Menyusuli pelaksanaan perjanjian pembebasan tebusan dan gencatan senjata berbilang fasa antara Israel dengan Palestin berkuat kuasa 19 Januari, bantuan kemanusiaan diharap dapat dipertingkat tanpa halangan demi “meringankan penderitaan dahsyat” rakyat Gaza, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.
Dalam catatannya di Facebook pada 22 Januari, Dr Maliki berharap agar “semua pihak menghormati dan mematuhi syarat perjanjian, serta berusaha menamatkan konflik”.
Dr Maliki berkata demikian susulan kunjungan beliau ke Amman, Jordan, pada 21 Januari bagi menyaksikan penyerahan bantuan kemanusiaan Singapura bagi Gaza berbentuk cek bernilai sekitar $1.3 juta.
Penyerahan itu adalah bantuan kemanusiaan keenam Singapura, hasil kempen pengumpulan dana Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) di Singapura – ia diagihkan kepada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Organisasi Amal Jordan Hashemite (JHCO).
Pengagihan dana tersebut akan digunakan untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan serta operasi bantuan bagi orang awam di Gaza, tambah Dr Maliki. Dengan bantuan terkini, ia menjadikan jumlah derma Singapura ke Gaza melebihi $19 juta.
Dalam ucapannya dalam satu majlis penyerahan cek, Dr Maliki memberi penekanan bahawa bantuan kemanusiaan kini mesti diutamakan, sedang keadaan kemanusiaan di Gaza masih mendesak.
Beliau juga berharap gencatan senjata sementara ini boleh membawa kepada gencatan senjata yang berkekalan.
Konflik Israel-Palestin memuncak tatkala kumpulan militan Hamas pada 7 Oktober menyerang Israel, mengakibatkan 1,210 orang terkorban, kebanyakannya orang awam.
Kementerian kesihatan di Gaza berkata pada 19 Januari bahawa jumlah kematian semasa perang yang telah berlarutan selama 15 bulan ini telah mencecah 46,913, sebahagian besar adalah orang awam – perangkaan yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh dipercayai.
Fasa awal selama enam minggu tempoh gencatan senjata bakal menyaksikan tebusan yang ditahan Hamas bertukar tangan dengan mereka yang ditahan Israel.
Dr Maliki berkata Singapura telah memberi tumpuan khas bagi penghantaran bantuan kemanusiaan yang kritikal ke Gaza, dan berterima kasih kepada RLAF kerana mengetuai usaha mengumpul dana di Singapura.
“Walaupun konflik di Gaza berlaku beribu-ribu batu jauh (dari Singapura), penderitaan orang awam di Gaza menyentuh hati nurani (rakyat di sini).
“Sejak permulaan konflik, rakyat Singapura telah banyak menunjukkan simpati dan menyumbang wang, iaitu kira-kira $13 juta kepada usaha mengumpul dana RLAF,” tambahnya.
Dr Maliki turut memberi penekanan terhadap persahabatan yang mendalam dan berkekalan antara Singapura dengan Jordan, yang membolehkan kerjasama erat dalam pemberian bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Singapura juga telah menjalin hubungan dengan rakan serantau seperti Jordan, Cyprus, Mesir dan UAE untuk menyediakan lima bantuan kemanusiaan sebelum ini, tambahnya.
Singapura, ujar beliau, akan terus meneroka cara untuk menyokong usaha kemanusiaan dan menjalinkan bantuan bersama rakan serantau.
“Seperti yang diumumkan minggu lalu, Singapura akan berusaha untuk menghantar bekalan kemanusiaan melalui udara kepada rakyat Palestin, dan kami gembira untuk sekali lagi bekerjasama dengan rakan kongsi Jordan dalam hal ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Dr Maliki mengulangi harapan Singapura agar pemimpin Israel dan Palestin sama-sama tampil bagi rundingan terus mengenai penyelesaian dua negara, selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan.
“Pendirian kami adalah (penyelesaian dua negara) satu-satunya langkah bersifat daya maju demi mencapai penyelesaian yang komprehensif, adil dan tahan lama bagi konflik Israel-Palestin yang berlarutan,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg