Topik diikuti
Pergi ke BHkuMalaysia Fest 2026 sedia aneka tarikan, 343 reruai
Malaysia Fest 2026 sedia aneka tarikan, 343 reruai
Malaysia Fest 2026 sedia aneka tarikan, 343 reruai
Jika anda merindui suasana Malaysia atau ingin menikmati keunikannya tanpa menyeberangi Koswe, Malaysia Fest 2026 destinasi yang anda tidak boleh dilepaskan.
Berlangsung empat hari di Singapore Expo Hall 5A & 5B, acara edisi kesembilan ini dijangka lebih meriah dengan pelbagai pengalaman, daripada makanan hingga fesyen, kecantikan dan pelancongan.
Penganjurnya, MegaXpress International Pte Ltd, mengatakan pesta dari 30 Julai hingga 2 Ogos – dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari – lebih daripada sekadar sebuah pesta beli-belah.
Dengan 343 reruai, pengunjung berpeluang meneroka kekayaan cita rasa, budaya, hasil tempatan dan kreativiti usahawan dari seluruh Malaysia di bawah satu bumbung.
Pada edisi 2026 ini, tumpuan diberi kepada keunikan Johor, Sabah dan Terengganu, membolehkan pengunjung mengenali keistimewaan setiap negeri itu melalui hasil tempatan, kraftangan, produk usahawan dan destinasi pelancongan.
Selain itu, Pavilion Tourism Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah turut memeriahkan acara ini.
CITA RASA EKSOTIK SUKAR DITEMUI
Kunjungan ke pesta ini memadai untuk mengetahui pelbagai hasil segar dan buah-buahan istimewa dari seluruh Malaysia.
Daripada longan kristal dan limau susu Sarawak hingga limau bali Sabah, markisa Melaka, nangka Pahang cempedak King Pulau Pinang dan salak Kelantan, semuanya dibawa khas dari negeri-negeri seluruh Malaysia.
Nikmati juga makanan jalanan dan sajian tradisional Malaysia, termasuk char kuetiau Pulau Pinang, lemang, sate, dendeng, nasi dagang, keropok lekor, daging salai, dan pelbagai lagi makanan eksotik yang sukar ditemui di Singapura.
Malaysia Fest 2026 turut menawarkan promosi fesyen, songket, batik, produk kecantikan dan jenama dalam talian popular dari Malaysia.
Bagi kaki melancong, kunjungan ke Zon Travel akan berbaloi kerana Tourism Malaysia akan membawa anda meneroka pelbagai pakej percutian eksklusif ke destinasi popular di rantau ini.
HIBURAN DAN PENGISIAN TANPA HENTI
Pentas utama acara dipenuhi demonstrasi masakan oleh cef dan selebriti terkenal, termasuk Dato’ Fazley Yaakob dan Dato’ Khadijah Ibrahim, dan aktiviti kesihatan, pertandingan serta cabutan bertuah.
Pengunjung juga berpeluang bertemu selebriti popular seperti Fahrin Ahmad, Noraniza Idris, Salma Mentor, Ameng Spring, Ifa Raziah, Puteri Sarah Liyana dan ramai lagi, yang akan menghiburkan pengunjung menerusi persembahan muzik, sesi interaksi serta program khas sepanjang festival.
Festival ini turut menyediakan pengisian ilmiah dan kerohanian menerusi aktiviti interaktif anjuran Masjid Ar-Raudhah bagi kutipan dana.
Pengunjung boleh menyertai sesi senaman Muslimah, ceramah kesihatan, forum kekeluargaan, pertandingan azan, bacaan Al-Quran, qasidah dan pelbagai perkongsian oleh asatizah, doktor dan peguam.
Disokong oleh FAMA, Malaysia Fest 2026 menjanjikan pengalaman penuh warna, rasa dan budaya.