Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Makna pelbagai budaya perlu dilihat lebih dari beza kaum, agama

Perbezaan antara warga setempat dengan warga asing akan jadi isu penting dengan demografi penduduk makin menua
Jan 20, 2025 | 8:59 PM
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, menjawab soalan yang diajukan hadirin semasa sesi dialog semasa persidangan Singapore Perspectives 2025 anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS) di Pusat Konvensyen dan Expo Sands pada 20 Januari. Sesi dialog tersebut dikendalikan Presiden Universiti Pengurusan Singapura, Profesor Lily Kong.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, menjawab soalan yang diajukan hadirin semasa sesi dialog semasa persidangan Singapore Perspectives 2025 anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS) di Pusat Konvensyen dan Expo Sands pada 20 Januari. Sesi dialog tersebut dikendalikan Presiden Universiti Pengurusan Singapura, Profesor Lily Kong. - Foto JACKY HO, IPS NUS

Sudah tiba masanya pemahaman kepelbagaian budaya berkembang untuk merangkumi lebih daripada hanya kaum, agama dan bahasa sahaja.

Dalam sesi dialog bersama individu pelbagai latar belakang semasa persidangan Singapore Perspectives 2025 anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS), Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, berkata kaum dan agama masih merupakan perbezaan sosial penting, namun kepelbagaian budaya boleh dinilai semula untuk difikirkan secara lebih meluas.

“Kita dahulunya pernah berfikir tentang kepelbagaian budaya sebagai merangkumi pelbagai kaum, agama dan juga bahasa, tetapi hari ini kita mungkin perlu berfikir tentangnya sebagai merangkumi garis sesar lain yang lebih meluas,” kata Encik Tong.

Memberi contoh, beliau berkata bagaimana masyarakat merapatkan perbezaan antara warga setempat dengan warga asing akan menjadi isu penting.

Ini kerana di Singapura, dengan demografi penduduk semakin menua dan kadar kelahiran yang semakin menurun serta keperluan negara terhadap tenaga kerja yang rancak, Singapura mesti kekal terbuka dan menerima pekerja asing.

“Oleh itu, lebih banyak kita boleh menyepadukan (warga) asing dan setempat, lebih banyak kita boleh menyepadukan mereka yang menjadi warga Singapura dengan warga Singapura yang dilahirkan di sini, diharapkan, saban hari, kita tidak lagi melihat ini sebagai jurang atau perpecahan.

“Ini lebih baik untuk kita kerana ini, pada saya, merupakan persoalan kewujudan yang penting,” ujar beliau.

Dalam sesi dialog tersebut juga, soalan berkaitan CMIO atau empat kaum utama di Singapura iaitu Cina, Melayu, India dan lain turut dibangkitkan.

Akur bahawa terdapat banyak perdebatan tentang sama ada CMIO masih relevan dan mewakili identiti kita, Encik Tong berkata beliau setuju bahawa topik ini merupakan sesuatu yang patut disemak dan difikirkan dari masa ke masa.

“Saya rasa simpati terhadap perkara ini kerana... bangsa kita, atau bangsa yang kita pilih untuk berkahwin – jika perkahwinan itu perkahwinan campur – adalah sesuatu yang menjadi identiti kita dan untuk dikategorikan ke dalam C, M, I atau O, saya fikir tidak begitu adil.

“Jadi, pada soalan sama ada kita patut sentiasa menyemak dan memikirkan tentang (isu ini), saya fikir jawapannya ialah ya... kerana ia sesuatu yang semakin berleluasa.

“Saya bercakap tentang tahap kepelbagaian budaya yang berbeza dan sama ada kita harus menerima ciri-ciri lain kepelbagaian budaya. Ini adalah satu aspek yang saya maksudkan juga.

“Oleh itu, untuk menyemaknya, memikirkan sama ada ia masih relevan, atau bagaimana kita boleh membaikinya, kita mesti lakukan tetapi buat masa ini, saya tidak pasti ada cara yang lebih baik untuk mencapai hasil yang lebih penting, iaitu percampuran sosial yang disengajakan, dengan CMIO membantu kita mencapainya,” jelas beliau.

Encik Tong turut menyentuh bagaimana seni boleh digunakan untuk menghubungkan individu-individu berbeza.

Dalam ucapannya sebelum itu, beliau memberi contoh program seni ArtsEverywhere@CDC dengan seni dibawa secara langsung ke estet-estet perumahan sekali gus menyediakan peluang bagi semua penduduk mencipta pengalaman bersama.

“Kita dahulunya pernah berfikir tentang kepelbagaian budaya sebagai merangkumi pelbagai kaum, agama dan juga bahasa, tetapi hari ini kita mungkin perlu berfikir tentangnya sebagai merangkumi garis sesar lain yang lebih meluas... Oleh itu, lebih banyak kita boleh menyepadukan (warga) asing dan setempat, lebih banyak kita boleh menyepadukan mereka yang menjadi warga Singapura dengan warga Singapura yang dilahirkan di sini, diharapkan, saban hari, kita tidak lagi melihat ini sebagai jurang atau perpecahan.”
 Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg