Ketika perairan Asia Tenggara menjadi semakin panas, satu-satunya kemudahan penyelidikan marin luar pesisir Singapura sedang menubuhkan sebuah rangkaian serantau bagi memantau dan mengkaji perairan rantau ini yang kaya dengan kepelbagaian biologi.

Rangkaian Stesen Penyelidikan Marin Asia Tenggara – yang menghimpunkan lima negara Asean setakat ini – diwujudkan tatkala gelombang haba marin menjadi semakin kerap dan ekstrem, dengan kejadian besar seterusnya diramal berlaku pada 2027.

Ia menyusuli fenomena iklim El Nino yang disifatkan sebagai antara yang paling kuat setakat ini.

Stesen Penyelidikan Marin Nasional (NMRS) Singapura, yang sebelum ini dikenali sebagai Makmal Marin Nasional Pulau St John, mengumumkan bahawa ia akan menerajui rangkaian tersebut pada pelancaran Minggu Sains Marin pada 25 November.

Acara tersebut dianjurkan sempena ulang tahun ke-10 kemudahan berkenaan.

Peranan diperluas bagi stesen yang terletak di Pulau St John itu dilancarkan secara rasmi oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam.

“Perubahan iklim, kehilangan kepelbagaian biologi dan kesihatan lautan kita bukan satu masalah berasingan, sebaliknya ia saling berkait rapat,” kata Tuan Presiden.

“(Rangkaian baharu) ini akan menghimpunkan para saintis dari seluruh Asia Tenggara supaya mereka dapat saling belajar dan memperkukuh keupayaan bersama dalam menjaga perairan kita – satu usaha yang kepentingannya semakin meningkat dalam tahun mendatang.”

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Setakat ini, lebih 10 stesen penyelidikan marin dari Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina telah menyertai rangkaian tersebut.

Sebagai sebahagian daripada peranan baharunya, stesen penyelidikan itu akan membuka pintunya kepada para penyelidik dari seluruh Asia Tenggara, membolehkan mereka memanfaatkan kemudahan, data serta kepakaran masing-masing dalam menangani cabaran bersama yang dihadapi perairan di rantau ini yang saling berhubung.

“Kami ingin menyokong penyelidikan kolaboratif serta perkongsian keupayaan, dan sudah tentu memperkukuh hubungan institusi di rantau ini,” kata pengarah stesen tersebut, Dr Jani Tanzil, yang merupakan seorang ahli biologi marin.

“Sekarang ini, cabaran terbesar yang kita hadapi di rantau ini ialah perubahan iklim, khususnya pemanasan laut.”

Dengan menjejak perubahan dalam persekitaran marin secara keseluruhan, rangkaian itu dapat membantu mengesan tanda-tanda awal kejadian pelunturan karang global kelima yang dijangka berlaku antara April dengan Julai 2027, kata Dr Tanzil.

Krisis yang bakal melanda itu menyusuli kejadian pelunturan besar-besaran sebelum ini pada 1998, 2010, 2016 dan 2024, dengan kejadian pada 2024 merupakan yang paling buruk pernah direkodkan dan menjejas terumbu karang di lebih 82 negara, wilayah dan ekonomi.

Penyelarasan dalam kalangan institusi menerusi rangkaian tersebut akan membantu meningkatkan pemantauan terhadap kesan kejadian pada 2027 di seluruh Asia Tenggara, serta keadaan yang mempengaruhi pemulihan terumbu karang selepas kejadian pelunturan, kata Dr Jani.

Pada majlis pelancaran itu, Pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), Encik Heng Swee Keat, berkata kesihatan persekitaran marin Singapura berkait rapat dengan mutu kehidupan di negara ini.

Sementara itu, perairan negara menyokong kepelbagaian biologi, mengawal iklim, melindungi pesisiran pantai serta membekalkan makanan dan sumber lain.

Rangkaian tersebut juga ditubuhkan tepat pada masanya, sedang Singapura bersiap sedia mengambil alih jawatan Pengerusi Asean pada 2027, tambahnya.

Pelaburan Singapura dalam stesen penyelidikan marin itu menyusuli pelancaran Institut Sains Marin dan Lautan Nasional (Nimos) bernilai $60 juta pada September, yang bertujuan memperkukuh keupayaan negara untuk melindungi dan mengurus persekitaran marinnya secara mampan.

Penyelidikan ini semakin penting sedang Singapura merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan pesisiran pantai berskala besar sepanjang dekad akan datang, seperti projek penambakan Long Island dan pembangunan sebuah ‘pulau barat’.