Sebuah makmal baru telah dilancarkan untuk membantu menterjemahkan penyelidikan dan inovasi hidrogen ke dalam aplikasi dunia sebenar untuk penskalaan dan pengkomersialan, lapor akhbar The Straits Times.
Ini berlaku ketika Singapura sedang mencari huraian untuk menggunakan hidrogen karbon rendah bagi menyahkarbonkan ekonominya, dengan bahan api itu mungkin menyumbang 50 peratus daripada keperluan tenaganya menjelang 2050.
Berucap di majlis pelancaran Makmal Pusat Inovasi Hidrogen (CHI) Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 25 Julai, Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, berkata pusat itu yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, dan akan membantu perusahaan kecil dan sederhana membangunkan prototaip pantas dan menjalankan ujian untuk membantu menterjemahkan teknologi hidrogen ini kepada tetapan dunia sebenar.
Beliau menyatakan CHI mula membuka pintunya pada 2022 sebagai pusat maya, dan telah menyokong lebih daripada 17 projek dengan geran $4.2 juta untuk memajukan penyelidikan hidrogen.
Pada 2022, The Straits Times melaporkan pusat bernilai $25 juta itu akan menumpukan pada pengeluaran tempatan hidrogen hijau, serta penyimpanan dan pengangkutan hidrogen. Hidrogen dianggap sebagai bahan api yang bersih kerana ia tidak menghasilkan sebarang karbon dioksida yang memanaskan planet apabila dibakar.
Ditanya mengenai status 17 projek itu dan garis masanya untuk dikomersialkan, pengarah pusat CHI, Profesor Yan Ning, memberitahu ST setiap projek menerima sekitar $250,000 dalam pembiayaan, dengan tujuan merangsang aktiviti penyelidikan dan bereksperimen dengan pelbagai jenis teknologi hidrogen.
“Sudah tentu, beberapa projek ini akan pupus, tetapi sekitar tujuh atau lapan daripadanya telah berkembang menjadi lebih besar. Projek-projek ini kemudiannya menerima pembiayaan daripada industri dan sokongan pemerintah, dan meningkat skala ke peringkat perintis,” kata Profesor Yan.
Sebagai contoh, satu projek sedemikian, yang memperoleh pembiayaan kira-kira $8 juta, melibatkan pembangunan sistem yang boleh memecahkan dan membakar ammonia untuk penjanaan kuasa dengan cara yang cekap tenaga dan memaksimumkan kecekapan penggunaan tanah, tambahnya.
Ammonia telah menjadi tumpuan hangat sebagai pembawa hidrogen, kerana ia agak stabil dan boleh disimpan dan diangkut pada suhu ambien. Ammonia sama ada boleh dibakar terus untuk penjanaan elektrik atau “dipecahkan” untuk memisahkan hidrogen daripadanya, walaupun tindak balas ini memerlukan suhu operasi yang sangat tinggi.
Projek pemecahan ammonia sejak itu telah menerima pembiayaan daripada inisiatif Penyelidikan Tenaga Karbon Rendah pemerintah, dan para penyelidik bekerjasama dengan Siemens Energy dalam usaha mereka itu, kata Profesor Yan.
Oleh itu, mempunyai makmal CHI baharu akan memberi manfaat untuk projek berskala lebih besar kerana ia dilengkapi dengan peralatan yang lebih khusus, contohnya, untuk mengendalikan dan menyimpan ammonia dengan selamat, tambahnya.
“Kita mesti mengutamakan meningkatkan tahap kesediaan teknologi dan tahap kesediaan pasaran bagi teknologi hidrogen. Ini memerlukan kerjasama erat merentasi semua pihak berkepentingan di seluruh ekosistem,” kata Dr Tan, yang juga Menteri Tenaga Manusia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg