan udang vannamei (udang putih) pada harga $32.90 sekilogram.

Selain makanan laut, sayuran tempatan seperti sawi Jepun dan daun salad juga akan dijual di tiga cawangan Giant di bawah daya usaha sama oleh Persekutuan Perniagaan Agro-Makanan Singapura (Safef). 

Safef, bersama beberapa pertubuhan lain, bertindak sebagai pengurus permintaan dan bekalan bagi produk sayur dan ikan, lapor The Straits Times (ST).

Safef turut memulakan percubaan enam bulan untuk menjual sayur tempatan di bawah jenama SG Farmers’ Market di 38 cawangan Cold Storage dan Giant.

Semasa pelancaran daya usaha Safef di Giant Tampines Hypermarket pada 19 Ogos, Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, mengakui cabaran yang dihadapi oleh ladang tempatan.

Namun, beliau menekankan kepentingan pengeluaran makanan tempatan bagi mengukuhkan daya tahan makanan negara.

“Dengan lebih banyak pilihan hasil tempatan kini tersedia di pelbagai pasar raya, kita boleh lebih menyokong ladang tempatan dengan memilih untuk membeli produk makanan tempatan di Singapura,” kata Encik Baey.

“Disebabkan produk itu datang terus dari ladang ke pasar raya, ia lebih segar, tahan lebih lama, dan jarak perjalanannya juga lebih singkat, jadi ia baik untuk alam sekitar dengan pelepasan karbon lebih rendah,” tambah Encik Baey, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines.

Dengan pelancaran itu, jenama SG Farmers’ Market kini boleh didapati di semua peruncit utama di Singapura, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Safef, Encik Ken Cheong.

Cold Storage Singapore, yang mengendalikan rangkaian pasar raya Cold Storage dan Giant di sini, berkata sumber makanan tempatan mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber import dan memberi perlindungan daripada gangguan bekalan, sambil memastikan makanan lebih segar untuk pengguna.

Pelancaran itu dibuat di tengah-tengah langkah pasaran runcit tempatan mempergiat usaha menyokong ladang dan hasil tempatan.

Pada hujung minggu 2 dan 3 Ogos, FairPrice Group melancarkan, ‘Made in Singapore Farmers Market’, yang menjual lebih 60 produk ladang tempatan – termasuk sayur segar, telur dan ikan – di cawangan FairPrice Xtra di pusat beli-belah Jem, di Jurong East.

Sektor pertanian tempatan menyaksikan penutupan ladang dan pengeluaran yang susut.

Laporan Perangkaan Makanan Singapura 2024, menunjukkan pengeluaran sayur dan makanan laut berkurangan, manakala pengeluaran telur pula mencatat kenaikan.

Menurut para petani, kekurangan saluran untuk menjual produk tempatan kepada pengguna merupakan cabaran utama.

Singapura menyasarkan untuk menghasilkan 30 peratus keperluan pemakanan tempatan menjelang 2030.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg