Menjelang 2034, Maktab Rendah Catholic (CJC) akan berpindah dari kampusnya di Whitley Road ke kawasan berhampiran Daerah Digital Punggol (PDD).
Kampus baru itu, yang akan dibina berhampiran Institut Teknologi Singapura (SIT), dijadualkan buat sementara waktu beroperasi pada 2034.
PDD yang bernaung di bawah JTC Corporation merupakan hab bagi sektor teknologi seperti keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
CJC, maktab rendah ketiga paling tua di Singapura, telah beroperasi di kampus sedia ada di 129, Whitley Road sejak ditubuhkan pada 1975 oleh pertubuhan agama, Roman Catholic Archdiocese of Singapore.
Pemindahan CJC itu diumumkan maktab rendah berkenaan pada 16 Januari semasa satu acara di PDD.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Sekolah CJC, Encik Bernard Tan, berkata keputusan memindahkan maktab rendah itu merupakan satu keputusan kompleks dan telah dikaji dengan teliti selama dua tahun, dengan penglibatan serta rundingan bersama beberapa pihak berkepentingan.
“Memandangkan keadaan kampus Whitley Road yang semakin dimamah usia, dan setelah ditawarkan tapak di Punggol, kami menyedari terdapat satu peluang strategik bagi membentuk semula hala tuju CJC pada masa hadapan,” katanya.
Tapak seluas 5.6 hektar di lokasi CJC kini akan tamat tempoh pajakannya pada 2029.
CJC akan terus beroperasi di lokasi kini sehingga sampai waktu ia dipindahkan ke Punggol.
Menurut Encik Tan, pemindahan maktab rendah itu “bukan sekadar pertukaran alamat”.
Beliau menambah lokasinya yang berhampiran Daerah Digital Punggol akan menawarkan sinergi pendidikan yang penting bagi meningkatkan khidmat dan kemudahan yang boleh ditawarkan kepada pelajar secara asas.
Kehadiran CJC juga akan menyumbang kepada kemeriahan daerah tersebut, katanya.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan (MOE) berkata pemindahan CJC adalah sebahagian fasa kedua Program Pemulihan Maktab Rendah, yang bertujuan menambah baik prasarana maktab rendah melalui proses penaiktarafan atau pembinaan semula kemudahan.
Fasa ini melibatkan CJC, Maktab Rendah Anglo-Chinese (ACJC), Maktab Rendah Kebangsaan (NJC) dan Maktab Rendah Victoria (VJC).
MOE menambah ia akan bekerjasama dengan CJC bagi memastikan peralihan lancar serta usaha memelihara warisan maktab itu dapat dilaksanakan sedang ia berpindah ke Punggol.
Ini termasuk mengekalkan tradisi, budaya dan artifak sejarah CJC, serta meneroka keupayaan bagi memindahkan elemen seni bina penting dari kampus sedia ada.
Encik Tan berkata satu jawatankuasa akan dibentuk untuk mengkaji pemindahan tersebut, termasuk kemungkinan memindahkan atau mengekalkan ciri dan unsur “yang amat bermakna, sama ada dari segi sejarah CJC atau buat para pelajar”.
Ini termasuk patung atau barangan seperti bangku dan jubin dari kampus sedia ada.
Beliau menambah pihak sekolah juga akan mempertimbangkan cara mengekalkan rupa dan suasana dewan kuliah serta bilik darjah di tapak baru, termasuk kawasan ikonik seperti ruang perhimpunan terbuka.
Dalam ucapannya pada 16 Januari, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, berkata pemindahan CJC ke kawasan berhampiran PDD bukan sekadar satu pemindahan fizikal.
“Ia merupakan satu pilihan disengajakan untuk menempatkan pendidikan prauniversiti dalam sebuah ekosistem di mana pengetahuan diterapkan, kemahiran dibangunkan, dan pelajar dapat menghubungkan apa yang mereka pelajari dengan dunia di luar maktab rendah,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg