Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelan baru rombak industri penternakan ikan yang merosot di S’pura

Nov 20, 2024 | 2:36 PM
Salah satu inisiatif baru adalah untuk tingkatkan bekalan dan kualiti telur serta anak ikan yang dihasilkan secara tempatan.
Salah satu inisiatif baru adalah untuk tingkatkan bekalan dan kualiti telur serta anak ikan yang dihasilkan secara tempatan. - Foto ST

Satu rancangan besar untuk merombak sektor akuakultur yang merosot di Singapura diumumkan pada 19 November, dengan matlamat untuk meningkatkan pengeluaran ikan dan menjaga alam sekitar marin.

Ia juga akan menyediakan peluang bagi petani menjual produk mereka.

Pelan Akuakultur Singapura (SAP), yang diperkenalkan pada 2022,  mengandungi inisiatif baru yang akan memberi petani akses lebih besar kepada telur ikan berkualiti tinggi dan meningkatkan keupayaan untuk menjual hasil mereka ke pasaran China.

Di bawah pelan ini, yang dijelaskan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, semasa Sidang Kemuncak Inovasi Agri-Makanan Asia-Pasifik pada 19 November, petani akan diberi peluang memanfaatkan harta intelek yang dibangunkan melalui inisiatif AquaPolis secara percuma untuk tempoh tertentu.

Menurut statistik makanan 2023 dari Agensi Makanan Singapura (SFA), terdapat 131 ladang akuakultur tempatan yang menghasilkan 7.3 peratus daripada makanan laut yang dimakan pada 2023.

Berita mengenai pelan tersebut menyusul selepas beberapa laporan mengenai sektor pertanian Singapura yang merosot.

Pada Oktober, The Straits Times (ST) melaporkan bahawa jumlah ladang ikan berasaskan laut telah menurun kepada 74 pada bulan tersebut.

“Sebagai negara kecil yang mengimport lebih 90 peratus makanan kami, Singapura amat terdedah kepada gangguan bekalan makanan global,” kata Dr Koh. 

Menurut pelan baru tersebut, memiliki telur dan anak ikan berkualiti tinggi adalah penting dalam rantaian nilai pengeluaran akuakultur.

Pada masa ini, ladang ikan Singapura bergantung kepada sumber luar negara, yang menyebabkan kualiti tidak konsisten dan kadar kematian lebih tinggi. 

Untuk mengatasi masalah itu, SFA berkata ia akan memperkenalkan Pusat Broodstock Nasional dan Program Pembangunan dan Pengiktirafan Rumah Penetasan.

Inisiatif tersebut akan meningkatkan bekalan telur dan anak ikan berkualiti tinggi dari dalam negara, serta menaik taraf kemudahan rumah penetasan tempatan.

Encik Mak Wah Weng, pengarah Millenia Farm, berkata anak ikan berkualiti tinggi akan membantu penternak ikan seperti beliau, kerana anak ikan tempatan sekarang tidak boleh hidup lama.

Satu lagi masalah yang dihadapi penternak adalah kekurangan pasaran untuk menjual hasil mereka. 

Bagi mengatasinya, SFA akan memudahkan eksport enam spesies ikan tempatan ke China di bawah pelan baru ini.

Enam spesies ikan tersebut adalah ikan kurau empat jari (fourfinger threadfin), ikan merah (red snapper), ikan kerapu emas (golden snapper), ikan pompano, ikan sagai emas (golden trevalley), dan ikan siakap Asia (Asian seabass).

SFA akan terus bekerjasama dengan Persekutuan Perusahaan Agro-Makanan Singapura (Safef) yang memberi fokus pada peningkatan produktiviti dan piawaian penternakan ikan untuk mengukuhkan permintaan ikan tempatan dan mendapatkan kontrak jangka panjang dengan peruncit.

Encik Ken Cheong, ketua eksekutif Safef, memberitahu ST bahawa persekutuan tersebut akan menandatangani dua memorandum persefahaman pada 20 November dengan dua organisasi untuk mengukuhkan sektor akuakultur Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg