Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peralihan tenaga Asia Tenggara perlu lebih banyak sokongan

Jun 23, 2024 | 5:30 AM
Kebanyakan sokongan tenaga boleh diperbaharui daripada China ialah untuk empangan hidro di sepanjang sungai Mekong, terutama di Laos. Ini menyebabkan kerosakan besar kepada ekosistem dan masyarakat tempatan, menjejas mata pencarian nelayan dan petani, serta mengakibatkan hutang.
Kebanyakan sokongan tenaga boleh diperbaharui daripada China ialah untuk empangan hidro di sepanjang sungai Mekong, terutama di Laos. Ini menyebabkan kerosakan besar kepada ekosistem dan masyarakat tempatan, menjejas mata pencarian nelayan dan petani, serta mengakibatkan hutang. - Foto ST

Salah satu gelombang haba paling teruk di Asia Tenggara mungkin baru sahaja berlalu, tetapi saintis telah menjelaskan bahawa kejadian serupa akan menjadi lebih kerap.

Ini adalah peringatan penting, jika perlu, bahawa negara Asia Tenggara adalah antara negara yang paling terdedah kepada kemusnahan akibat perubahan iklim.

Namun rantau ini juga merupakan sumber pelepasan karbon yang berkembang pesat, kini menggunakan lebih banyak arang batu daripada Amerika Syarikat atau Kesatuan Eropah setiap tahun.

Sebagai tindak balas, pemerintah Barat telah membuat janji besar untuk menyediakan pembiayaan iklim yang dibiayai secara besar-besaran kepada rantau ini – mengakui bukan sahaja tanggungjawab mereka dalam usaha ini, bahkan kepentingan Asia Tenggara dalam mencapai dunia sifar bersih.

Malangnya, penyelidikan kami di Institut Lowy menunjukkan bahawa janji tersebut setakat ini gagal menghasilkan tindakan yang mencukupi. Malah, keadaan telah mundur.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menganggarkan bahawa pelaburan tenaga bersih di Asia Tenggara perlu meningkat empat kali ganda kepada AS$130 bilion ($176 bilion) menjelang 2030. Pelaburan untuk penyesuaian iklim juga memerlukan jumlah yang besar yang serupa.

Namun, penyelidikan kami mendapati bahawa pembiayaan berkaitan iklim daripada rakan kongsi antarabangsa – termasuk pemerintah asing seperti Amerika, Jepun dan Australia serta institusi pelbagai hala seperti Bank Dunia – adalah kurang daripada AS$11 bilion pada 2022.

Hanya sebahagian kecil daripada pembiayaan itu digunakan untuk projek yang didedikasikan sepenuhnya untuk memerangi perubahan iklim berbanding projek yang menyasarkan tujuan lain seperti ketersambungan pengangkutan atau tadbir urus yang lebih baik.

Yang mengejutkan, hanya kira-kira AS$830 juta digunakan untuk projek tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga suria, angin, hidro dan geoterma (berkaitan haba dalaman bumi). Jumlah ini turun lebih separuh berbanding AS$1.7 bilion pada 2018, mencerminkan kedua-dua pembiayaan baru yang tidak mencukupi, serta kesukaran dalam melancarkan projek baru.

Memandang ke hadapan, ia tidak jelas sama ada sebarang peningkatan dalam kewangan iklim antarabangsa semakin hampir.

Satu contoh adalah perjanjian Perkongsian Peralihan Tenaga yang Adil (JETP) baru, yang setakat ini ditandatangani antara Vietnam dengan Indonesia bersama sekumpulan rakan kongsi antarabangsa, terutamanya pemerintah negara Kumpulan Tujuh (G7).

JETP menjanjikan pembiayaan yang besar, dengan kira-kira AS$20 bilion untuk Indonesia dan AS$15 bilion untuk Vietnam. Ia akan dibahagikan secara kasar sama rata antara komitmen pembiayaan awam dengan dana yang disasarkan untuk dikumpul daripada pelabur swasta.

Ditandatangani pada penghujung 2022, ia masih terlalu awal untuk menentukan hasil kedua-dua perjanjian. Tetapi tanda-tanda awal membimbangkan, dengan kemajuan terbukti sukar dicapai dalam kedua-dua perjanjian serta tidak banyak keputusan konkrit yang dijangkakan dalam masa terdekat disebabkan pelbagai isu.

Ini termasuk halangan politik, lambat membuat keputusan, perselisihan faham mengenai pelan penyahkarbonan yang tepat, masalah menstruktur perjanjian yang berdaya maju terutamanya untuk pemberhentian awal loji arang batu sedia ada, dan syarat kewangan yang tidak cukup ditawarkan di bawah JETP.

Pengembangan pengaturan JETP ke negara lain nampaknya telah tertangguh.

Terutamanya, JETP sekurang-kurangnya diwujudkan sebagai tindak balas daripada pemerintah Barat terhadap pengaruh China yang semakin meningkat melalui projek mega infrastrukturnya di bawah Inisiatif Belt and Road (BRI).

Malah, China telah menjadi sumber tunggal terbesar untuk kewangan bagi tenaga boleh diperbaharui antarabangsa untuk Asia Tenggara, dengan menyalurkan purata AS$800 juta setiap tahun sejak 2015, melalui bank dasar yang dikawal pemerintahnya.

Namun, malangnya, kebanyakan sokongan tenaga boleh diperbaharui daripada China ialah untuk empangan hidro di sepanjang sungai Mekong, terutama di Laos yang telah menyebabkan kerosakan besar kepada ekosistem dan masyarakat tempatan, menjejas mata pencarian nelayan dan petani, serta mengakibatkan hutang.

Sokongan tenaga boleh diperbaharui China ke rantau ini juga telah turun secara mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, daripada hampir AS$1 bilion pada 2015 kepada hanya AS$270 juta pada 2022.

Asia Tenggara masih memerlukan lebih banyak tenaga. Permintaan tenaga dijangka meningkat sekurang-kurangnya satu pertiga menjelang 2050. Negara Asean telah berjanji mengurangkan pelepasan karbon dan berusaha ke arah sasaran sifar bersih mereka.

Tetapi tenaga boleh diperbaharui pada masa ini hanya membentuk 15 peratus daripada penjanaan kuasa di rantau ini. Di Indonesia, Malaysia dan Filipina, arang batu kekal sebagai sumber tenaga utama. Untuk cuba mengubah ini memerlukan peningkatan besar dalam kewangan iklim antarabangsa.

Lewat 2024, pemimpin dunia dijangka menetapkan sasaran baru bagi kewangan iklim sejagat pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-29 (COP29) akan datang yang akan diadakan di Azerbaijan. Satu matlamat baru dipanggil Matlamat Berkuantitatif Kolektif Baru akan meningkatkan sasaran semasa iaitu AS$100 bilion setahun di seluruh dunia.

Sasaran lama yang sepatutnya dicapai menjelang 2020, diakui secara meluas bahawa ia tidak mencukupi. Namun, pemerintah masih terkial-kial untuk mencapai matlamat dan hanya berjaya melakukannya dua tahun di belakang jadual.

Satu persoalan tentang sasaran kewangan iklim baru itu ialah sama ada China akan mengambil bahagian sebagai penyumbang. Pemerintah Barat seperti Amerika dan Australia mendesak China supaya menyertai tetapi China enggan.

Penglibatan China dalam rangka kerja kewangan iklim global sangat wajar. China sudah menyediakan banyak kewangan iklim tetapi terdapat keperluan untuk ia menjadi lebih telus, disediakan dengan syarat yang lebih baik serta disertakan dengan usaha yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, pemerintah Barat perlu melakukan lebih banyak lagi. Ini akan menjadi sukar di tengah-tengah pilihan raya domestik, tekanan kos sara hidup dan belanjawan negara yang ketat akibat pandemik Covid-19.

Tetapi kegagalan ini bukan semata-mata tanggungjawab negara kaya untuk menyokong negara membangun dengan penyahkarbonan dan penyesuaian secukupnya. Peralihan Asia Tenggara kepada tenaga bersih adalah penting kepada rantau ini dan kepada peralihan sifar bersih global.

Ini adalah dekad kritikal untuk menstabilkan iklim. Masyarakat antarabangsa perlu melakukan lebih banyak lagi dengan pantas.

Wacana ini ditulis oleh Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Indo-Pasifik di Institut Lowy, Alexandre Dayant; dan Pengarah Pusat Pembangunan Indo-Pasifik, yang juga Pakar Ekonomi Utama Institut Lowy, Roland Rajah. Alexandre Dayant juga merupakan peneraju projek untuk pangkalan data, Peta Bantuan Asia Tenggara, yang menjejaki aliran kewangan pembangunan dan bantuan daripada masyarakat antarabangsa ke Asia Tenggara. Edisi terbaru Peta Bantuan Asia Tenggara dikeluarkan pada 16 Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg