Hubungan Singapura dengan Minas Gerais, Brazil kian berkembang dan kededua Singapura dan Minas Gerais bersetuju memperkukuh kerjasama perdagangan dalam pertanian, pendidikan dan bahan galian kritikal kata Menteri Ehwal Luar (MFA).
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman telah mengadakan lawatan bekerja ke Belo Horizonte, ibu kota Minas Gerais pada 24-26 Julai.
Dalam kenyataannya pada 27 Julai, MFA berkata Dr Maliki telah dijamu makan sarapan oleh Naib Gabernor Minais Gerais, Profesor Mateus Simoes de Almeida dan bertemu Setiausaha Perbandaran bagi Perancangan, Bajet dan Pengurusan Kota Belo Horizonte, Encik Andre Reis.
“Kededua pihak mengalu-alukan hubungan yang kian berkembang antara Singapura dengan Minas Gerais,” kata MFA.
Menerusi hantaran di media sosial, Dr Maliki turut merujuk pada pertemuan dengan Profesor de Almeida.
“Kami mengadakan pertukaran baik mengenai kekuatan Minas Gerais dan haluan pembangunannya dan membincangkan bidang berpotensi di mana ia boleh bekerjasama dengan Singapura,” kata Dr Maliki, yang berangkat pulang ke Singapura dari Belo Horizonte pada 26 Julai,
Menurut MFA, semasa lawatan tiga hari itu, Dr Maliki telah mendengar taklimat mengenai peluang pelaburan dan perdagangan di Minas Gerais daripada beberapa ketua persekutuan industri, pertanian dan pelaburan. Beliau juga bertemu pemimpin korporat utama di Minas Gerais, di mana beliau mengadakan perbincangan topik meluas mengenai peluang perniagaan dan pelaburan di Singapura dan Minas Gerais.
Selain itu, Dr Maliki mengunjungi Yayasan Dom Cabral (FDC), di mana beliau menyampaikan ucapan dan berinteraksi dengan pelajar dan fakulti mengenai haluan masa depan ekonomi Singapura, usaha memperdalam hubungan yang berpanjangan dengan Brazil dan peluang besar bekerjasama dengan Minas Gerais dalam bidang baru seperti inovasi, kemampanan dan peralihan ke ekonomi hijau.
Sebahagian pelajar FDC akan mengadakan lawatan ke Singapura pada November 2024, kata Dr Maliki.
“Melebihi kerjasama ekonomi, pertukaran orang-dengan-orang genting untuk memupuk persefahaman bersama dan menyediakan batu asa untuk kerjasama lanjut,” kata beliau menambah.
Dr Maliki turut melawat pusat penyusunan Shopee di Minas Gerais yang dibina pada 2023 dan merupakan antara pelaburan utama syarikat tersebut di Brazil, dengan tujuan memperluas keupayaan logistiknya di sana.
Pusat itu adalah antara 11 pusat serupa di Brazil.
Dr Maliki berkata ia menunjukkan potensi besar yang ada untuk memperkukuh hubungan komersial dan ekonomi antara Singapura dengan Brazil.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg